Friday, March 5, 2010
Makin BN hampiri 2/3, Makin mustahil Zulkifli dipecat?
MerdekaReview; Makin BN hampiri 2/3, Makin mustahil Zulkifli dipecat?
Wong Shu Qi | Mar 03, 2010 05:14:50 pm
Arus "keluar parti" semakin menderas, mendekatkan semula Barisan Nasional ke paras dua pertiga di Dewan Rakyat, kelebihan majoriti yang ditembusi semasa "tsunami politik" PRU ke-12. Senario terkini memperlihatkan pengurangan kerusi parlimen PKR dari 31 ke 28, lantas mengurangkan kerusi Pakatan Rakyat kepada 79.
Apa yang tersirat di sebalik angka 79 ini bukan sekadar bermaksud "keluarnya empat orang ahli parlimen dari PKR dan PAS". Apa yang lebih penting, seandainya lima orang lagi ahli parlimen dari PR mengisytiharkan dirinya untuk keluar parti, maka PR akan tinggal 74 kerusi, iaitu satu pertiga daripada jumlah 222 kerusi.
Jadi, BN yang kini memiliki 137 kerusi, akan menaruh harapan pada empat orang ahli parlimen yang keluar dari PR, iaitu Ibrahim Ali (PAS), Zahrain Hashim (PKR), Tan Tee Beng (PKR) dan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR), ditambah pula dua orang ahli parlimen "bebas", iaitu Chua Soon Bui dan Eric Majimbun dari SAPP, yang keluar dari BN pada tahun 2008.
Seandainya keenam-enam ahli parlimen bebas tersebut mendampingi (semula) BN, ditambah dengan "lima orang lagi", maka BN di bawah pimpinan Najib Abdul Razak akan menguasai semula majoriti 2/3, kubu di parlimen yang ditembusi semasa zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi.
Ringkasnya, lanskap dalam Dewan Rakyat terkini adalah BN (137), SAPP (2), ahli parlimen yang keluar dari PR (4), membawa kepada jumlah 143. PR pula memiliki 79 kerusi. Seandainya ahli parlimen "bebas", iaitu 2 dari SAPP dan 4 yang keluar parti mendampingi BN, maka angka 5 menjadi kunci seterusnya. Penambahan 5 kerusi akan mengembalikan BN kepada majoriti dua pertiga, di samping penolakan 5 dari 79 kerusi yang dimiliki PR, akan menggagalkan PR untuk menafikan 2/3 BN di Dewan Rakyat.
Zulkifli mencungkil kontroversi
Senario sedemikian sebenarnya membataskan pilihan Lembaga Disiplin PKR, ketika mempertimbangkan hukuman yang bakal dikenakan ke atas Zulkifli Noordin (gambar kanan) yang dihadapkan kepadanya. Zulkifli Noordin, ahli parlimen Kulim Bandar Baharu yang mendakwa dirinya sebagai pejuang Islam, telah mencungkil beberapa kontroversi kerana pendekatan yang digunakan ketika menjuarai isu agama.
Pada Ogos 2008, Zulkifli Noordin telah "menceroboh" ke satu forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam, kerana menganggap penganjurnya bersikap anti-Islam. Berikutan tindakan yang bercanggah dengan prinsip "kebebasan bersuara" yang didukung oleh partinya, Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali telah meminta agar Zulkifli Noordin memberi penjelasannya.
Walau bagaimanapun, tiada tindakan yang menyusuli kemudian. Perlu dinyatakan bahawa kejadian itu berlaku sekitar PRK Permatang Pauh, dan sebarang tindakan terhadap Zulkifli Noordin dikhuatiri bakal didakwa sebagai "bukti PKR membelakangkan Islam", kerana Zulkifli tampil dengan imej "pejuang Islam".
Pada November 2009 pula, setelah Anwar Ibrahim memberi amaran untuk mengambil tindakan kepada pemimpin yang tidak selari dengan halatuju perjuangan PKR, Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah (gambar kiri, kiri) menyusul dengan mendakwa bahawa "pemimpin" yang dimaksudkan Anwar adalah Zulkifli Noordin. Lantaran itu, tercetuslah perbalahan antara Sivarasa dengan Zulkifli.
Zulkifli Noordin mencungkil kontroversi sekali lagi, apabila membuat laporan polis terhadap ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari PAS, berhubung isu penggunaan kalimah Allah. PKR terpaksa mengambil tindakan pada kali ini, memandangkan tingkahlaku Zulkifli Noordin telah memberi kesan kepada parti komponen PR.
Pilihan Lembaga Disiplin PKR terbatas
Bukan sahaja Khalid Samad dijadikan sasaran Zulkifli Noordin, malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut diselar olehnya sebagai chauvinis, ekstremis, rasis dan mempunyai agenda sempit perkauman yang jelas.
Kerenah Zulkifli Noordin telah mengungkit ketidakpuasan parti komponan PR, bahkan dalam PKR sendiri. Justeru itu, Lembaga Disiplin kini berdepan dengan dilema, sama ada untuk mengambil tindakan atau tidak. Lebih-lebih lagi, Zulkifli Noordin telah membuat kenyataan terbuka bahawa beliau tidak akan keluar parti, melainkan dipecat.
Seandainya PKR sekadar memberi amaran lisan kepada Zulkifli Noordin (gambar kanan), maka ia dijangka akan mencungkil ketidakpuasan parti komponen PR. Sebaliknya, seandainya Zulkifli Noordin dipecat, maka ia dikhuatiri akan membuka laluan kepada BN untuk mara selangkah ke depan, sebelum menjangkau paras dua pertiga.
Dalam keadaan sedemikian, pembekuan atau pergantungan keahlian mungkin merupakan jalan keluarnya. Seandainya Zulkifli Noordin keluar parti kerana "penggantungan keahlian", maka beliau telah mengingkari apa yang dikatakan, iaitu "tidak keluar parti melainkan dipecat". Pada masa yang sama, PKR boleh meredakan ketidakpuasan parti komponen PR dan dalam parti, dengan mendakwa bahawa hukuman telah dijatuhkan ke atas Zulkifli Noordin.
*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.
(sumber;http://merdekareview.com/bm/news.php?n=10635)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment