Sunday, April 26, 2009
Desakan MCA melampau - Syed Ali
ARKIB : 25/04/2009
KUALA LUMPUR 24 April - UMNO Bahagian Cheras kecewa dengan sikap MCA yang terus mendesak kerajaan supaya meliberalisasikan kesemua subsektor perkhidmatan di negara ini.
Ketuanya, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan MCA itu umpama 'diberikan betis hendakkan paha' dan langsung tidak menunjukkan keikhlasan dalam menyokong usaha kerajaan menjana pembangunan ekonomi negara.
"Tuntutan itu tidak mencerminkan semangat, keikhlasan dan toleransi sesama anggota Barisan Nasional (BN) untuk menyaksikan usahawan bumiputera bersaing dengan lebih hebat di pasaran terbuka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan di negara ini dengan memansuhkan syarat pegangan ekuiti tempatan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Najib, langkah itu bertujuan menarik pelaburan asing, teknologi dan menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi.
Semalam, Setiausaha Agung MCA, Senator Datuk Wong Foon Meng berkata, terdapat sembilan lagi sektor yang masih mengguna pakai syarat peruntukan ekuiti yang perlu dihapuskan selaras dengan semangat Satu Malaysia.
Sektor tersebut ialah hartanah, pertahanan dan penyediaan keselamatan negara, pembekalan utiliti, agensi pelaburan kerajaan, lapangan terbang, penerbitan serta percetakan dan penerbitan semula.
Syed Ali berharap Perdana Menteri tidak akan melayan kerenah dan desakan melampau MCA berhubung langkah liberalisasi tersebut.
"Desakan Foon Meng supaya kerajaan hapuskan syarat ekuiti di semua sektor tidak sepatutnya dilakukan secara terbuka.
"MCA perlu menghormati UMNO sebagai teras kerajaan dan pandangan mereka wajar dikemukakan menerusi saluran parti dan kerajaan," katanya.
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_12.htm)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment