Wednesday, April 8, 2009

Siapa Menggantang di Bukit Gantang




06 April 2009



Menilik perkataan gantang kita akan tahu ia merupakan sejenis alat sukatan lama. Gantang tidak digunakan lagi sebagai sukatan sejak sistem metrik bermula di Malaysia dalam tahun 1977. Gantang memang pernah dijadikan alat penyukat rasmi.

Merenung kebijaksanaan peribahasa Melayu, PAS dapat dikatakan seperti segenggam menjadi segantang ketika memperolehi kerusi Bukit Gantang dalam pilihanraya umum tahun lalu. Mereka bernasib baik kerana kebetulan rakyat di Bukit Gantang telah ikut bersama gelombang 'tsunami' dalam memilih duduk cupak dengan gantang menurut pandangan mereka.

Pentingnya Bukit Gantang sangat jelas. Tun Dr Mahathir malah ikut turun mendaki bukit. Apakah peranan Perdana Menteri yang telah memerintah 22 tahun itu akan menjadi seperti melukut di tepi gantang belum lagi kita ketahui.

Jelas, dua parti Melayu (yang kedua-duanya belum tentu bersih) sedang bersaing untuk menggantang bagi membuktikan siapa lebih ganteng. Rasanya calon bebas pula hanyalah menggantang anak ayam.

Untuk rakyat biasa di Bukit Gantang, samada ia referendum atau tidak; rakyat perlu sedar yang kedua-dua gergasi bersaing merebut bukit ini mempunyai agenda politik masing-masing; justeru rakyat perlu faham yang mereka tidak boleh mengimpikan keajaiban ibarat menggantang asap, mengukir langit. Mungkin sahaja pilihanraya kecil ini ibarat mengisi gantang pesuk.

Pun buat pejuang bahasa, kerana isu memperjuangkan pemansuhan PPSMI menjadi bahan kempen calon PAS, kita berharap keputusan esok (buat pejuang bahasa) adalah ibarat penuh sudah bagai menggantang. Meski pejuang bahasa mengakui yang keputusan ini mungkin tidak merubah apa-apa kerana pejuang bahasa di pihak tiada terbawa sekam segantang namun ia mungkin memberi sedikit cahaya. Kita berharap isu penderhakaan terhadap bahasa Melayu (meski dihadirkan dengan kecil) di Bukit Gantang akan membawa kesan besar untuk terus menjadi 'kuasa' mendesak kerajaan memansuhkan dasar PPSMI ini. Maka, kita berharap rakyat menggantang dengan ukuran yang betul.

Apa pun keputusan pengundian esok, cupak pasti takkan menjadi gantang. Jadi, buat ramai pemerhati politik siapa menggantang di Bukit Gantang benar-benar penting untuk dianalisis.



Posted by Faisal Tehrani at 8:27 PM

(sumber;http://tehranifaisal.blogspot.com/2009/04/siapa-menggantang-di-bukit-gantang.html)

No comments: