Wednesday, May 19, 2010

Ketuanan Melayu Mutlak Sifatnya


Ketuanan Melayu Mutlak Sifatnya
May 11th, 2010 | By administrator | Category: Rencana & Pendapat

Mukadimah

UNTUK menilai erti dan signifikan ulangtahun UMNO ke 64, tidak dapat kita pisahkan kemampuan menilai apakah erti penjajahan, terutamanya di bumi Melayu tercinta ini, di mana hampir separuh rakyat Malaysia terdiri daripada Bukan Melayu.

Pengalaman zaman penjajahan yang dialami oleh Melayu dan Bukan Melayu adalah dua kisah hidup yang sangat berbeza.

Pemahaman dan memahami perbezaan ini akan menjadi salah satu perkara yang pokok dalam menilai roh, semangat dan falsafah perjuangan UMNO.

Ikuti temubual bersama aktivis dan pengkaji sejarah, Dato’ Dr. Abdul Malik Munip yang mengupas perjuangan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) daripada perspektif sejarah.

1.0 Ada orang kata UMNO sudah terlalu lama. Patut dibubar, sudah tidak relevan. Tetapi kita telah lupa, parti politik yang berjaya, terutamanya dalam negara maju, usianya bukan sekadar puluhan tahun, malah beratus tahun.

2.0 Lihat saja parti Konservatif di Britian, parti Demokrat dan Repulikan di Amerika Syarikat. Mereka jauh lebih tua dan orang tidak mempersoalkannya.

3.0 Tapi di Malaysia, barangkali elok kita sentuh beberapa perkara yang sepatutnya jadi perhitungan setiap ahli. Kita jangan terpukau dengan istilah perubahan. Setengah pemikir Barat ketawa kerana begitu senangnya bangsa Melayu terpukau dengan istilah perubahan.

4.0 Perubahan adalah sifat semula jadi kejadian. Apa yang wujud pasti akan berubah sepanjang saat dan waktu. UMNO juga berubah setiap masa.

5.0 Dalam sejarah manusia, perubahan kerapkali membawa kecelakaan. Sebab itu jangan cerita tentang perubahan. UMNO kena banyak bercerita tentang kejayaan dan pembangunan. Dua perkara ini bukan semula jadi. Kena bekerja keras, memerah otak, bertungkus lumus untuk mencapainya.

6.0 UMNO yang berumur 64 tahun, semacam lupa asas wujudnya parti terhebat ini. Kita kata matlamat UMNO untuk bangsa agama dan tanah air.

7.0 Bangsa, agama dan tanahair sekadar cogan kata dan slogan. Kita kena faham apakah falsafah yang mendasari prinsip agama bangsa dan tanahair ini. UMNO wajib tahu apa yang membezakan perjuangan mereka dengan perjuangan parti-parti lain.

8.0 Kata Pendeta Za’aba yang diberi tugas untuk memberi nama kepada UMNO:

“ Ini pertubuhan Melayu di bumi Melayu. Ia berbeza dengan pertubuhan Bukan Melayu . Di bumi Melayu, Melayu adalah masyarakat ibu , masyarakat induk, masyarakat teras. Bukan Melayu adalah masyarakat serpihan yang datang daripada masyarakat induk dari negara asal. Oleh sebab itu Melayu sebagai ibu, induk, teras, mempunyai hak dan falsafah perjuangan yang berbeza dengan yang menjadi serpihan…’’

9.0 Ertinya, perjuangan Melayu bukan pula perjuangan perkauman. Ia perjuangan Kebangsaan. Untuk tanahair Malaysia. Perjuangan UMNO bukan racis. Matlamat asas perjuangan UMNO ialah menterjemahkan kedudukan Melayu sebagai induk, ibu , teras dalam semua bidang.

10.0 Selama 64 tahun, alhamdulillah Allah izinkan induk dalam parti tanah air tercinta ini ialah parti Melayu yang bernama UMNO.

11.0 Orang Melayu kena menggilap pesanan pendeta Zaaba. Melayu itu ibu, teras dan induk di Malaysia. Melayu menjadi rujukan. Segala-galanya mesti merujuk kepada Melayu. Ini termasuklah prinsip sensitiviti. Kebijaksanaan dan hikmah dalam menyelesaikan masalah.

12.0 Jangan sampai sensitiviti masyarakat pendatang, seolah-olah lebih terpelihara daripada sensitiviti Melayu yang mempunyai akar umbi di bumi ini.

13.0 Bukan Melayu menjadi rakyat semata-mata atas wujudnya perlembagaan itu. Kalau dipersoalkan setelah jadi rakyat, ertinya mereka persoalkan asas kerakyatan. Kalau ini menjadi fokus ia amat bahaya.

14.0 Kalau keistimewaan ini tidak dihargai ia akan hanya memaksa kemungkinan lahir satu generasai Melayu yang akan bersikap lebih keras daripada apa yang ada sekarang.

15.0 Ini bukan tongkat, bukan subsidi. Sesiapa yang guna istilah subsidi dalam bentuk bantuan kepada Melayu, dia menghina bangsanya. Ini adalah pemulangan hak kepada bangsanya yang telah dinafikan hak sejak sekian lama. Adakah Melayu sedar tentang ini.

16.0 Orang Melayu mesti mempunyai maruah dan berani menuntut hak yang bukan sedikit tetapi timbunan hak-hak yang telah dinafikan hampir seabad lamanya. Kalau kita ada maruah kita kena berani menuntutnya.

17.0 Saya tidak nampak Bukan Melayu dianak tiri. Mereka tidak dihalang mendapat yang hak. Apa yang dilakukan ialah meluaskan rangka pembangunan supaya turut dirasai oleh Melayu.

18.0 Ketuanan Melayu adalah satu sifat semulajadi negara kita. Ia tradisi kedaulatan negara turun temurun yang tidak pernah putus. Mempersoalkan ketuanan Melayu bererti kita mempersoalkan tradisi kedaulatan alam Melayu negara ini, menafikan asas kewujudan yang sahih negara kita.

19.0 Kalau kita menolak asas kewujudan sejarah, kita akan menjadi masyarakat pertama dalam dunia yang menolak sejarah. Masyarakat yang tidak beradab dan bertamadun.Sejarah bukan nostalgia. Ia melahirkan komitmen, keyakinan dalam perjuangan.

20.0 Reformasi ialah perubahan yang menyentuh perkara paling prinsip yang hendak dirobah. Dalam perjuangan UMNO, perkara yang paling pokok ialah kita menyakini tanahair tercinta ini, Melayu asalnya dan sudah bertuan. Ini harus dipertahankan. Sebab itu ada beza Melayu dan Bukan Melayu.

21.0 Reformasi, kalau berfikir secara Al-Gore (bekas Naib Presiden AS), ialah menolak prinsip itu . Mereka bermula dengan prinsip Malaysia negara yang belum pernah bertuan!

22.0 Sebab itu atas kubur Red Indian di AS, dibina satu bangsa baru yang terputus dari akar umbi Red Indian. Tapi Malaysia adalah negara yang bertuan. Namanya alam budaya Melayu, kesultanan Melayu yang berterusan dan berkesinambungan hingga kini.

23.0 Dalam memastikan UMNO terus relevan, ia bergantung kepada sejauh mana kita boleh meneruskan kesinambungan tentang prinsip-prinsip utama matlamat lahirnya UMNO, asas-asas perjuangan Melayu atau masyarakat bumiputeraa yang sahih dan sejauh mana ia berkekalan, berterusan serta dapat dihayati oleh masyarakat.

24.0 Melayu mungkin berjaya tetapi di saat kejayaannya, hilang segala keMelayuannya. Dalam proses hendak memajukan bangsa, ada beberapa perkara yang andaiannya boleh dipersoalkan daripada segi ketepatan iaitu kita tidak memahami apa yang ditafsirkan sebagai penjajahan minda.

25.0 Politik mungkin kita sudah merdeka, tetapi penjajahan minda ia lebih halus dan dalam.

26.0 Kita disogokkan dengan keyakinan bahawa kalau dalam bidang ekonomi umpamanya, kemunduran Melayu itu seolah-olah semata-mata kerana sifat-sifat negatif seperti nilai kerja yang tidak betul, prinsip persaingan tidak wujud dalam masyarakat Melayu. Melayu dikata malas dan segala-gala pencemuhan kepada masyarakat Melayu.

27.0 Kalau sudah setengah abad kita mencemuh bangsa sendiri, ertinya kita sudah setengah abad melakukan proses yang amat malang ini. Melayu menghina bangsa sendiri. Penghinaan bukan asas untuk membina kejayaan. Penghinaan berbeza dengan pengkritikan diri.

28.0 Kita tanpa sedar menghina dan menyalahkan bangsa Melayu kerana tidak faham sejarah zaman penjajahan. Oleh kerana itu, sekarang mungkin lahir satu masyarakat yang menyakini segala penghinaan ini. Ini salah satu asas kehancuran semangat kebangaan sebagai Melayu. Inilah salah satu manifestasi hasil daripada penjajahan minda.

29.0 Kita dididik supaya menyakini sifat-sifat mulai Melayu ditafsir sebagai nilai yang hina dan negatif.

30.0 Sebagai contoh, etika kerja, Melayu dengan bangga kononnya untuk menyedarkan bangsa. Kita kata Melayu tidak ada etika kerja yang setanding dengan Jepun.

31.0 Lalu diambil sepotong kiasan, rezeki secupak tidak jadi segantang. Maka kita menyakininya kerana itu yang kita pelajari dan warisi. Bagaimanapun sekarang dalam kajian, kita insaf ertinya berbeza. Etika kerja Melayu bukan begitu. Etika kerja Melayu amat menakjubkan . Ia berperingkat-peringkat.

32.0 Umpamanya kalau di peringkat yang paling mudah, datuk nenek kita mewariskan nilai kerja sedikit sedikit lama-lama jadi bukit, tetapi kalau kita berjaya, nilai kerja kita dipertingkatkan menjadi seluk pekasam sampai ke pangkal lengan. Kalau kita berjaya seterusnya, nilai kerja kita dipertingkatkan dalam bentuk genggam bara api biar sampai jadi arang.

33.0 Maknanya, nilai kerja Melayu menuntut kita sanggup mengharungi segala macam rintangan dan cabaran namun menyerah tidak.

34.0 Tapi ada kalanya sekali pun kita genggam bara api biar sampai jadi arang, ada kalanya kita gagal. Pada saat itu, kita bukan memiliki nilai-nilai kerja orang Jepun dia mungkin bunuh diri, tapi bagi Melayu, jauh sekali. Dia akan kembali dan menginsafi kepada sifat keimanan yang dituntut oleh agama. Kembali kepada prinsip qada dan qadar. Rezeki secupak tak jadi segantang. Inilah kegigihan bekerja dan insaf tentang ketentuan Allah.

35.0 Dalam semua sistem ekonomi kolonial, masyarakat bumiputera akan tersisih daripada arus perdana kegiatan ekonomi. Penyisihan ini langsung tidak ada kena mengena dengan nilai dan budaya masyarakat.

36.0 Di Selangor, contohnya, pada saat Inggeris hendak meluaskan kuasanya, pusat penempatan Melayu atau the last tadisional urban center of the Malays ialah di Jugra. Itu adalah pelabuhan terakhir Selangor dan di situlah bandar di mana saudagar-saudagar Melayu berkumpul. Hari ini kalau kita lihat Jugra , kita akan melihat saki baki bangunan batu di celah-celah hutan yang pada satu masa dahulu milik pedagang-pedagang Melayu.

37.0 Bila Inggeris masuk dengan tujuan menakluki Selangor dan seterusnya mengeksploitasi sumber bijih maka dibawa masuk jutaan masyarakat pekerja Cina atau kuli-kuli Cina mengerjakan lombong.

38.0 Di perkampungan perlombongan inilah dibina bandar yang sekarang kita panggil Kuala Lumpur. Dan akhirnya dibina infrastruktur yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan pelabuhan baru di Pelabuhan Kelang, bukan di Jugra.

39.0 Kalau kita kaji perkembangan pembinaan infrastruktur di seluruh tanah Melayu dalam zaman penjajahan , semuanya mengelakkan kawasan penempatan tradisional Melayu.

40.0 Selama sepanjang lebih 80 tahun British menjajah, hasilnya lebih daripada 80 peratus dicurahkan untuk memajukan Kuala Lumpur yang terdiri 100 peratus penduduknya masyarakat pendatang yang belum pun bertaraf rakyat.

41.0 Bandar pedagang Melayu Jugra mulai malap, daripada sebuah bandar menjadi kampung.Tidak mungkin bersaing dengan Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur.

42.0 Cerita sedih pedagang Melayu Jugra terdapat di Perak dengan kelahiran Ipoh dan Taiping, Seremban di Negeri Sembilan. Dalam masa sangat singkat penjajah Inggeris sudah wujudkan kawasan urban yang maju, memotong hutan belantara Melayu dan menyingkirkan masyarakat Melayu secara sistematik yang rata-rata terdapat di kawasan pesisir. Bandar-bandar tradisional mula malap dan menjadi kampung yang tidak bermaya.

43.0 Bagi masyarakat bukan Melayu, penjajahan adalah proses zaman keemasan untuk membina hidup yang lebih tertib, makmur dan selesa daripada tempat asal mereka. Bagi masyarakat Melayu, sepanjang-panjang penjajahan ini adalah proses penyisihan, pembekuan masyarakat Melayu ditahap mereka yang paling mundur.

44.0 UMNO menuntut kemerdekaan supaya ia memberi kita ruang merubah sifat pembangunan kolonial.

45.0 UMNO membina ekonomi nasional, memecahkan diri daripada belenggu pembangunan kolonial. Pembangunan yang berpusat di bandar-bandar yang dibina oleh Inggeris mesti disalurkan kepada kawasan masyarakat Melayu yang menjadi rakyat asal negara ini.

46.0 Ini sebenarnya bukan satu keistimewaan. Ini adalah pemulangan hak masyarakat Melayu yang dinafikan sepanjang-panjang zaman penjajahan. Sebab hasil negerinya telah dieksploitasikan, digunakan untuk menyisihkan bangsanya sendiri.

47.0 Kalau kita tidak faham, kita menganggap itu bukan hak kita, kita seolah-olah minta sedekah, bukan menuntut pemulangan hak. Ini sangat penting yang patut kita sedari. UMNO bertanggungjawab memulihkan keyakinan sebagai bangsa Melayu di buminya sendiri.

48.0 UMNO satu-satunya parti dalam dunia yang boleh hidup lebih setengah abad dan berjaya buka langkah memecahkan belenggu penindasan kolonial dan membangunkan bangsanya.

49.0 Mengkritik menjadikan kita lebih perkasa. Setiap kali sambut kelahiran UMNO kita menggilap asas-asas perjuangan yang sahih. Kita tidak mahu lahir satu generasi yang terputus daripada pemahamannya mengenai perjuangan bangsa.

50.0 UMNO adalah bahtera perjuangan bangsa. Nilainya tidak terhingga. Kita kena pelihara. Dalam bahtera perjuangan bangsa, ada watak yang kita suka dan tidak. Penyelesaiannya bukan secara memecahkan bahtera itu.

51.0 Bahtera itu kena kita jaga. Bahtera perjuangan Melayu yang bernama UMNO ini, kita mesti pastikan terus berkuasa supaya segala cita-cita, harapan dan impian dapat dilaksanakan.

52.0 Mudah-mudahan ia dapat menyumbang memelihara dan memperbaiki matlamat dan arah perjalanan bahtera perjuangan kita. Ini adalah ibadah. Satu tuntutan agama dan moral kepada manusia Melayu yang beragama

(sumber;http://umno-online.com/?p=9187)

1 comment:

tebing tinggi said...

Tiada apa salahnya dengan UMNO sebagai sebuah alat perpaduan.

Tiada cacat celanya UNMO dengan dasar dan pelembagannya.

Tiada cacat celanya UMNO dengan prinsip penubohan dan perjuangan.
UMNO masih relevent hing kehari ini.

Yang cacat dan yang celanya prmain-permain utama dalam UMNO ketika ini,dari cawangan hingalah keperingkat tertingi yang teleh banyak menyimpang dari landasan perjuangan sebenar serta tindak tandok mereka telah merosakan imej parti dan menghakis sokongan orang Melayu.
UMNO harus membersihkan segala yang cacat dan yang cela ini kalau ingin terus mendapat keyakinan orang Melayu.

1sekolah >1bahasa >1Malaysia.