Friday, May 8, 2009

Bersemuka: Membina negara-bangsa menerusi penerangan



Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my


1Malaysia objektif utama rangka perancangan pastikan pelbagai kaum bersatu menerusi Piagam Malaysia

SELEPAS Datuk Seri diumumkan menerajui gabungan tiga kementerian iaitu Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, apakah yang bersarang di kotak fikiran untuk memastikan kecemerlangannya?

Pada awalnya saya hanya menganggap dua kementerian saja digabungkan, iaitu Penerangan dan Komunikasi. Tetapi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menambah dengan memasukkan portfolio Kebudayaan, ia memperlihatkan kepercayaan beliau kepada saya untuk menerajui gabungan tiga kementerian dalam satu bumbung. Ini saya percaya dapat memudahkan perancangan membina negara-bangsa. Membina negara-bangsa bukan sesuatu yang mudah. Justeru, saya berazam untuk dapat menggarap apa yang diperlukan di bawah ketiga-tiga kementerian. Serentak itu, saya juga mahu supaya 1Malaysia, menjadi objektif utama dalam rangka perancangan bagi memastikan pelbagai kaum bersatu menerusi Piagam Malaysia dan kebajikan yang disajikan mampu mendidik serta memberi maklumat tepat ke arah kesatuan di negara ini. Saya juga akan gabungkan kebudayaan dan menggunakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 supaya semua stesen radio dan televisyen patuh dalam urusan membina negara-bangsa.

Bagaimana misi Datuk Seri untuk merealisasikan pembinaan negara-bangsa?

Untuk membina negara-bangsa, kita perlu lihat apa yang ada di kementerian ini. Senjata yang paling berkesan ialah menerusi penerangan. Saya dapati sebahagian daripada asasnya sudah mencukupi, cuma sebahagian metadologinya saja perlu diwujudkan. Kita perlu memastikan penduduk berusia lingkungan 20-an dan 40-an terangkum dalam perancangan berkenaan. Setakat ini, tidak ada segmen dalam perjuangan itu di situ. Oleh itu, kita perlu mewujudkan program dan jangkauan untuk sampai kepada populasi dan kumpulan generasi terbabit.

Pengisian program televisyen swasta dilihat lebih bersifat komersial dan berasaskan keuntungan berbanding menyediakan program membina negara-bangsa. Bagaimana peranan kementerian untuk menangani isu ini?

Apa yang dilihat sekarang seolah-olah hanya Kementerian Penerangan dan RTM diwajibkan membina negara-bangsa. Sebenarnya semua pihak perlu lakukan perkara sama, tetapi dilihat stesen radio dan televisyen swasta lebih mementingkan keuntungan komersial dan kandungan membina bangsa terlalu terhad. Oleh itu, saya mahu menyatakan dengan konsep 1Malaysia, pendirian mereka harus berubah. Dalam hal ini, jika stesen swasta tidak melakukan perubahan, saya akan menggunakan kuasa undang-undang yang ada dalam Akta Komunikasi dan Multimedia dan fungsi tertentu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Setakat ini, kuasa itu tidak digunakan lagi. Sekarang sudah sampai masanya saya bertemu dengan semua pemilik stesen terbabit dan berterus-terang meminta mereka menyediakan program membina negara-bangsa serta memuatkan mesej 1Malaysia ke arah kebaikan kita bersama. Peraturan sekarang, setiap jam disiarkan tiga minit perlu diperuntukkan untuk faedah dan kebaikan masyarakat. Saya nampak peraturan itu belum lagi dipenuhi. Oleh itu, misi pertama saya supaya mereka juga memainkan peranan utama bersama membina negara-bangsa.

Jika stesen televisyen swasta gagal mematuhi misi membina negara-bangsa, apakah tindakan akan dikenakan?

Sekiranya stesen televisyen tidak mematuhi peraturan itu, kita akan laksanakan undang-undang sedia ada. Kita akan mengenakan syarat, iaitu dalam tempoh dua minggu, mereka perlu bertindak dan menunjukkan mereka memberi penekanan terhadap negara-bangsa. Saya akan adakan pertemuan dengan semua stesen televisyen tidak lama lagi. Ketika ini, kita sedang menyusun jadual dan kemudian menentukan stesen mana yang perlu memainkan peranan utama terhadap rancangan membina negara-bangsa dan selebihnya turut dilakukan stesen penyiaran lain. Berdasarkan pemerhatian, TV3 ada sediakan program ke arah itu, tetapi Astro hanya sebahagian kecil saja. Kita juga perlu lihat semula program sama di TV8 dan TV9.

Astro dilihat sebuah stesen penyiaran yang kerap memaparkan adegan yang keterlaluan seakan tiada tapisan. Adakah akta sedia ada tidak diguna untuk menyekat tindakannya itu?

Akta lama ialah Akta Komunikasi. Akta itu digunakan ketika diberikan lesen kepadanya, tetapi sekarang akta itu sudah dimansuhkan dan beralih kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kini kita sedang menyusun perundangannya supaya Astro juga tertakluk kepada undang-undang baru Komunikasi dan Multimedia. Sebelum ini mereka dilihat bertindak sesuka hati. Tapisan dalaman itu dilihat tidak begitu berkesan sehingga banyak juga adegan mencolok mata dan aksi kurang bermoral terlepas. Oleh itu, kita mahu nilai masyarakat sentiasa terjaga dan dipertahankan.

Ketika ini program RTM lebih bersifat terbuka berbanding dulu, seperti rancangan Blogs?

Kita galakkan masyarakat memberi pendapat dan tidak menghalang mereka memberi pandangan kritis, cuma perlu berasaskan kepada kebenaran. Jika ia tiada fakta, mereka berdepan dengan undang-undang berkaitannya. Mengadu-domba masyarakat menerusi ungkapan atau persembahan dianggap salah. Malangnya penguatkuasaan undang-undang itu tidak begitu berkesan kerana tidak ditekankan ke arah itu. Saya mahu industri penyiaran dan penguat kuasa melaksanakan kaedah betul. RTM tetap menjadi penyalur maklumat kerajaan dan landasan itu perlu kekal.

Evolusi teknologi maklumat seperti internet bergerak pantas dan seakan tidak dapat dikawal sehingga menjadi saluran alternatif berbanding stesen penyiaran?

Kita tidak dapat mengelak evolusi teknologi bergerak begitu pantas. Secara purata, hampir 5,000 blogger aktif di negara ini. Kita tidak dapat menahan mereka daripada melahirkan pandangan. Cuma masyarakat wajar melihat kenyataan sebenar dan tidak hanya bersandarkan kepada kenyataan dan pandangan bloggers di laman web. Daripada blog bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hingga kepada pihak lain, mereka adalah blogger. Kita tidak akan membuat apa-apa sebab kita tidak boleh dan mampu menapis atau menghalang mereka. Cuma pandangan mereka perlulah membina dan bukan berunsur fitnah, memutar belit fakta. Jika ada pihak tersinggung, kita ada undang-undang berkaitannya. Jumaat lalu, saya menemui 40 bloggers dalam majlis suai kenal dan saya akan terus berjumpa supaya mereka memainkan peranan ke arah kebaikan, selain memberi kritikan dan pandangan mengenai sesuatu isu. Kita juga sedang memantau bloggers yang merosakkan fakta kenegaraan.

(sumber; http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Rencana/20090504224706/Article/)

No comments: