Thursday, May 27, 2010

Mohan bongkak, Vell Paari biadab

Mohan bongkak, Vell Paari biadab

KUALA LUMPUR 26 Mei - Kenyataan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan bahawa parti itu tidak akan teragak-agak mengkaji semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terlibat dalam pembentukan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) dianggap sebagai biadab dan bongkak.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Mohan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut kerana ia mempunyai unsur ancaman serta ugutan.

''Siapa dia (Mohan) hendak tentukan kedudukan MIC dalam BN? Apakah dia hendak berlagak seperti Presiden MIC?

''Perkara ini cukup serius. Ia tidak mencerminkan langsung semangat perpaduan yang telah sekian lama dibentuk oleh BN,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohan yang tidak teragak-agak untuk mengkaji semula kedudukan MIC dalam BN jika UMNO terlibat dalam penganjuran dan pembentukan GAS, Ahad ini.

Kata Reezal, Mohan sepatutnya tidak bersikap 'serkap jarang' dan membuat tuduhan melulu jika tiada bukti.

''Hubungan dalam BN termasuk UMNO dan MIC telah terjalin sejak lebih 50 tahun lalu. Justeru, dia sepatutnya tidak melatah terlalu awal. Walhal, kita bertanggungjawab untuk mengukuhkan kedudukan parti,'' tegasnya.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan mengingatkan S. Vell Paari tidak bersikap celupar dan biadab semata-mata hendak mempertahankan legasi bapanya, Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai Presiden MIC.

Katanya, keceluparan anak Samy Vellu itu adalah satu provokasi untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu dalaman MIC yang berpunca daripada kegagalan Samy Vellu memimpin.

''Vell Paari juga sengaja bertindak demikian bagi menutupi kesilapan bapanya, melantik beliau sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang turut mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan pemimpin dan ahli MIC.

''Samy Vellu harus mendidik anaknya supaya lebih tahu berbudi bahasa, memahami budaya politik dan menghormati semangat di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN),'' katanya.

Sohaimi berkata, krisis dalam MIC seharusnya diselesaikan secara berhemah dan bukan dengan menuding jari menyalahkan orang lain.

''Rakyat sudah jelas dan jemu dengan sandiwara politik MIC sehingga membabitkan komponen BN yang lain,'' katanya.

Sohaimi secara terbuka mencabar kepimpinan MIC mengendalikan keceluparan Vell Paari dan menutup mulut anak Samy Vellu itu daripada membuat tuduhan bukan-bukan.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm)

No comments: