Sunday, August 8, 2010

Bersama Selebriti: 'Tidak perlu banyak birokrasi logo halal'

Bersama Selebriti: 'Tidak perlu banyak birokrasi logo halal'


2010/08/08

KHATIJAH Ibrahim di hadapan restorannya, Khadijah’s Kitchen, di Petaling Jaya.
JAKIM patut utama pemilik restoran Muslim

SUDAH dua tahun penghibur tersohor negara, Datuk Khadijah Ibrahim yang mengusahakan restoran, Khadijah’s Kitchen, menunggu logo halal untuk dipamerkan di premisnya. Namun, hingga hari ini beliau masih belum menerima maklum balas daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai permohonan itu.

Wartawan Edisi Mingguan, ZUBIR MOHD YUNUS menemubual Khadijah mengenai pengalamannya dalam perniagaan makanan serta masalah yang dihadapi untuk mendapatkan sijil halal JAKIM.

Apa pandangan Datuk mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pengusaha restoran yang tidak menitikberatkan kepentingan logo halal di premis mereka.

Bagi saya, pengusaha restoran atau kedai makan milik orang Islam yang tidak mempamerkan logo halal di premis mereka bukanlah satu kes yang boleh dianggap berat.

Pasti pengusaha yang juga orang Islam akan menyajikan makanan halal kepada pelanggan mereka. Kita sebagai pengusaha sentiasa menanti pihak berwajib seperti JAKIM mengeluarkan sijil atau logo halal untuk dipamerkan di premis masing-masing, namun ia bukan satu proses yang mudah kerana ia mengambil banyak masa.

Sudah semestinya orang Islam harus mengambil berat aspek halal dan haram dalam soal pemakanan. Sebagai contoh, pada setiap kotak makanan yang kita import atau eksport diharuskan mempunyai logo halal.
Ketika saya masih berada di New Zealand suatu ketika dulu, makanan halal mudah diperoleh. Sebagai pelanggan, kita harus selalu bertanya, adakah makanan yang kita ambil itu halal atau sebaliknya. Sekiranya masih was-was, kita tidak boleh menjamah makanan itu.

Pada pandangan Datuk, apakah punca ramai pengusaha makanan tidak mengambil inisiatif mendapatkan sijil dan logo halal.

Seperti yang saya jelaskan tadi, proses untuk memperoleh sijil atau logo halal, sukar diperoleh kerana ia memakan masa yang panjang. Tidak dinafikan, sekiranya premis makanan milik orang Islam yang masih belum mempamerkan logo halal, mereka berdepan kesukaran untuk meneruskan operasi perniagaan masing-masing.

Ada kes, jika di premis berkenaan turut menjual minuman keras untuk disajikan kepada pelanggan bukan Islam, pengusaha itu tidak akan diberikan sijil atau logo halal untuk dipamerkan di restoran mereka.

Seperkara lagi, takkan setiap kali kita ke pasar basah untuk membeli ayam yang disembelih oleh orang Islam, kita hendak bertanya pengusaha berkenaan, adakah mereka sudah memperoleh sijil halal yang lazimnya dimohon pemilik restoran?

Begitu juga halnya apabila kita membeli daging lembu dari Dubai, takkan pihak JAKIM hendak ke sana mengeluarkan logo halal kepada pengusaha di negara itu? Apabila pelanggan mengunjungi restoran milik orang Islam, mereka harus ada kepercayaan antara satu sama lain, adakah kita sanggup bertanya atau tercari-cari sama ada restoran berkenaan memiliki logo halal, padahal ia sahih milik orang Islam?

Namun, sekiranya kita mengunjungi restoran mamak atau hailam, perlu ada perhatian lebih serius mengenai kesahihan logo halal yang dipamerkan.

Mungkinkah masalah itu disebabkan sikap sambil lewa ramai muslim yang mudah percayakan logo yang dipamerkan.

Siapa yang mengeluarkan sijil atau logo halal berkenaan? Sekiranya logo halal mudah diberikan kepada pengusaha restoran bukan beragama Islam, kita tidak boleh menyalahkan peniaga berkenaan.

Bukankah agama Islam itu sendiri menuntut umatnya menghormati antara satu sama lain? Sekiranya ada pelanggan yang beragama Hindu datang ke restoran saya, saya akan bertanya, bolehkah dia mengambil daging lembu kerana kita menghormati agama yang dianutinya.

Justeru, kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan logo halal, mereka sewajarnya perlu melakukan penyelidikan, bukan sewenang-wenangnya logo berkenaan dikeluarkan.

Pernahkah Datuk sendiri berdepan masalah restoran yang memaparkan logo halal yang meragukan.

Tak pernah pula. Saya hanya mengunjungi restoran yang saya yakin makanannya halal. Kalau tak yakin, saya tak makan. Sekiranya masih ragu-ragu, makan saja di rumah sendiri, masak nasi, goreng telur dadar tambah kicap dan buat sambal belacan!

Sambil makan boleh menonton TV. Itu sah-sah kita tahu di mana sumbernya dan siapa yang masak. Namun, saya yakin kebanyakan rakyat Malaysia lebih menghormati agama masing-masing. Sekiranya kita mahu orang lain menghormati Islam, kita juga harus menghormati agama lain.

Berdasarkan pengalaman sebagai pengusaha restoran, apakah Datuk berdepan kesukaran mendapatkan logo halal ini.

Saya tidak nafikan, Khadijah’s Kitchen memang sukar nak memperoleh logo halal. Siapa yang sembelih ayam, daripada mana sumbernya, semua itu diambil kira. Bukan restoran di Kuala Lumpur saja yang menghadapi kesukaran memperoleh logo halal, sebaliknya premis di luar bandar juga berdepan masalah sama.

Semua permohonan perlu dibuat menerusi online.

Saya sendiri masih menunggu mendapatkan logo halal untuk dipamerkan di Khadijah’s Kitchen. Terus-terang saya katakan, selama dua tahun saya menunggu, namun logo berkenaan masih belum diperoleh untuk dipamerkan di premis saya.

Bagi saya, apalah salahnya kita ketepikan permohonan menerusi online itu, sebaliknya pihak berwajib datang ke restoran melakukan pemeriksaan. Contohnya, restoran yang saya usahakan di New Zealand beroperasi selama 12 tahun, tapi tak pernah pun ada sijil halal kerana undang-undang negara berkenaan tidak memerlukannya.

Namun, setiap dua minggu sekali, ada pihak berwajib datang ke restoran membuat pemeriksaan. Mereka percaya kepada kebersihan dan mutu makanan yang saya sajikan kepada pelanggan. Bagi saya, maksud halal itu sendiri perlu kita fahami sedalam-dalamnya.

Pada pandangan Datuk, apakah punca kesukaran itu.

Seperti yang saya nyatakan tadi, setiap permohonan untuk mendapatkan sijil atau logo halal perlu dibuat secara online. Bayangkan, jika di premis berkenaan ada 30 menu makanan, kita perlu memasukkan setiap data dalam komputer satu persatu.

Tidak semestinya ada logo halal, barulah mereka dibenarkan beroperasi. Bagi saya, yang penting kebersihan dan daripada mana sumber makanan itu kita peroleh. Sekiranya sumber makanan berkenaan kita yakin halal, bersih, orang yang menyembelih daging ayam dan lembu pun orang Islam, tapi yang memasak makanan itu bukan orang Islam, bagi saya ia tetap halal dan boleh dimakan oleh orang Islam.

Mungkin Datuk ada cadangan bagi mengatasi masalah ini.

Bagi saya, pengusaha atau pemilik premis makanan orang Islam, perlu diberi pengecualian daripada memiliki sijil atau logo halal. Kepada pihak yang bertanggungjawab, berilah sedikit kelonggaran.

Sekiranya pemilik restoran terdiri daripada orang bukan Islam, namun menyediakan makanan untuk umat Islam, JAKIM perlu mengunjungi premis berkenaan untuk memberi bantuan dalam bentuk khidmat nasihat.

Saya mengusulkan perkara ini bukan untuk kepentingan diri semata-mata, sebaliknya mewakili peniaga makanan yang lain. Bagaimanapun, setiap apa yang kita makan, kita harus peka dengan kesahihan maksud halal itu.

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BersamaSelebriti__Tidakperlubanyakbirokrasilogohalal_/Article)

No comments: