Saturday, May 23, 2009

Hindari Hindraf







Oleh: Badrul Hisham Abdul Aziz

Apabila Parti Komunis Malaya (PKM) diharamkan ahli-ahlinya diketahui sebagai penentang kerajaan amat dimusuhi rakyat. Rata-rata rakyat membenci para komunis kerana mereka bukan sahaja musuh pasukan keselamatan tetapi juga musuh rakyat amnya kerana menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Kegiatan para komunis bukan sahaja menjejaskan usaha-usaha membangun dan memajukan negara selepas merdeka, tetapi juga merencatkan semangat setia kawan dan perpaduan di kalangan rakyat majmuk di negara ini..

Bagitu juga, apabila pergerakan Al-Arqam pimpinan Ashaari Muhamad diharamkan, para pengikutnya tidak lagi mendapat tempat dan sokongan daripada orang awam mulai pudar. Para pemimpinnya juga ‘dibersihkan dan dicuci dengan berus dawai.’

Walaupun ada usaha-usaha untuk ‘menghidupkan’ kembali pergerakan berteraskan Islam tetapi menyimpang daripada ajaran sejatinya, ketegasan dan kesungguhan pihak berkuasa telah membendung usaha itu.

PKM pula kini hanya tinggal sebasgai bahan sejarah yang dibaca oleh para pelajar peringkat sekolah rendah dan menengah.

Bagaimanapun, agak berbeza daripada Hindu Rights Action Force (Hindraf) setaraf dengan PKM dan Al-Arqam yang diharamkan, mendapat tempat di dada media dan orang ramai pula bebas menggerakkan pertubuhan haram itu.

Hindraf boleh lakukan apa sahaja termasuk memberi kata dua kepada kerajaan atau mengadakan sebarang kegiatan haram.

Kenapa pelbagai usaha digerakkan untuk memupuskan PKM dan melumpuhkan Al-Arqam sedangkan Hindraf masih berleluasa? Itulah persoalan umum yang menjadi tajuk di kalangan orang awam yang ternanti-nanti akan jawapannya.

Pihak kerajaan termasuk polis telah memberikan pelbagai amaran kepada Hindraf termasuk menyumbat para pemimpinnya ke dalam sel tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Bagaimanapun amaran-amaran pihak polis itu bagaikan dilihat sebagai sidang akhbar biasa untuk mengumumkan sesuatu sahaja.

Mereka tetap mengadakan perhimpunan jalanan dan apabila direstui dan diapit oleh para pemimpin parti pembangkang, mereka semakin berani termasuk telah menggunakan Bangunan Parlimen sebagai medan perjuangan haram mereka.

Perhimpunan dan perarakan jalanan seperti yang diadakan pada 25 November 2007 adalah bukti ‘kejayaan’ mereka. Hindraf yang disertai dan direstui pihak parti pembangkang berjaya menghuru-harakan ibu negqra Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan berhampiran di sekitar Selangor.

Kesesakan lalulintas berlaku di seluruh Lembahh Klang, keganasan berlaku di ibu kota dan kegiatan pelbagai pihak tergendala, tetapi Hindraf pasti ketawa riang kerana berjaya menghuru-harakan keadaan khususnya mengakibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menambah anggota dan waktu bekerja untuk menangani masalah tersebut.

Kini, selepas para pemimpin Hindraf dilepaskan dari tahanan ISA, pergerakan haram itu bagaikan mendapat ilham dan lampu hijau untuk kembali berhimpun secara gelap di jalanan hanya semata-mata menyatakan sokongan kepada Penasihat Undang-undangnya B. Uthayakumar yang enggan menemui Lembaga Penasihat ISA , kelmarin.

Pergerakan itu memberi kata dua kepada pihak polis atau kerajaan iaitu tarik balik arahan itu atau hadapi perhimpunan haram yng akan mereka lakukan.

Menteri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri telah berkali-kali bertukar selepas mereka berkali-kali pula memberi pelbagai amaran kepada Hindraf tetapi tidak pernah dihormati dan digeruni.

Begitu juga dengan nasihat dan amaran keras polis yang diambil mudah sahaja - tanpa sedikitpun merasa bersalah kerana menyulitkan kehidupan rakyat khususnya di Lembah Klang di samping memberi imej buruk kepada negara luar yang memungkinkan memudaratkan pula ekonomi negara.

Bagi Hindraf, apa yang penting hanyalah perasaan para pemimpin mereka. Apabila para pemimpin yang terdiri daripada para peguam ditahan di bawah ISA, kerajaan didakwa telah menahan mereka secara tidak sah. Bagaimanapun, sejak sekian lama tahanan yang terdiri daripada bukan pengamal undang-undang ‘disekolahkan’ di Kem Kamunting, tidak pula diendahkan.

Pemimpin Al-Arqam tidak pernah memberi kata dua kepada Ketua Polis Negara, jauh sekali menjadi punca huru-hara jalanan, tetapi Hindraf boleh lakukannya.

Sudah sampai masanya bagi pihak kerajaan dan polis mengkaji semula kedudukan pergerakan haram ini di samping terus bertindak terhadap Hindraf tanpa menunggu huru-hara berulang gara-gara perbuatan tidak bertanggungjawab pergerakan haram yang didalangi para politik pembangkang itu.

Amaran, hatta kata dua sekalipun sudah tidak sesuai lagi bagi mengendalikan Hindraf.

Jika kerajaan boleh mengeluarkan begitu banyak belanja serta menggembleng tenaga dan usaha untuk mengatasi masalah mat rempit atau samseng jalanan, kenapa tidak tindakan yang sama diperkukuh untuk menghindari Hindraf yang pastinya suatu hari nanti boleh menjadi pencetus perbalahan seperti peristiwa 13 Mei 1969 jika langkah berani tidak dimulakan sekarang!

Menghindari Hindraf bermakna membina perpaduan dan keharmonian rakyat.-22/5/2009

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_65664072-7f000010-96478e00-69f782ef)

1 comment:

Anonymous said...

Kerajaan nampak macam amat berlembut dengan hindraf ni..

adakah kerana hindraf ni di dalangi oleh pembangkang serta para peguam keturunan india dan kerajaan amat berhati-hati hendak bertindak.

atau pun adakah kerajaan hanya berani bertindak dengan orang melayu dan beragama islam sahaja..