Sunday, March 7, 2010

SURAT TERBUKA BUAT AHLI MPP PKR

SURAT TERBUKA BUAT AHLI MPP PKR
06 March 2010 Oleh Zulkifli Noordin pada 1:23 PM
Label: Kalimah ALLAH

ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
Kamar Wakil Rakyat, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu
Ting. 7, Wisma Yakin, Jalan Masjid India, 50100 K.L

Ruj. Kami: LD/PKR/Kalimah ALLAH (I) & DAP (II)
Ruj. Tuan: LD2010/ZulNoordin/0001

Sabtu: 20 Rabi’ul Awal 1431 / 06 Mac 2010

Kepada:
Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat
Parti Keadilan Rakyat
Ibu Pejabat PKR
Jaan Tropicana Selatan 1 PERHATIAN SERTA-MERTA
47410 Petaling

Saudara / i rakan pimpinan MPP/, assalammu'alaikum dan salam sejahtera.

Saudara/i sedia maklum saya telah dihadapkan ke Lembaga Disiplin berkaitan dua isu iaitu iau lapuran polis berkaitan kalimah ALLAH dan kritikan saya terhadap kepimpinan DAP.

Sebelum prosiding bermula, saya telah menulis tiga surat bertarikh 16, 25 dan 27 Februari menuntut agar bagi prosiding mengenai lapuran polis berkaitan kalimah ALLAH itu diletakkan panel beragama Islam kerana ianya membabitkan isu aqidah, syariat dan agama Islam. Namun semua surat itu tidak dijawab. Sebaliknya apabila prosiding bermula pada hari Isnin 15 Rabi’ul Awal 1431/ 01 Mac 2010, saya terkejut mendapatinya terdiri daripada Mr. Goh Keat Peng, Ms. Chew Swee Yoke (kedua-duanya mengaku penagnut agama Kristian katholik), En. T.Kumar (yang mengaku beliau penganut agama Hindu) dan Tuan Syed Kamarulzaman. Seorang lagi ahli panel, Tuan Haji Din Marican menarik diri kerana tidak mahu duduk dalam panel yang majoritinya bukan Islam untuk membicarakan saya tentang isu membabitkan agama Islam.

Saya menegaskan kepada panel sedia ada bahawa walaupun saya menghormati mereka secara individu, tetapi atas prinsip mereka tidak sepatutnya duduk didalam panel yang hendak membicarakan saya dalam isu berkaitan kalimah ALLAH tersebut kerana membabitkan agama saya. Tetapi saya bersedia untuk mereka menjadi panel bagi membicarakan isu kritikan saya terhadap DAP. Mereka meminta tempoh sehingga kHamis 04.03.2010 untuk mengkaji tuntutan saya tersebut. Saya meletak harapan mereka akan menerimanya dan menarik diri dan melantik panel lain yang beragama Islam. Sementara itu saya menulis kepada YB Setiausaha Agong mengenai isu yang sama, namun tiada sebarang jawapan diberi.

Sebaliknya apabila prosiding, anggota panel tersebut menolak dengan menyatakan bahawa mereka telah dilantik oleh MPP PKR dan tidak mempunyai kuasa untuk menarik diri. Saya kemudian memohon supaya mereka hanya meneruskan prosiding hanya berkaitan isu kritikan terhadap DAP, dan menangguhkan prosiding mengenai isu kalimah ALLAH untuk membolehkan saya membuat permohonan kepada MPP PKR untuk mempertimbangkan semula komposisi panel yang akan mendengar isu kalimah ALLAH tersebut. Namun pihak Lembaga menolaknya dan berkeras mahu meneruskan prosiding bagi kedua-dua isu kalimah ALLAH dan kepimpinan DAP. Berdasarkan itu, saya memilih untuk tidak mengiktiraf panel tersebut dan membuat walk-out.

Sekarang saya menulis terus kepada saudara/i rakan pimpinan MPP/PKR untuk menimbang semula tuntutan saya untuk satu panel beragama Islam mendengar prosiding mengenai isu kalimah ALLAH tersebut. Butir-butir mengapa saya meminta panel sedemikian telah saya nyatakan secara terperinci sebelum daripada ini. Sukacita jika dapat pihak sekretariat memberikan butir-butir tersebut kepada pihak MPP/PKR.

Apa yang saya minta hanyalah pihak parti mematuhi prinsip keadilan sejagat yang diterima pakai (universal principles of natural justice) iaitu "a person can only be tried by his own peers". Bagi isu lapuran polis berkaitan kalimah ALLAH itu, hanya mereka yang menganut agama Islam adalah yang sekufu dengan saya dan layak duduk sebagai ahli panel untuk mendengar prosiding terhadap saya. Apakah itu suatu tuntutan yang keterlaluan. Bukannya saya mahu mengelak daripada berhadapan dengan Lembaga Disiplin. Tetapi saya menuntut supaya semua prinsip keadilan sejagat dipatuhi, sebagaimana yang kita tuntut didalam kes pertuduhan liwat yang dibawa terhadap YB Ketua Umum kita. Keadilan adalah untuk semua, bukannya bersifat selektif.
Saya juga telah membangkitkan beberapa isu awalan yang perlu diperjelaskan terlebih dahulu sebelum prosiding terhadap notis-notis tunjuk sebab itu dijalankan. Namun pihak Lembaga menasihatkan saya supaya merujuk dahulu kepada pejabat YB Setiausaha Agong kerana apa yang saya bangkitkan tidak dapat diputuskan oleh mereka. Oleh itu saya perturunkan dibawah isu-isu yang telah saya kemukakan untuk pertimbagangan pihak saudara/i:

1. Samada pihak Lembaga Disiplin dapat bertindak dengan bebas dan adil serta tanpa sebarang pengaruh luar atau tekanan. Ujud keraguan yang serius terhadap kewibawaan dan kebebasan sebenar Lembaga Disiplin yang ditubuhkan untuk membawa prosiding disiplin terhadap saya kerana kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Umum sendiri yang telah melabel saya sebagai pelampau dan perlu dikenakan tindakan keras. Juga kenyataan Presiden yang boleh mempengaruhi pertimbangan MPP. Juga kenyataan YB Timbalan Presiden yang jelas bias dan berprasangka jahat. Termasuk juga kenyataan Naib-Naib Presiden, Setiausaha Agong YB Saifuddin Nasution, Pengarah Strategi YB Tian Chua dan Ahli Biro Politik/ MPT Datuk Zaid Ibrahim dan lain-lain pimpinan kanan PKR jelas telah menghukum saya dan menuntut saya dipecat dan dikenakan tindakan disiplin yang keras sebelum prosiding bermula pun. Jadi bagaimana Lembaga Disiplin yang duduk dibawah MPT boleh diharap berlaku adil dan saksama kepada saya; dalam keadaan kepimpinan parti yang akan membuat keputusan sudahpun menghukum saya dan bertindak menjadi penyiasat, pendakwa, hakim serta penghukum!? Atau apakah prosiding Lembaga Disiplin ini ditubuhkan oleh kepimpinan parti sebagai sekadar satu “drama politik” semata-mata untuk menunjukkan kononnya saya sudah diberi peluang membela diri sedangkan keputusannya sudah pun dipersiapkan!? Oleh itu, pihak kepimpinan parti perlu memberi penjelasan apakah jaminan MPT boleh bertindak berdasarkan prinsip-prinsip keadlian semulajadi apabila menerima sebarang cadangan daripada pihak Lembaga Disiplin kelak dalam keadaan kesemua pimpinan kanan telahpun menghukum saya?

2. Saya membantah pendengaran pertuduhan Notis Tunjuk Sebab (I) terhadap saya kerana sehingga kini, tiada sebarang Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan dan prosiding disiplin dijalankan terhadap Dato’ Zaid Ibrahim yang jelas melakukan kesalahan lebih serius dengan membelakangkan prinsip pertanggunjawaban bersama dan akauntabiliti apabila mempertikai dan mengutuk keputusan Biro Politik merujuk saya ke Lembaga Disiplin dengan tidak menggantung saya sebelum itu sedangkan beliau termasuk anggota Biro yang bermesyuarat dan membincangkan jenis tindakan yang akan diambil terhadap saya. Malahan YB Ketua Umum sendiri telah mengumumkan suatu tindakan disiplin akan diambil terhadap beliau dan disahkan oleh YB SUA, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. Ini membuktikan prosiding terhadap saya adalah satu sandiwara sahaja seolah-olah mahu menunjukkan tindakan telah diambil terhadap saya dan kononnya saya diberi peluang membela diri. Ini adalah satu sikap double-standard dan menjejaskan kredibiliti, integriti dan kewibawaan PKR untuk meneruskan prosiding terhadap saya. Oleh itu selagi tiada sebarang tindakan diambil oleh kepimpinan PKR terhadap Dato’ Zaid Ibrahim, prosiding terhadap saya tidak sepatutnya diteruskan dan hendaklah digantung!

3. Saya membantah pendengaran pertuduhan Notis Tunjuk Sebab (II) terhadap saya kerana sehingga kini, tiada sebarang Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan dan prosiding disiplin dijalankan terhadap YB Wee Choo Keong kerana beliau juga melakukan tindakan yang sama saperti saya; malahan YB Ketua Umum dan YB SUA telah mengumum dan mengesahkan prosiding disiplin akan dikenakan terhadap YB Wee Choo Keong. Namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. Ini membuktikan prosiding terhadap saya adalah satu formaliti sahaja seolah-olah mahu menunjukkan tindakan telah diambil terhadap saya dan kononnya saya diberi peluang membela diri. Ini adalah satu sikap double-standard dan menjejaskan kredibiliti, integriti dan kewibawaan PKR untuk meneruskan prosiding terhadap saya. Oleh itu selagi tiada sebarang tindakan diambil oleh kepimpinan PKR terhadap YB Wee Choo Keong, prosiding terhadap saya tidak sepatutnya diteruskan dan hendaklah digantung!

Saya berharap pihak MPP memandang serius berkenaan dengan isu-isu dan persoalan yang saya bangkitkan ini kerana ianya adalah berkaitan dengan hak asasi kemanusiaan, hak membela diri dan prinsip keadilan semulajadi yang menjadi landasan kepada perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat. Prosiding yang diambil terhadap saya ini akan mempunyai implikasi yang serius bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada parti. Malahan saya berani menyatakan yang menjadi subjek perbicaraan bukannya sahaja saya, tetapi juga parti sendiri. Sudah tentu rakyat dan dunia akan melihat samada parti kita akan ‘walk the talk’ atau tidak. Apakah kita konsisten dalam perjuangan kita!

Saya menuntut supaya saya diberikan keadilan. Sebab itu saya menyokong perjuangan Dato’ Seri Anwar untuk mendapat keadilan dalam kes liwat beliau. Perjuangan beliau ingin mendapat keadilan sehingga sampai keperingkat mendapat sokongan luar. Kalau Dato’ Seri Anwar menuntut keadilan, saya juga menuntut keadilan yang sama. Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan tetapi hendaklah dilihat dilaksanakan. Berdasarkan apa yang saya kemukakan diatas, ternyata prinsip-prinsip keadilan yang kita perjuangkan itu langsung tidak dipatuhi oleh kita sendiri. We should walk our talk!

Berdasarkan isu awalan, persoalan dan bantahan yang saya kemukakan diatas, saya berharap ianya dapat dibincangkan dan diputuskan kepimpinan parti dengan segera. Marilah kita melaksanakan keadilan kepada diri kita sendiri dahulu, sebelum kita mahu melaksanakan keadilan kepada orang lain.

Saya mengharapkan semoga saudara/i dapat mengembalikan keadilan bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada perjuangan kita untuk reformasi dan perubahan. Dan saya harapkan saudara/i akan menimbangnya dengan serius didalam mesyuarat khas yang dipanggil bersidang hari ini.

Sekian terima kasih dan wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
20 Rabi'ul Awal 1431
06 Mac 2010

(sumber;http://zul4kulim.blogspot.com/2010/03/surat-terbuka-buat-ahli-mpp-pkr.html)

No comments: