Saturday, March 27, 2010

HALAL: Pengguna Muslim perlu bijak guna hak

Pengguna Muslim perlu bijak guna hak

Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org

Label halal jadi umpan kedai makan pancing umat Islam

BEBERAPA perlakuan dan peristiwa bersangkutan dengan tanda halal untuk pelbagai produk dan di kedai makan dalam tempoh beberapa minggu ini menimbulkan kembali kesangsian terhadap keberkesanan penggunaan tanda itu dalam negara.
Negara gah mengisytiharkan sebagai sebuah negara Islam di mana majoriti rakyatnya yang mencecah lebih daripada 60 peratus adalah orang Islam. Ia juga dilaungkan sebagai hab pengeluaran barangan halal untuk edaran kepada umat Islam di seluruh dunia. Tetapi apakah pengiktirafan demikian sudah mencukupi untuk menjamin bahawa semua keluaran makanannya serta kedai makanan yang mempamerkan tanda halal benar-benar halal?

Lihat saja perlakuan berikut:

# Sijil halal kepada sebuah kilang memproses ayam, Global Abattoir (Malaysia) Sdn Bhd (GA) di Pedas digantung sementara berikutan rampasan satu tan metrik ayam yang diragui cara penyembelihannya. Dalam serbuan minggu lalu itu, pengurusan kilang bertindak melampau apabila mengurung sepasukan penguat kuasa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) termasuk wartawan dan jurugambar.

# Seorang pelajar disajikan mi goreng mengandungi kaki katak di sebuah kopitiam di Bukit Tinggi, Klang dua minggu lalu.
# Kedai makan yang mempamerkan tanda ‘no pork served’ seolah-olah halal itu hanya bila tidak disediakan makanan mengandungi babi saja.

# Penggunaan tanda halal tidak sahih oleh kebanyakan kedai kopitiam untuk mengabui orang Islam. Dikhabarkan hanya dua kopitiam saja dalam negara, ia itu Pak Hailam Kopitiam serta cawangannya dan Jonker Walk Kopitiam mempunyai sijil halal sah daripada Jakim.

Kebanyakan yang lain pula ada yang menggunakan sijil keluaran pihak swasta selain tidak menggunakan apa-apa label pun.

# Selangor mengarahkan enam syarikat swasta yang pernah mengeluarkan sijil halal menghentikan kegiatan memberi sijil dan logo halal kepada peniaga serta premis makanan. Syarikat itu ialah Bahtera Lagenda Sdn Bhd, Islamic Food and Research Council, SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council SEA dan IFANCA International.

Sehingga kini Pulau Pinang dan Sarawak juga sudah mengeluarkan arahan sama.
Sebenarnya orang Islam sendiri sebagai pengguna harus bijak membeli barang makanan yang dipastikan sahih saja atau makan hanya di restoran yang tidak disangsikan boleh menyediakan makanan yang benar-benar halal. Pengguna Islam mempunyai kuasa beli yang besar dan mereka perlu memainkan peranan untuk memastikan sijil halal ini tidak dipandang remeh oleh pengusaha restoran dan pembekal makanan.

Restoran yang mengambil pekerja asing juga sangat meragukan. Memang ada pekerja bertudung tetapi amalan agamanya boleh diragui. Malangnya restoran inilah yang menjadi pilihan umat Islam dan sentiasa dipenuhi sehingga awal pagi. Umat Islam sepatutnya tidak menjamu selera di kedai makan yang berdegil enggan mendapatkan sijil halal. Jadi kenapa kita berlagak seperti “hidung tak mancung pipi tersorong-sorong?”

Pengguna yang berasa tertipu dengan tanda atau logo halal untuk pelbagai barang makanan boleh membuat laporan polis terhadap syarikat yang cuba menipu pengguna Islam dan juga kedai yang menjualnya. Selain itu, mereka boleh melaporkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.

Sebenarnya pembuat dan penjual barang makanan yang tidak halal tetapi dilabelkan sebagai halal boleh dihadapkan kepada kedua-dua tribunal dan mahkamah jenayah kerana penipuan. Pengadilan di Tribunal Tuntutan Pengguna boleh dibawa oleh pengguna sendiri manakala pengadilan di mahkamah dibawa oleh pendakwa raya.

Matlamat tuntutan ini ialah supaya pembuat dan penjual berasa perit dengan denda yang mereka harus bayar. Tauke-tauke ini akan lebih sedar akibat penipuan mereka kalau kocek mereka terjejas. Denda yang tidak seberapa yang dikenakan oleh mahkamah tidak mereka hiraukan tetapi kiranya koceknya dilopongkan kerana tuntutan ribuan pengguna, mereka tentunya akan lebih serik.

Tindakan menyenaraihitamkan juga boleh di kenakan ke atas syarikat berserta peribadi tauke syarikat itu untuk menjamin tauke-tauke itu tidak akan dapat menubuhkan syarikat baru. Penjual juga harus dikenakan tindakan sebab mereka juga bertanggung jawab untuk memastikan barangan berlabel halal yang mereka jual semestinya halal. Jadi mereka harus menanggung risiko menipu pelanggan.

Kedudukan menyalahgunakan label haram ini terlalu berleluasa untuk dibiarkan atau dikenakan tindakan yang tidak setimpal. Penipuan oleh pengusaha/pengilang boleh mensabotaj usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluar makanan halal untuk pasaran dunia.

Kiranya pengguna di Malaysia sendiri was-was terhadap kesahihan label halal, bagaimana kita hendak mendapat kepercayaan terhadap barang makanan yang halal dari Malaysia. Apakah ini tidak boleh dianggap sebagai suatu perbuatan mensabotaj hasrat menjadikan negara pusat itu?

Tindakan tegas tidak harus ditumpukan kepada syarikat pembuat dan penjual saja tetapi juga tauke syarikat terbabit termasuk menghalang kedua-dua pihak syarikat dan pemilik daripada berkecimpung dalam pembuatan dan penjualan makanan halal. Tindakan terhadap syarikat saja tidak mencukupi kerana syarikat boleh bergulung tikar. Pemiliknya mungkin akan terus bergiat melalui syarikat lain yang ditubuhkannya baik secara sendirian mahupun secara perkongsian.

Diharapkan kedudukan mengenai pembuatan dan penjualan barang halal ini akan lebih terpelihara apabila Akta Halal dikemukakan di Parlimen pertengahan tahun ini.

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PenggunaMuslimperlubijakgunahak/Article/index_html)

No comments: