Saturday, May 16, 2009

Kacamata: Umno utamakan penjelasan dari gelap, samar, terang



AHMAD (kanan) ketika melakukan lawatan kerja ke Pejabat Penerangan Umno.

Oleh Hishamuddin Aun
hishamaun@nstp.com.my


Ahmad Maslan sedia gerakkan jentera penerangan raih sokongan

AHMAD Maslan hanya tersipu-sipu apabila diingatkan zamannya bermain lastik dan layang-layang tidak lagi boleh disamakan dengan zaman pencinta internet, I-pod dan Playstation yang menjadi golongan sasarnya kini.

"Saya kena akui itu," kata Ketua Penerangan Umno yang baru dilantik itu. "Zaman memang sudah banyak berubah, apatah lagi golongan muda lebih terdedah kepada kecanggihan teknologi, termasuk kecenderungan mereka kepada media maya."

Di bahunya terpikul amanah yang amat berat. Sebagai pengganti Tan Sri Muhammad Muhd Taib, pelantikan Ahmad, 43, seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, 24 April lalu, bukan tanpa bersebab.

Harus tidak bersalahan untuk beliau dilihat berupaya memainkan peranan sebagai jambatan bagi generasi baru di dalam Umno.

Pada usia awal 40-an, Ahmad dirasakan sesuai untuk menyelami aspirasi generasi berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an di mana Umno kehilangan sokongan pada Pilihanraya Umum (PRU), 8 Mac tahun lalu.

"Tujuh petala langit di bahu kanan dan tujuh petala langit di bahu kiri... begitulah saya rasa beratnya tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan Umno," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad, yang tidak berselindung sebagai anak keluarga penoreh getah di Kampung Parit Yusuf, Lubok Sipat, Benut, Johor yang baru menikmati kemudahan elektrik, air paip dan jalan tar kurang daripada 15 tahun lalu, tidak menganggap ada apa-apa yang mustahil.

Dari kecil, beliau sudah jenuh mengharungi pelbagai kepayahan sebagai anak kampung yang daripada kata-katanya sendiri, terperosok di 'tempat jin bertendang'.

Lantaran itu juga, empat keutamaan bagi membantu Presiden Umno dan parti dalam tugas barunya itu, diberinya kod 'mission possible'.

Pertama, untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dengan Umno sebagai parti tonggak, memenangi PRU Ke-13 dengan majoriti lebih dua pertiga serta menawan kembali negeri yang kalah.

Kedua, mengukuhkan kembali Umno menerusi proses penjenamaan dan peremajaan semula di segenap peringkat.

Ketiga, menyatupadukan semula di bawah lembayung Umno orang Melayu yang kini berpecah kepada empat kelompok, termasuk golongan atas pagar.

Keempat, menarik semula sokongan orang Cina dan India yang berpaling daripada menyokong BN pada PRU Ke-12.

"Mula-mulanya saya tertanya-tanya juga kenapa saya yang dipilih untuk tugas ini," akui Ahmad. "Lazimnya jawatan Ketua Penerangan Umno diberi kepada veteran dalam parti.

"Datuk Najib yang yakinkan saya bahawa tak ada masalah dari segi itu kerana beliau sendiri jadi Menteri Besar pada usia 28 tahun dan jadi menteri pada usia 34 tahun."

Malah, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut terdorong untuk melihat daripada keanggotaan 48 orang dalam MT Umno, cuma enam adalah dari golongan muda.

"Soalnya macam mana kita nak tarik golongan berusia 30 tahun kalau tidak dipertanggungjawabkan kepada beberapa kerat dalam MT yang hampir dengan usia mereka juga," katanya.

Lebih daripada itu, tugas Ketua Penerangan Umno memerlukan seorang yang suka banyak bercakap dan Ahmad harus memenuhi kriteria itu.

Celotehnya berbagai-bagai � daripada berlatarbelakangkan jawatan Ketua Penerangan Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) sejak Mei 2008 serta Ketua Penerangan UMPG (Umno MP Group).

Singkatan daripada Umno itu sendiri diterjemahkannya sebagai 'untuk membela nasib orang' sambil pendekatan yang mahu diterapkannya sebagai Ketua Penerangan Umno pula mengambil sempena 'GST'.

"Bukan government sales tax tapi dari gelap kepada samar, dari samar kepada terang," katanya.

"Kita akan menggunakan media bersemuka, media elektronik, media cetak dan media maya untuk mendekati kumpulan sasar seluruh rakyat Malaysia kerana Umno ini bukan hanya perjuangan untuk orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia."

Ahmad turut akur bahawa di atas kertas, Umno hari ini yang memiliki lebih 20,000 cawangan di seluruh negara, kecuali Sarawak, mempunyai jentera yang amat hebat � setiap satunya mempunyai ketua penerangan selain jawatan sama dari setiap sayap wanita, pemuda dan puteri.

Jika dijumlahkan semuanya, Umno boleh bersandar kepada lebih 80,000 ketua penerangan di peringkat cawangan saja yang harus mempermudah tugas untuk memberi penjelasan sesuatu isu atau dasar kerajaan kepada rakyat.

"Tapi itu cuma di atas kertas," kata Ahmad, "sedangkan dari segi realitinya tidak semudah itu. Ramainya ketua penerangan di peringkat cawangan sampai mereka tidak tahu apa tugas mereka.

"Walhal duduk di kedai kopi dan bercerita baik mengenai Umno itu juga kerja penerangan.

"Kalau jenamanya saja baik tapi pemasarannya tak cantik pun tak jadi juga. Nanti barang tak terjual."

Seperti sering diingatkan oleh Najib bahawa era 'kerajaan tahu semua' sudah berlalu, Ahmad menerima hakikat bahawa biro diketuainya memerlukan pendekatan luar biasa dalam tempoh dua tahun berikut bagi memastikan sokongan orang Melayu kepada parti itu kukuh dan masih tetap relevan.

"Dua tahun bukanlah masa yang panjang," katanya. "Apabila kita fikirkan banyaknya kerja penerangan yang hendak dibuat, tempoh dua tahun itu sebenarnya sangat suntuk."

Dalam pada itu, tidak semua yang dapat digerakkan serta-merta, termasuk keanggotaan Biro Penerangan Umno yang belum dapat dilengkapkan kerana ketua-ketua perhubungan negeri yang baru dilantik, belum menamakan ketua penerangan masing-masing.

Sambil sesetengah masih boleh menunggu, Ahmad pula tidak mahu berlengah � jadualnya akan bermula dengan pertemuannya dengan ketua penerangan Umno bahagian, berserta ketua penerangan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian di seluruh negara, bermula di Melaka hari ini.

"Saya akan turun padang dari satu negeri ke negeri yang lain untuk bersemuka dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka.

"Kita tidak boleh hanya bercakap untuk turun padang bila pada masa lalu ramai yang memilih untuk turun ke padang golf.

"Selain sesi penerangan, ceramah, bengkel dan kursus, Umno memerlukan lebih daripada itu bagi memastikan ketua penerangan sama ada di peringkat bahagian mahupun ketua penerangan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian, benar-benar memahami peranan dan tugas masing-masing," katanya.

Bagi seorang yang dari kecil sudah terbiasa bermalamkan lampu pelita dan bermandikan air sungai dan telaga, Ahmad berharap untuk menunjukkan contoh bagaimana rakyat boleh didekati untuk sokongan kepada Umno diperkukuhkan.

"Kita harus berubah jika tidak mahu diubah, kalau tidak berubah kita akan rebah, dan kalau kita tak perintah, maka kita akan diperintah."

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090509231052/Article/)

No comments: