Sunday, May 31, 2009

Bagaimana UMNO nak menempuh arus….


Sikap terlalu yakin, persediaan yang tidak rapi, lebih tertumpu kepada persaingan sesama sendiri dalam parti serta kebijaksanaan pembangkang menimbulkan isu-isu yang membawa persepsi negatif di kalangan rakyat adalah antara sebab mengapa UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan banyak kerusi dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-12.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata, kegagalan UMNO dan BN memberi tumpuan pada media interaktif juga, serta berinteraksi dengan golongan muda turut memainkan peranan penting dalam kegagalan PRU ke-12 itu.

Syed Hamid berkata demikian pada forum berjudul “UMNO Menempuh Arus” di ibu pejabat UMNO,PWTC, Jumaat, yang turut disertai Datuk Dr Ramlah Adam dan Datuk Ahmad Talib. Forum dipengerusikan Exco Pemuda Umno Datuk Pirdaus Ismail.

Menurut Syed Hamid, UMNO perlu membuat perubahan radikal dan setiap ahli parti perlu mempunyai keyakinan terhadap kemampuan pemimpin.

“Kini rakyat sedar mereka mempunyai alternatif dan kita mestilah berusaha menjadi lebih baik daripada alternatif itu. UMNO perlu ada strategi politik supaya orang Melayu terus setia dengan parti. Selain itu kita mesti mempunyai kumpulan pemikir untuk membantu mencari strategi untuk menang.”

Mantan Menteri Dalam Negeri itu, berkata berkata pembangkang juga bijak memusingkan isu ekonomi, bahasa dan sosial menjadi isu politik sehingga dapat menarik perhatian pengundi. Tetapi UMNO tidak mempunyai pakar untuk menangkis segala tohmahan itu.

Beliau berkata, pendedahan negatif yang keterlaluan di dalam media boleh membuatkan orang meluat terhadap pemimpin sehinggakan rakyat tidak melihat UMNO sebagai pembela bangsa.

Tokoh media, Datuk Ahmad Talib, menyangkal pendapat Syed Hamid yang mendakwa media memainkan peranan menentukan kalah menang sesebuah parti. Katanya, dalam pilihanraya sebelum PRU ke-12, UMNO menang kerana mempunyai calon yang hebat dan keberkesanan parti itu mempengaruhi pengundi dan bukan kerana media. Katanya, ahli UMNO dan BN, harus mendekati media baru seperti blog dan portal berita.

“Ada menteri yang mempunyai blog, tetapi blog mereka lebih banyak memuatkan ucapan berbau propaganda atau petikan akhbar. Lantas orang tidak berminat membacanya. Blog yang popular ialah blog yang mengupas isu kontemporari,” katanya.

Pakar sejarah, Datuk Dr Ramlah Adam pula berkata, UMNO perlu membuang sikap angkuh kerana jika parti itu tidak berhati-hati, sejarah kejatuhan Melaka boleh berlaku kepada UMNO.

Beliau berkata, kebelakangan ini UMNO gagal mengawal parti komponennya sehingga mereka tidak menunjukkan kesetiaan dan berani melawan dengan mempertikaikan kontrak sosial, hak Melayu, kedaulatan Raja Melayu dan cuba membawa kembali nostalgia komunisme.

Dr Ramlah mencadangkan UMNO membuat kajian akademik untuk mengenal pasti kelemahan parti sehingga ramai golongan muda khususnya berpihak kepada parti pembangkang.

Beliau turut menyarankan UMNO membenarkan golongan cerdik pandai dan cendekiawan diberi jawatan dalam parti bagi menarik minat lebih ramai golongan profesional menyertai UMNO. – 30/05/09

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_8e828ac2-7f000010-96478e00-a3bdb08a)

No comments: