Friday, March 26, 2010

PRK Hulu Selangor Merakyatkan KPI Najib dan Kerajaan PR

MerdekaReview: PRK Hulu Selangor Merakyatkan KPI Najib dan Kerajaan PR

Lim Hong Siang, Chan Wei See |



Seminggu lagi maka genaplah setahun pemerintahan Mohd. Najib Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia keenam. Sementara al-Fatihah dilafazkan kepada Zainal Abidin Ahmad, kita dipertemukan dengan pilihan raya kecil (PRK) ke-10 selepas "tsunami politik" pada 8 Mac 2008.

Tiada maknanya jikalau KPI (Indeks Prestasi Utama) sesebuah kerajaan dinilai oleh Menteri yang dilantik oleh PM sendiri. Malah kita perlu mengakui bahawa KPI yang paling jitu untuk sesebuah kerajaan, sebenarnya dinilai melalui undi rakyat. Maka PRK Hulu Selangor datang pada waktunya, membuka peluang kepada rakyat untuk menilai pentadbiran kerajaan Najib, malah juga kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Ujian buat model "PR"

Majoriti tipis, iaitu 198 undi pada PRU ke-12, menyediakan gelanggang yang agak rata untuk kedua-dua BN dan PR. Lebih-lebih lagi, dari nisbah kaum pengundinya, Hulu Selangor dengan jumlah pengundi 63,593 orang pada PRU ke-12, adalah "kawasan campuran", dengan Melayu 53.94%, Cina 26.67%, India 18.98% dan lain-lain 0.41%.

Sementara calon BN turun gelanggang berbekalkan sumber kerajaan persekutuan, calon PR pula disokong oleh kerajaan negeri. Walaupun kerusi parlimen yang dipertandingkan, namun PRK ini semestinya memberi makna yang besar kepada kerajaan negeri Selangor, khususnya model "Pakatan Rakyat".

Sekali imbas, sembilan PRK yang lalu selepas PRU-12, membawa makna tersendiri. PRK Permatang Pauh menguji sejauh manakah Anwar Ibrahim "relevan" dalam gelanggang politik tempatan; malah PRK pada 7 April 2009 pula mencerminkan reaksi rakyat terhadap rampasan dan cubaan rampasan kuasa di Perak dan Kedah.

Tidak keterlaluan seandainya dikatakan PRK yang berlangsung di Pulau Pinang, lebih dilihat sebagai ujian terhadap kerajaan DAP; begitu juga PRK Manek Urai lebih dilihat sebagai ujian kepada kerajaan PAS Kelantan. Ini kerana kerajaan negeri tersebut didominasi oleh parti tertentu.

Situasinya berbeza di Selangor. Selepas PRU ke-12, kerusi DUN yang dimenangi PKR (15), DAP (13) dan PAS (8) menuntut agar ketiga-tiga parti ini bekerjasama. Ketidakterlibatan mana-mana parti akan menggagalkan pembentukan kerajaan negeri di Selangor.

Malah, PKR, DAP dan PAS sebenarnya lebih bersedia untuk mentadbir di Selangor, apabila membariskan tokoh-tokohnya untuk bertanding di kawasan DUN, malah nama Khalid Ibrahim telah dijulang sebagai Menteri Besar ketika kempen PRU.

Ujian buat Khalid Ibrahim

Dua tahun pentadbiran kerajaan PR Selangor dihujani pelbagai serangan. Hampir kesemua EXCO kerajaannya terjerat dengan berita negatif. Pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi "tetamu khas" yang paling kerap mengunjungi pejabat kerajaan negeri; malah silat politik ini melewati ruang peribadi, sehingga Elizabeth Wong menjadi mangsanya.

Selain serangan dari luar seperti isu pembinaan ladang khinzir, penangkapan Teresa Kok di bawah ISA, pemindahan kuil Hindu dan sebagainya, PR Selangor juga dilanda kemelut dalaman sepanjang dua tahun ini. Isu penjualan minuman alkohol dicungkil oleh PAS sendiri, ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah keluar parti dan sebagainya, memberi tamparan kepada pimpinan Khalid Ibrahim .


Walau bagaimanapun, bekas tokoh korporat ini sempat menarik nafas apabila menerima pujian Ketua Audit kerana kecekapan kerajaannya menguruskan ekonomi negeri. Malah, dasar "merakyatkan ekonomi"-nya telah memperkenalkan konsep baru kepada anak watan Selangor yang selama ini ditadbir UMNO-BN, memperlihatkan bagaimana kekayaan negeri boleh diagihkan kepada rakyatnya.

Persoalannya, apakah dasar-dasar sedemikian berjaya menterjemahkan "sambutan positif" rakyat kepada "undi'?

Perebutan Undi

Sekiranya dilihat dari segi taburan undi, Allahyarham Zainal Abidin Ahmad memenangi kawasan parlimen ini dengan majoriti tipis, iaitu 198 undi pada PRU ke-12. Namun, seandainya dilihat kepada tiga DUN di bawah Parlimen ini, PR sebenarnya tewas dengan jumlah majoriti 6,176 undi, iaitu Hulu Bernam (-3,549), Kuala Kubu Baharu (-448) dan Batang Kali (-2,179).

Ini bukannya sesuatu yang pelik, memandangkan pada tahun 2004, calon MIC-BN G. Palanivel menang dengan majoriti 14,483 undi. Sebaliknya, kemenangan Zainal Abidin pada tahun 2008 membeliakkan mata semua orang pada ketika itu.

Berbalik kepada perhitungan undi, PRU ke-12 menyaksikan bagaimana pengundi berketurunan India beralih kepada PR, menjurus kepada tsunami politik. Kebangkitan Hindraf dan penahanan tokoh Hindraf di bawah ISA telah menyemarakkan kemarahan komuniti tersebut kepada BN.

Namun demikian, tokoh Hindraf yang ditahan di bawah ISA telah pun dilepaskan, malah menubuhkan parti politik sendiri, seperti Parti Makkal Sakthi Malaysia dan Parti Hak Asasi Manusia (PAHAM). Apa yang menarik, sesetengah tokoh Hindraf ini tidak menunjukkan sikap yang "mesra" terhadap PR, misalnya P. Uthayakumar yang beberapa kali menyelar PR secara terbuka. Persoalan yang menyusul adalah, apa yang akan berlaku seandainya mana-mana pemimpin Hindraf bertanding dalam PRK Hulu Selangor?

Seandainya Hindraf masuk gelanggang...

Seandainya Hindraf mahupun PAHAM tegas untuk bertanding dalam PRK Hulu Selangor, menjurus kepada perang tiga penjuru antara BN, PR dan Hindraf, apakah PR akan kecundang berikutan pemecahan undi dalam komuniti India?

P.Uthayakumar ketika dihubungi MerdekaReview memaklumkan bahawa jawatankuasa PAHAM akan membuat keputusuan sama ada partinya, mahupun dirinya akan bertanding dalam PRK Hulu Selangor atau tidak pada Ahad yang akan datang.

Bagaimanapun, Pengarah Strategi PKR, Tian Chua melihat bahawa penyertaan Hindraf bakal menghakis undi MIC-BN, dan bukannya undi PR. Logiknya, seandainya pengundi India memangkah mengikut warna kulit, maka mereka yang tidak berpuas hati terhadap calon MIC akan mengundi calon Hindraf. Menurut Tian, jikalau PKR meletakkan calon India, maka undi tersebut akan mengalih kepada PKR.

Tian Chua menjelaskan kepada MerdekaReview, jika dilihat secara umumnya, undi India hanya memainkan peranan "penentu" apabila lebih daripada 70% komuniti tersebut mempunyai kecenderungan yang sama. Seandainya undi dalam komuniti India berpecah belah, maka ia gagal memberi pengaruh yang besar. Tian Chua bertanggapan bahawa Najib tidak bersedia untuk berkompromi dengan PAHAM, sebaliknya akan cuba untuk meleraikan situasi di mana undi India menjadi "King Maker".

Dalam keadaan undi India berpecah dua, maka 26.67% undi Cina memainkan peranan yang penting. Menurut Tian Chua, memandangkan calon MCA, Wong Koon Mun memenangi DUN Kuala Kubu Baharu pada PRU ke-12, beliau percaya masih ada ruang bagi PR untuk melonjakkan undi Cinanya di PRK Hulu Selangor.

Isu kempen: Pembangunan?

Apa yang tidak memihak kepada PR dalam PRK ini adalah, kawasan parlimen Hulu Selangor adalah kawasan luar bandar, yang mana saluran informasinya masih terhad kepada media tradisional seperti media cetak dan elektronik.

Namun sedemikian, apakah pula isu yang bakal memikat hati pengundi?

Sebagaimana yang diramalkan, "pembangunan" bakal dijadikan tawaran BN kepada pengundi, kerana ianya amat mujarab terutamanya untuk penduduk kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, seorang penduduk tempatan mengingatkan bahawa kerajaan negeri adalah PR, dan PRK ini adalah perebutan kerusi parlimen. Untuknya, isu pembangunan mungkin tidak memberi kesan seperti mana yang diinginkan.

Apapun yang berlaku, PRK yang bakal berlangsung dalam tempoh 60 hari ini semestinya menyaksikan pertarungan sengit antara BN dan PR. Apakah keputusannya bakal melegakan PKR yang kini diserang bertalu-talu oleh mereka yang keluar parti; ataupun mengukir senyuman pada wajah Najib yang menteriakkan "1Malaysia"?

(sumber;http://merdekareview.com/bm/news.php?n=10680)

No comments: