Saturday, May 8, 2010
Taat Setia Pesaka UMNO Terus Di Hati Rakyat
Taat Setia Pesaka UMNO Terus Di Hati Rakyat
May 8th, 2010 | By administrator | Category: Rencana & Pendapat
Pohon nyior di tepi laut
Dimakan kumbang pucuknya layu
Kepada UMNO kita berpaut
UMNO tumbang hilanglah Melayu
Dari Chenor pergi ke Deli
Di pasar seberang ayam berlaga
UMNO tidak boleh dijual beli
Bukan barang untuk berniaga
Di pasar seberang ayam berlaga
Sayap terdampar patah tajinya
UMNO bukan barang untuk berniaga
Kalau dicabar nyawa padahnya.
Pembuka kata bual bicara bersama veteran UMNO Tan Sri Aziz Tapa,86, dimulai dengan beberapa rangkap pantun.
Bait-bait pantun yang memberi kiasan yang sangat mendalam maksudnya. Hanya dengan UMNO sahaja orang Melayu boleh selamat. UMNO satu-satunya parti yang berakar umbikan perjuangan demi memartabatkan maruah bangsa, agama tanahair. UMNO bukan parti barang dagangan. Tetapi kalau dicabar, nyawa padahnya. UMNO perlu dipertahankan dengan semangat taat dan setia.
Bagi Aziz, tidak ada satu parti di dalam dunia ini yang boleh bertahan selama 64 tahun, mengekalkan pemerintahan terus-menerus melainkan UMNO. Parti ini terus bertahan, semakin kuat, berkembang dan dominan.
Perbualan santai dengan tokoh penuh berpengalaman yang berjuang sejak zaman Dato Onn’ Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kini Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, disulami pandangan, nasihat dan seloka.
Katanya, ada dua sebab kenapa UMNO masih mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. UMNO sebuah parti yang kuat dan berkuasa. Pemimpin-pemimpinnya adalah mereka yang benar-benar mahu memperjuangkan agenda Melayu, tanpa pula menafikan hak kaum-kaum lain.
Bagaimanapun, menurut beliau, ahli-ahli dan pemimpin UMNO harus ingat bahawa orang dahulu berjuang, pertama hilang, kedua terbilang tetapi orang sekarang berjuang mula-mula cari menang, sudah menang cari wang. Lepas itu jatuhkan orang , hidup diawang-awang , jatuh terlentang. Dah ramai yang jatuh terlentang.
“Kalau UMNO kita pupuk, ada satu senjata yang paling ampuh, iaitu taat setia. Itulah pesaka yang kita ada. Kalau ini tidak ada Melayu akan hilang kuasa.
“Semasa Dato’ Onn hendak menubuhkan UMNO dan menentang Malayan Union, orang Melayu bersatu-padu. Dato’ Onn berkempen dengan berkata, Melayu tidak boleh lagi lemah, miskin dan sebagainya tetapi pada setiap penghujung pidatonya, beliau akan berkata sekiranya Malayan Union ditubuhkan, raja-raja Melayu tidak ada kuasa lagi.
‘’Maka dengan sebab itu orang Melayu keluar beramai-ramai menyokong Dato’ Onn kerana dalam satu ungkapan Melayu ada berkata, alam beraja, luak penghulu, bersuku-sukuan, sembah kepada raja. Bagi orang Melayu, alam ini mesti ada Raja, kalau tidak ada raja tak ada alam. Ini rahsianya.Sebab itu mesti ada taat setia,’’ ujar beliau.
Beliau menambah, semangat taat setia kepada individu selalunya dikaitkan kerana politik wang. Mereka yang ada duit sahaja boleh menjadi pemimpin. Ini bahaya dan merosakkan kredibiliti. Kalau sudah boleh beli undi, akan tiba satu ketika nanti orang banyak duit tapi bodoh, tidak boleh memimpin dan tidak tahu perjuangan.
Sepanjang 64 tahun UMNO menunjangi kerajaan, sudah begitu banyak pemimpin yang berjasa , gigih dan bersungguh-sungguh memperkembangkan ilmu.
Ilmu sangat peting. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda hendak dunia dengan ilmu, hendakkan akhirat dengan ilmu kalau hendakkan kedua-duanya pun dengan ilmu.
Katanya, tahun 2020 apakah orang Melayu boleh jadi seperti ikan di laut. Air laut masin, isi ikan tidak masin. Tetapi isi ikan mudah masin kalau ia bermain di muka laut, ditanggul nelayan disiang, dibubuh garam, dijemur. Isi ikan lebih masin daripada air laut.
“Yang mana orang Melayu mahu. Jadi ikan masin atau ikan di laut dalam. Kalau nak jadi ikan masin….senang sahaja. Tapi kalau mahu jadi ikan di laut dalam, mesti ada ilmu, banyak berfikir, istiqamah dan menjadikan Islam addin, cara hidup, ‘’ katanya berkias.
Beliau mahu orang-orang Melayu merobah minda dan jangan lagi ada mentaliti mahu jadi hamba orang dalam versi dunia moden.
“ Dapat projek RM100 juta, kerajaan beri sebab hendak bantu Melayu tetapi dia tak buat. Cari orang lain, dapat 10 peratus , terima RM10 juta. Dia goyang kaki. Yang untung orang lain,’’ katanya.
Presiden Sukarno ada berkata, tidak ada kebahagian datang terus dari langit melainkan datang daripada peluh yang menitik.
“Kita semua Melayu, mengapa masih kurang.Ini kerana semuanya hendak dengan senang. Tidak mahu bersusah payah. Melayu dapat projek, orang lain untung.
“Kita tidak boleh buat cara paksa. Kerana orang Melayu kalau paksa dia melantun. Oleh itu kena buat secara berilmu.
“Orang kata Melayu malas, tapi sebenarnya tidak.Lihat sahaja askar Melayu. Mereka hebat dan gagah sebab mereka dibimbing. Melayu mahu dibimbing,’’ katanya.
Sebab itu, ujar beliau, kerajaan mahukan Melayu ramai di universiti dan menjadi intelektual.
“Saya dididik di Tanjung Malim selama tiga tahun. Semangat cintakan Melayu begitu kuat. Dasar pendidikan ajar sejarah tanah air sendiri secara terperinci. Mereka mesti tahu akarnya,’’ katanya.
Menurut Aziz, yang sebenarnya Melayu bangsa yang mudah selesa dengan keadaan sekitar.
“Kita hendak tanam pisang bila-bila masa boleh. Cukup masanya ia berbuah. Di Peking, esok salji turun, petang mesti habis tabur gandum, kalau tidak setahun tidak makan,’’ katanya.
Dalam menyambut ulangtahun ke 64, beliau mengingatkan UMNO supaya mempertahankan kontrak sosial.
“Jangan dipertikaikan. Apakah kita mahu negara kita hancur. Orang-orang Melayu yang ada rasa tanggungjawab terhadap bangsa dan negaranya mesti mempertahankannya,’’ katanya.
Menurut beliau, Imam Al Ghazali ada berkata, dalam hidup ini ada empat perkara yang hendak dicari. Keadilan, kebenaran, keindahan, kesempurnaan.
“Berasaskan kepada ini, apabila tercetusnya 13 Mei, dibuat satu kajian ekonomi, Melayu hanya ada dua sen daripada satu ringgit. Adalah menjadi tanggungjawab meletakkan keadilan dalam hal ekonomi. Ia mesti diperbaiki.
“DEB dan kini Model Ekonomi Baru (MEB) dapat mengimbangkan ekonomi Melayu dalam masyarakat pelbagai kaum. Barulah adil,’’ tegas beliau.
Beliau menambah, adil menurut Hamka sesuatu yang tepat pada fungsinya. Kalau hendak membahagikan rezeki secara betul dan seimbang, salahkah kita?
“Sekarang kita lihat masyarakat pelbagai kaum dapat makan dan duduk semeja.Tidakkah ini indah.
“Ada hikmah di sebalik tragedi 13 Mei. DAP bila menang, ejek Melayu di pasar-pasar . Kalau Melayu hendak beli ikan bawal dia tak bagi, dia kata Melayu tak ada duit, beli ikan kembong.
“Melayu ni jangan dijatuhkan maruah dia. Sebab itu Melayu kalau air di paras lutut masih ok. Pada paras pinggang ok, dada ok, tetapi apabila sudah berada di paras hidung , batang nibong pun di panjat. Dia tidak kira batang nibong tu ada duri! Sebab tu jadi 13 Mei,’’ katanya.
UMNO, ujar beliau, mempunyai pemimpin yang ada wawasan dan mencari kebenaran. Kelebihan Melayu memilih pemimpin ialah:
Pilih-pilih tempat mandi
Pertama teluk, kedua pantai
Pilih-pilih sempat menjadi
Pertama elok kedua pandai
Kalau kita tengok daripada Dato’ Onn sehingga Dato’ Sri Mohd Najib, semuanya orang baik dan pandai.
“Baik dan elok didahulukan kerana tidak semestinya yang pandai itu baik. Orang yang kita kasih belum tentu menyukakan hati kita, tapi orang yang sayangkan kitalah yang menyampaikan hajat kita. Orang Melayu sekali dia kelancongan (buat salah), mereka tidak akan mendapat kepercayaan lagi,’’ katanya.
Beliau berkata, dalam usia 64 tahun, kalau ada yang keluar parti, biar dia keluar. Dia tak setia. Ramai lagi yang setia dalam parti. Teruskan perjuangan.
(sumber;http://umno-online.com/?p=9079)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment