Najib-Ibrahim Ali ‘berentap’ di Kongres Ekonomi Bumiputra…
Oleh: ROSLI ISMAIL
Suasana di Dewan Merdeka,PWTC Sabtu malam adalah sesuatu yang rugi bagi mereka yang tidak berpeluang melihatnya sendiri.
Di situ Datuk Ibrahim Ali tetap dengan stail biasanya cakap direct to the point tak peduli siapa di depannya dan bagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi situasi itu.
Nak tau hangat ke tak hangat… kedua-duanya tidak jadi guna teks ucapan yang awalnya masing-masing sediakan supaya dapat menghuraikan dengan jelas pendirian mengenai Model Baru Ekonomi (MBE).
Senario ini berlaku pada majlis perasmian penutup Kongres Ekonomi Bumiputera: MBE anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPN).
Perdana Menteri hadir untuk makan malam bersama lebih 2,000 wakil 126 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan berucap menutupnya.
Sebelum itu pada sebelah petangnya sudah menjalar keluar cerita mengatakan kongres sehari itu menolak MBE setelah berlaku perbincangan hangat mengenainya. Ibrahim mengesahkan hal itu pada lewat petang dalam sidang akhbarnya mengenai 31 resolusi yang diputuskan oleh kongres yang diadakan sejak pagi.
Ada beberapa orang pemerhati politik yang ditemui memberitahu mereka telah berkejar ke Dewan Merdeka untuk melihat sendiri bagaimana keadaannya majlis berkenaan setelah mendapat tahu kongres itu menolak MBE yang diumumkan oleh Najib Mac lalu.
Ini lebih-lebih lagi apabila Ibrahim selaku pengerusi Majlis Perundingan Melayu,penganjur kongres itu dilabel sebagai ektremis Melayu oleh sesetengah pihak bukan Melayu.
Biasanya dalam majlis-majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri, penganjur dalam ucapannya mesti buka ayat dengan memuji segala macam.
Sebelum memulakan ucapan, Ibrahim memberitahu beliau tidak mahu guna teks ucapan 13 muka surat yang disediakannya untuk majlis itu.
Ini,katanya supaya beliau dapat menyampaikan dengan lebih tepat apa yang ingin disuarakan oleh kongres itu.
Ibrahim dengan stail terbukanya antara lain berkata kongres itu menolak MBE kerana ia tidak menghayati semangat Dasar Ekonomi Baru dipelopori oleh bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak yang menjamin kepentingan orang Melayu.
Beliau mengandaikan MBE mungkin dirumuskan oleh para pegawai tinggi kerajaan Melayu yang tidak ada semangat Melayu dan mereka yang sudah lupa asal usul.
Setelah meluahkan fakta-fakta yang menjadi kebimbangan kongres itu,termasuk yang dijeritkan oleh hadirin dalam dewan, Ibrahim berkata beliau yakin Najib tidak akan mengkhianati perjuangan arwah bapanya dalam membela nasib orang Melayu.
Sepanjang mendengar ucapan Ibrahim hampir sejam itu Najib kelihatan tenang dan sesekali tertawa mendengar jenaka Presiden Perkasa yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu.
Dengan nada berseloroh,Ibrahim berkata beliau tidak takut apa kerana bukan ahli UMNO dan juga bukan anggota kerajaan.
Selepas itu pihak penganjur telah menjemput wakil 126 NGO berbaris naik ke atas pentas utama untuk menyampaikan sendiri memorandum masing-masing mengenai MBE kepada Najib.
Najib dalam ucapannya secara berjenaka memberitahu ini adalah pertama kali dalam sejarah karier politiknya menerima serentak memorandum sebanyak itu.
Beliau juga kata tidak mahu guna teks ucapannya.Sebelum itu teks ucapannya enam muka surat sudah diedarkan pada para wartawan oleh seorang pegawai pejabat Perdana Menteri di situ.
Apapun Perdana Menteri telah ‘ menguasai’ balik suasana dewan dalam ucapannya di mana beliau menjelaskan Model Baru Ekonomi (MBE) bukanlah sesuatu yang sudah dimuktamadkan kerajaan, sebaliknya ia adalah cadangan daripada pakar-pakar ekonomi.
Katanya kerajaan masih dalam proses mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Perundingan Melayu sendiri mengenainya.
Serentak dengan itu beliau memberi jaminan kerajaan tidak sekali-kali akan mengabaikan kepentingan Melayu baik secara tersurat mahupun secara tersirat dalam apa jua dasarnya.
Beliau berkata sebagai anak kepada pengasas Dasar Ekonomi Baru iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, tidak mungkin beliau akan mengkhianati perjuangan bapanya.
Katanya MBE yang bakal dilaksanakan perlulah diterima pasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020.
Najib berkata beliau juga ingin melihat MBE tidak akan mengetepikan agenda Melayu, malah akan mencari pendekatan yang lebih dinamik dan menjanjikan hasil yang lebih besar.
Beliau menjelaskan kerajaan perlu merumuskan satu pendekatan baru kerana tidak mahu sesetengah cara lama yang tidak memberi kesan kepada kepentingan Melayu diteruskan.
Beliau menilai adalah ' gila' untuk terus berbuat sesuatu pendekatan lama yang jelas tidak memberi kesan.
Menurut Perdana Menteri antara sebab utama kegagalan mencapai hasrat yang ditetapkan oleh DEB ialah ketirisan keterlaluan yang berlaku.
Beliau memberi contoh mengenai kontrak dan pemberian saham kepada orang Melayu yang kemudiannya ‘dijual’.
Katanya ini sesuatu fenomena yang diketahui umum.
"Saya harap tidak ada sesiapa yang yang sangsi dan khuatir bahawa saya tak akan mendengar isi hati orang Melayu. Tak mungkin saya sebagai Presiden UMNO tidak mengambil kira kehendak Melayu sebagai majoriti rakyat Malaysia," katanya.
Beliau menegaskan jangan disamakan slogan 1 Malaysia yang dipeloporinya dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.
Perdana Menteri juga berkata beliau akan memastikan orang Melayu mampu bersaing di peringkat dunia tanpa mengabaikan bangsa lain yang turut berperanan membantu kesejahteraan negara.
"Islam mengajar kita agar berlaku adil bukan hanya kepada sesama sendiri (Islam) tetapi turut perlu berlaku adil kepada bangsa lain.
"UMNO mampu bertahan sehingga kini ialah kerana kita berlaku adil kepada bangsa lain," kata Najib
Hadirin telah memberi tepukan gemuruh dengan laungan ‘ Hidup Najib’ diselang-seli ucapannya dan juga sejurus beliau mengakhir ucapan.-29/5/2010
(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_eaba664f-7f000010-1d956ad0-5752b51e)
No comments:
Post a Comment