Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan penggunaan istilah 'keling' dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga dibenarkan kerana ia untuk tujuan pembelajaran.
Hakim Lau Bee Lan, yang memutuskan demikian dalam kamar, kemudian menolak rayuan Angkatan Pelopor India Muslim Selangor dan Wilayah Persekutuan (APIM) terhadap keputusan Penolong Pendaftar Kanan (SAR) Mahkamah Tinggi, Nik Isfahanie Tasnim Wan Abdul Rahman.
Pada 29 Disember 2006, Nik Tsfahanie Tasnim membenarkan permohonan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk membatalkan saman pemula terhadapnya berhubung istilah 'keling' yang difailkan oleh APIM yang didakwa menghina masyarakat India di negara ini.
Menurut peguam DBP Md Radzi Mustafa, hakim Lau dalam penghakimannya juga menyatakan penggunaan istilah 'keling' dalam kamus itu bukan 'mala fide' (niat jahat) kepada mana-mana pihak dan DBP hanya melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan.
Katanya hakim juga berpendapat saman pemula APIM itu adalah mudah dan tidak mempunyai peluang untuk berjaya.
Ditanya sama ada istilah 'keling' masih digunakan dalam kamus edisi keempat, Md Radzi ia masih digunakan tanpa sebarang contoh perkataan.
Pada 22 Disember 2005, Pengerusi APIM Ramli @ Mohd Othman Ravinthranath Abdullah menyaman DBP dan lima yang lain berhubung istilah berkenaan.
Dalam saman pemula itu, Ramli menamakan DBP, Ketua Pengarah DBP, Menteri Pendidikan, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, syarikat pencetak Harian (Zulfadzli) Sdn Bhd dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Antara lain, Ramli memohon supaya istilah itu dipadamkan dari kamus berkenaan.
Pada 28 Februari 2005, DBP mengemukakan permohonan bagi membatalkan saman itu atas alasan istilah itu dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga bukan bertujuan jahat, menimbulkan kacau-bilau, menganggu keamanan, merangsang rasa benci, permusuhan, dendam, tidak harmoni atau perpecahan seperti yang didakwa oleh APIM.
Dalam afidavit sokongan bagi membatalkan saman itu, Timbalan Ketua Pengarah DBP, Abu Bakar Mohamad mendakwa APIM tidak mempunyai 'locus standi' (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan saman berkenaan bagi pihak kaum India Muslim.
APIM diwakili oleh peguam Priyadarshini Nair.
- BERNAMA
(SUMBER;http://myadha.blogspot.com/2009/05/istilah-keling-dibenarkan-dalam-kamus.html)
No comments:
Post a Comment