Sunday, April 26, 2009

Mexico dilanda wabak selesema babi












ORANG ramai memakai penutup hidung dan mulut berbaris untuk memasuki Hospital Besar Mexico City, kelmarin.– AP/REUTERS

MEXICO CITY 25 April – Seramai 68 orang maut akibat penyakit selesema, dengan 20 daripada kematian itu disahkan berpunca daripada sejenis wabak baru selesema babi, lapor Setiausaha Kesihatan Mexico, Jose Angel Cordova.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya 1,004 yang lain pula sakit dipercayai akibat penyakit yang sama.

Sebanyak 13 daripada 20 kematian tersebut berlaku di Mexico City, empat di San Luis Potosi, dua di Baja California berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS) dan satu di selatan Oaxaca.

Penularan wabak baru itu mencetuskan kebimbangan kerajaan Mexico dan pihak berkuasa semalam telah mengarahkan penutupan sekolah, muzium, perpustakaan dan teater, bagi membendung penyebarannya.

Virus baru yang merisaukan itu, yang mengandungi kombinasi virus babi, burung dan manusia yang belum pernah dilihat penyelidik-penyelidik sebelum ini, turut mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan orang sakit di Texas dan California, walaupun masih belum ada kematian dilaporkan di Amerika Syarikat (AS).

‘‘Kami sangat sangat bimbang. Kita sedang berdepan dengan satu virus baru dan ia tersebar daripada manusia kepada manusia,’’ kata jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Thomas Abraham.

Penyebaran virus selesema babi itu menimbulkan suasana cemas di Mexico apabila orang ramai mula mengenakan topeng muka dan pihak berkuasa mengarahkan penutupan tempat-tempat tumpuan umum secara meluas.

Orang ramai diminta tidak datang ke hospital melainkan benar-benar memerlukan rawatan kerana premis itu menjadi ‘pusat’ penyebaran wabak. Selain itu, orang rami juga diminta berhenti seketika daripada bersalam tangan atau mencium pipi. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City, setiap penumpang disoal bagi menghalang sesiapa yang mempunyai petanda demam daripada menaiki pesawat.

Presiden Felipe Calderon berkata, kerajaannya hanya mengetahui tentang bahaya virus itu kelmarin, dengan bantuan makmal antarabangsa.

‘‘Kita akan lakukan apa yang perlu, kita juga faham betapa seriusnya perkara ini,’’ katanya selepas mengadakan pertemuan dengan barisan Kabinetnya sebagai respons kepada penyebaran wabak itu.

Dalam pada itu, sekumpulan panel pakar WHO sedang bersidang bagi menimbangkan sama ada untuk mengumumkan amaran berjaga-jaga wabak atau mengeluarkan larangan perjalanan.

‘‘Ia mungkin sudah terlalu lambat untuk mengekang wabak itu daripada merebak,’’ kata seorang pakar, Dr. Michael Osterholm dari University of Minnesota. – AP

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm)

No comments: