Friday, August 27, 2010
DISEBALIK KEJADIAN PENAHANAN NELAYAN MALAYSIA OLEH INDON !
DISEBALIK KEJADIAN PENAHANAN NELAYAN MALAYSIA OLEH INDON !
Pada masa kejadian, kelima-lima bot tersebut sedang menangkap ikan di perairan yang telah menjadi kawasan menangkap ikan sejak sekian lama. Pasukan Gerakan Marin (PGM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan insiden tersebut pada 9.35 malam.
Susulan dari itu, bot ronda laju PC 9 dan PSC 26 PGM diketuai oleh Asisten Supritendan Ahmad Amri Abdul Rahman yang sedang membuat rondaan rutin di perairan tersebut telah diarahkan mengesan bot nelayan tersebut. Pada 10.45 malam, lima bot nelayan dan bot Dolphin 015 dikesan di lokasi 010 18.9’ Utara, 1040 24.4’ Timur iaitu kira-kira 0.4 batu nautika dari Batuan Tengah (Middle Rocks) yang sedang dalam pelayaran menuju ke Batam, Indonesia.
Lokasi ini masih di dalam perairan laut wilayah Malaysia. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 telah memutuskan Batuan Tengah milik Malaysia. Bot PC 9 telah mengarahkan bot Dolphin 015 untuk berhenti namun tidak diendahkan dan dua das tembakan flare ke udara menggunakan light pistol dilepaskan.
Bot Dolphin 015 masih enggan berhenti dan terus memecut laju memasuki perairan Indonesia. Bot PGM berhenti mengejar setelah Bot Dolphin 015 didapati memasuki perairan Indonesia.
Tindakan PGM ini adalah selaras dengan prosedur yang ditetapkan di bawah Arahan Ketua Polis Negara, tembakan amaran ke udara tidak dilepaskan kearah bot Dolphin 015 dan bot PGM berhenti mengejar setelah bot tersebut memasuki perairan Indonesia.
Semasa PGM membuat pemeriksaan ke atas lima bot nelayan tersebut, didapati tiga pegawai penguat kuasa KKP menyorok di dalam bilik enjin dua bot nelayan dan salah seorang darinya telah menanggalkan pakaian seragam KKP.
Tindakan itu dipercayai bagi untuk mengelak dari ditangkap oleh PGM. Sistem Penentu kedudukan Global (Global Positioning System) bot juga telah dirosakkan.
Salah seorang penguat kuasa KKP telah dihubungi oleh Ketua Bot Ronda KKP yang dikenali sebagai Hammanto dan telah menawarkan pertukaran pegawai penguatkuasa KKP yang ditahan dengan tujuh nelayan Malaysia.
Namun demikian, tawaran tersebut ditolak kerana ia berlaku dalam perairan Malaysia dan PGM bertegas tindakan undang-undang akan diambil sewajarnya. Kesemua lapan nelayan dan lima bot serta tiga penguat kuasa KKP telah dibawa ke Jeti Jabatan Laut Tanjung Pengelih untuk siasatan lanjut.
Ketiga-tiga pegawai penguatkuasa ini telah disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Penculikan).
Mereka telah ditahan di lokap IPD Kota Tinggi dan direman selama empat hari oleh Mahkamah sehingga 18 Ogos 2010 bagi siasatan lanjut. Pihak PDRM telah memberikan layanan yang sama sebagaimana yang digunapakai ke atas warga Malaysia yang ditahan dalam lokap berdasarkan prosedur yang ditetapkan.
Pada 14 Ogos 2010, satu laporan Polis telah dibuat oleh adik salah seorang nelayan yang ditahan menyatakan bahawa beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon +6281270228267 yang tertulis “Tolong kirim RM1,000 Untuk taikong Melayu untuk tiga orang Cina RM 2,500, jadi semua RM 3,500. Kirim lewat western union atas nama Harun No KTP 2171071708659006, Alamat: Tanjung Piayu sei Beduk, Batam. Ok?.
Siasatan awal PDRM mendapati nombor telefon tersebut juga turut disimpan dalam telefon bimbit milik tiga pegawai penguat kuasa KKP. Pada 16 Ogos 2010, lima pegawai dari Konsulat Jenderal Republik Indonesia telah datang ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bagi membincangkan urusan pembebasan tiga pegawai penguatkuasa KKP.
Pegawai tersebut juga dibenarkan menemui tiga penguat kuasa tersebut di lokap IPD Kota Tinggi. Pada 17 Ogos 2010, pukul 9.20 pagi, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi telah menyerahkan tiga pegawai penguat kuasa KKP kepada Jonas L. Tobing, wakil Konsulat Republik Indonesia.
Pembebasan ini dibuat setelah beberapa siri rundingan diplomasi, siasatan kes telah selesai dijalankan dan bagi menjaga hubungan baik Malaysia dan Indonesia.
Malaysia telah mengemukakan Nota Bantahan Diplomatik ke atas tindakan pencerobohan dan penahanan 7 nelayan Malaysia oleh bot Dolphin 015 milik KKP.
Tindakan ini merupakan satu pencabulan ke atas integriti dan kedaulatan wilayah Malaysia.
Sejak 2005 hingga Ogos 2010, terdapat 12 kes pencerobohan bot dan kapal Pihak Berkuasa Indonesia dalam perairan Johor sahaja.
Nelayan tempatan yang menangkap ikan dalam perairan Malaysia kerap menjadi mangsa peras ugut dan diminta membayar sejumlah wang bagi membebaskan nelayan yang ditahan.
Insiden seumpama ini akan berulang di masa hadapan khususnya dalam musim perayaan yang akan disambut tidak lama lagi.
Pihak Berkuasa Malaysia komited dan akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dalam kawasan perairan Malaysia berdasarkan Peta Baru 1979 ke atas sebarang pencerobohan dalam perairan negara.
Pihak nelayan hendaklah memberikan kerjasama dengan terus membuat laporan kepada Pihak Berkuasa mengenai insiden yang berlaku supaya tindakan yang cepat dan berkesan dapat diambil sewajarnya.
Di samping itu, tindakan-tindakan yang diambil oleh pegawai penguatkuasa KKP Indonesia semasa berada di dalam bot nelayan telah menimbulkan keraguan dan mengukuhkan lagi pandangan bahawa insiden ini adalah angkara pihak dan individu daripada agensi berkenaan menggunakan kedudukan mereka demi kepentingan masing-masing.
Keberadaan mereka di atas bot nelayan dan tindakan menanggalkan pakaian seragam serta menyorok di dalam bilik enjin jelas menunjukkan bahawa mereka telah melakukan pelbagai kesalahan dan berusaha untuk menggelak daripada dikesan oleh pihak PDRM.
Usaha untuk membuat pertukaran tujuh nelayan dan tiga pegawai KKP oleh ketua bot Dolphin 015 dalam tempoh beberapa jam setelah kejadian dilihat sebagai inisiatif persendirian beliau untuk menutup insiden berkenaan.
Posted by GAP KEMBALI at 12:00 PM
(sumber;http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com/2010/08/disebalik-kejadian-penahanan-nelayan.html)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment