Sunday, May 3, 2009

Di luar Lingkaran: Malaysia yang bagaimana?

Johan Jaaffar

Wacana, debat, dialog perlu diteruskan

KITA berada dalam waktu yang sukar. Belumpun habis isu kegawatan ekonomi global, dunia berdepan dengan ancaman wabak selesema babi yang bermula dari sebuah negara Amerika Latin. Nampaknya tidak ada berita gembira setakat bulan Mei tahun ini.

Malaysia tidak terkecuali. Mungkin akan lebih banyak kedengaran berita yang tidak memberangsangkan. Mujurlah, sekurang-kurangnya daripada aspek ekonomi, kita sudah membuat persiapan sewajarnya. Tetapi hakikatnya kita hanya boleh merancang. Hanya Allah yang menentukan jaya tidaknya.

Kita harus mengakui bahawa pada dasarnya rakyat Malaysia selalu optimistik. Malah, bukan sekali kita berdepan dengan krisis dalam apa bentuk sekalipun. Namun kita boleh ketawa dalam kesukaran, bersyukur dalam kepayahan dan bertenang dalam kerumitan. Kita mempunyai daya tahan yang luar biasa bagi menghadapi krisis walau seburuk manapun.

Sebahagian besar daripada kita tidak akan menuding jari mencari salah orang lain dalam keadaan kita menghadapi masalah. Kita lebih rela bekerja untuk memperbaiki keadaan yang ada. Memulihkan ekonomi yang terjejas menjadi keutamaan kita. Membina masyarakat harmoni dan berbaik sangka menjadi keutamaan kita. Kita rata-rata bukan jenis manusia yang mentertawakan kelemahan orang lain, menelanjangkan keaiban orang lain apa lagi menghina orang lain.

Rakyat Malaysia terbina daripada rantaian panjang nilai agama dan tradisi budaya zaman berzaman. Kita telah berjaya membina tamadun dan tradisi yang tidak kurang gemilangnya. Kita membangunkan era berkerajaan secara sistematik dan terancang sejak empayar awal di Nusantara lagi. Kita menggerakkan tradisi ilmu dan kesarjanaan dalam pelbagai lapangan dengan cara dan acuan kita sendiri. Kita menjadi sebahagian daripada warisan gemilang Nusantara dengan kepelbagaian kebolehan dan kepandaian, daripada bidang ilmu hinggalah seni budaya.

Pujangga istana, sasterawan dan seniman, mubaligh dan bijak pandai agama, juga cendekiawan Melayu telah menjulang tradisi berdialog, berhujah dan berdebat secara waras dan terbuka. Ilmuwan dan pemikir kita terbabit dalam wacana ilmu dan dialog cerdik sejak lama. Inilah tradisi membanggakan yang diwariskan dari zaman Kesultanan Melayu silam. Orang Melayu juga mengambil iktibar daripada tradisi ilmu yang dibawakan oleh ilmuwan dan pemikir Islam.

Apabila akhbar Melayu pertama Jawi Peranakan lahir pada penghujung Abad ke-19, bermulalah tradisi persuratkhabaran yang membuka jendela baru pemikiran di kalangan orang Melayu. Kelahiran Al-Iman yang merupakan wahana ilmuwan Muslim progresif pada tahun 1906 menjadi titik tolak penting debat sihat di kalangan orang Melayu. Walaupun isu Kaum Muda-Kaum Tua mendominasi ketika itu, namun wartawan, kolumnis dan penulis masa itu mulai memanfaatkan penerbitan massa untuk tujuan berinteraksi. Tradisi inilah yang melahirkan akhbar Utusan Melayu, dan tentunya akhbar massa seperti Berita Harian dan Berita Minggu.

Era persuratkhabaran Melayu yang bermula sejak Jawi Peranakan sejak 1876 tidak pernah melihat zaman surutnya, malah sentiasa menarik, mencabar dan mengujakan. Yang berubah hanya zaman, pengendali dan pembacanya.

Dalam kerangka ini saya selalu mengajak pada dialog cerdik dan sihat. Marilah kita meletakkan diri kita di atas landas politik dan kepentingan. Marilah kita meneruskan tradisi perbahasan yang sihat. Kita harus bersedia untuk tidak menyetujui tetapi dengan cara beradab dan bersopan.

Saya terbabit mengendalikan program 'Debat Perdana' di RTM1 yang secara berani menampilkan pimpinan politik dari pelbagai kelompok. Mereka kritikal dan mendesak. Tetapi mereka sedar peluang untuk muncul di media arus perdana milik pemerintah pada waktu prima bukan kesempatan yang boleh diambil mudah. Lantas mereka menggunakannya sebaik-baiknya menghujahkan pendirian dan sikap dengan stail dan gaya tersendiri. Selama lapan musim 'Debat Perdana' berjalan dengan mengundang segala kontroversinya. Tetapi yang untung ialah kebebasan bersuara dan hak untuk berartikulasi.

Saya menyanjung hak dan kebebasan bersuara seperti yang dilindungi oleh Perlembagaan. Tidak ada siapa yang boleh mengambilnya daripada kita. Tetapi sebagai penulis yang menggunakan medium apapun � di media arus perdana, di dalam lidah rasmi parti pembangkang, di blog � prinsip dan etika penulisan harus dipertahankan. Kebebasan harus datang dengan tanggungjawab. Menghina, memfitnah, melepas dendam kesumat dan menyebarkan hasutan bukan ukuran kebebasan yang kita inginkan.

Marilah kita meneruskan tradisi mencambah minda, berlampas otak dan berdebat sihat. Bangsa dan negara memerlukan semua ini. Marilah kita kesampingkan kebencian dan kemarahan semata-mata kerana orang lain bukan di sebelah kita atau tidak sefahaman dengan kita.

Prinsip 1Malaysia yang diajukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberikan lapan prinsip teras yang penting. Biarlah ia menjadi landas perbincangan ke arah mencapai apa yang kita hajatkan sebagai sebuah negara bangsa. Ia harus dilihat dari luar kerangka retorik dan propaganda semasa. Konsep itu harus berkembang dari bawah, didefinisi dan hakmilikkan oleh massa, bukan slogan yang diturunkan ke bawah. Biarlah konsep itu didebat dan dihujahkan dengan cara yang penuh tanggungjawab dan penuh hormat. Biarlah kita bercanggah pendapat asalkan kita menjana pemikiran baru untuk bergerak ke hadapan.

Ini rencana saya yang ke-323 bagi kolum ini, dan yang terakhir. Diam-diam sudah enam tahun saya menulis rencana untuk kolum yang diberi nama 'Di Luar Lingkaran' dalam akhbar ini. Kolum ini menemui pembaca selama enam tahun, sebulan dan dua minggu. Kecuali beberapa keluaran yang tidak memuatkan rencana ini (kerana keluaran khas mengenai sesuatu isu atau peristiwa) saya tidak pernah menggagalkan penyunting saya dari segi deadline rasanya.

Saya memulakan kolum ini secara kebetulan apabila bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Tan Sri Abdullah Ahmad, menawarkan saya 'mengambil separuh' kolum beliau. Tulisan beliau dalam akhbar ini mulanya semuka penuh dan beliau berasa berat akhirnya memenuhkan ruangan itu. Pada masa itu saya sudah mempunyai ruangan di New Straits Times. Saya memulakan Point Blank di NST mulai 30 November 2002.

Pada masa ini sayalah satu-satunya penulis kolum dalam akhbar arus perdana yang menulis dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Rencana disiarkan setiap minggu di kedua-dua akhbar tersebut bukan terjemahan daripada yang lain, melainkan rencana asli. Tentulah menjadi cabaran untuk menulis dua isu berbeza dalam dua bahasa berlainan dalam seminggu. Saya harus melakukan mental switching kerana kedua-dua bahasa mempunyai lenggok, nuansa dan pendekatan yang berbeza. Saya harus bercakap kepada dua audiens berbeza, dengan nilai dan perspektif yang mungkin juga berbeza.

Terlalu banyak bahan yang sudah saya tulis dalam kolum ini, dari politik, ekonomi, sosial, budaya, seni, sastera dan entah apa lagi. Saya mengambil serius tugas dan tanggungjawab saya. Saya mencuba untuk tidak menghampakan penyunting saya, apa lagi pembaca saya. Saya berbangga diberikan kesempatan menulis di halaman ini. Tulisan di dalam kolum ini mendapat perhatian, teguran, kecaman dan ada kalanya maki hamun. Bagi penulis, tugas kita menulis. Tulisan kita akan dibaca dan dinilai. Sebagai penulis saya sudah menjalankan amanah saya.

Saya menganggap pengalaman menulis dalam kolum ini paling istimewa dalam sejarah saya menulis. Saya dengan ini, mohon berundur. Selamat membaca Berita Minggu, akhbar yang mencorakkan nilai dan minda bangsa dan warga Malaysia. Akhbar mingguan yang meletakkan penanda aras baru dunia kewartawanan dan penulisan akhbar arus perdana di negara ini.

Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti.

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090502221041/Article/index_html)

No comments: