Friday, May 1, 2009

UMNO tak perlu reform tetapi re-engineering –Ku Nan





Perubahan mesti bermula dari kakitangan Ibu Pejabat UMNO dengan menanamkan niat betul untuk memantap dan memperkuatkan parti..

Demikian saranan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika berucap di Majlis Perpisahan mantan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Husainay Hashim di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Khamis malam .

Beliau menegaskan bahawa perubahan mesti berlaku dalam parti bagi membangkitkan kejayaan UMNO.

Tengku Adnan yang disambung perkhidmatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO berkata, “banyak pihak yang anggap UMNO perlu di ‘reform’ atau di ‘re-brand’ tetapi ianya tidak perlu kerana sebenarnya Barisan Nasional (BN) dan UMNO mesti di ‘re-engineering’ “.

Menurutnya, BN dan UMNO bukan sekadar ingin tetapi mesti mengadakan perubahan.

“Saya sarankan, kalau orang dalam parti tidak mahu berubah, kita (kakitangan) di Ibu Pejabat UMNO agar terlebih dahulu mulai berubah. Semua struktur dalam BN dan UMNO sudah ada, yang perlu sekarang adalah ‘re-engineering’ petugas parti”, jelasnya.

Tengku Adnan juga mengingatkan agar kakitangan Ibu Pejabat UMNO agar memberi perkhidmatan terbaik pada ahli-ahli parti atau bahagian yang datang meminta pertolongan dan bantuan.

“Kita mesti laksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, cepat tanpa banyak helah atau melambat-lambatkan perlaksanaan tugas sekiranya kita sayangkan parti ini.

“Kita mempunyai masalah, kita tidak boleh tinggalkan masalah, tutup atau simpan masalah yang kita hadapi. Apa juga masalah yang kita hadapi mesti perbaiki dan atasi dengan niat hati kita yang betul-betul mahukan parti kita ini mantap dan kuat,"katanya.

Beliau menambah, “kalau kita tidak ada niat untuk mantapkan parti ini dan kita jadi musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan, parti akan jadi rebah.”

Sambil menuding jari ke logo UMNO, Tengku Adnan berkata, “logo UMNO tidak salah, yang salahnya kita semua ahli UMNO dan yang salah kita semua dalam UMNO jangan salahkan parti UMNO.”

“Kita percaya pada perjuangan UMNO yang ditubuhkan oleh datuk nenek moyang kita sejak 1946 adalah untuk mempastikan bahawa hak orang Melayu tidak tergugat. Kita berperanan untuk memperkukuhkan UMNO ini seperti mottonya dulu, kini dan selamanya.”

“Sungguhpun kita kehilangan enam negeri dalam pilihan raya umum lepas, tetapi kita menaruh keyakinan sekiranya usaha digembelingkan, UMNO akan bangkit semula.” ujarnya.

Turut hadir di majlis tersebut Setiausaha Kerja UMNO yang baru Datuk Rauf Yusoh, mantan Setiausaha Kerja Datuk Husainay Hashim dan lebih 100 orang kakitangan Ibu Pejabat UMNO Malaysia.

Dalam ucapan balas Datuk Husainay memberitahu bahawa beliau amat berbangga dapat berkhidmat untuk sebuah parti yang membela nasib bangsa Melayu disamping membawa beberapa perubahan pada kakitangan ibu pejabat parti itu terutama dari sudut kebajikan.-30/4.2009

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_f828435a-7f000010-65178400-71e87330)

No comments: