Saturday, May 8, 2010

Mohd. Bakri ingin sambung belajar


Mohd. Bakri ingin sambung belajar (utusan)

KOTA BHARU 7 Mei - Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Bakri Mohd. Bazli 23, yang terlibat dalam kemalangan dengan kereta yang dipandu seorang wakil rakyat pembangkang di Shah Alam, Februari lalu, berhasrat kembali menyambung pengajian Julai depan.

Katanya, biar pun kesihatan masih belum pulih, dengan sekali sekala kesakitan yang perit terasa dalam tubuh dan daya ingatan terjejas sedikit, ia tidak membunuh hasratnya untuk terus belajar dan berjaya.

Namun mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Wilayah mengakui sukar baginya menghilang trauma, kesan daripada insiden berkenaan.

''Saya sudah terlepas satu semester tetapi di dalam keadaan sekarang, saya terpaksa berehat panjang," katanya ketika ditemui bersama ayahnya, Mohd. Bazli Che Ali di rumahnya, di Kampung Sireh di sini hari ini.

Mohd. Bakri terlibat dalam kemalangan jalan raya di Seksyen 7 Shah Alam pada 7 Februari lalu, apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim semasa dia berhenti di lampu isyarat.

Semasa kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Mohd. Bakri dalam perjalanan pulang selepas membuat salinan bahan pembelajaran untuk memasuki pintu utama UiTM.

Akibat nahas itu, dia terjatuh, kepalanya terhentak pembahagi jalan dan tidak sedarkan diri selama enam hari di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Empat hari selepas itu, dia dibenarkan keluar dari hospital berkenaan dan dibawa kembali ke rumah keluarganya di Kelantan dan dirujukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini untuk rawatan susulan.

Katanya, sehingga kini dia masih mengalami trauma akibat kemalangan itu dan ada ketikanya mengalami sakit secara tiba-tiba.

''Saya ingin pulih seperti biasa kerana masih banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebelum dapat menamatkan pelajaran pada 2012," kata anak sulung daripada tujuh adik beradik itu.

Dia juga mahu menjadi contoh kepada adik-adiknya untuk melengkapkan diri dengan ilmu pelajaran supaya dapat mengubah kehidupan keluarga.

''Saya tidak mahu kecederaan yang dialami menjadi penghalang untuk meneruskan pengajian berkenaan," kata anak kepada pengusaha kedai makan itu.

Tambahan pula katanya, keluarganya menaruh harapan yang tinggi supaya dia menamatkan pelajaran dan bekerja bagi menanggung kehidupan mereka.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm)

No comments: