Friday, August 13, 2010

Benarkan kereta cermin gelap


Benarkan kereta cermin gelap

Saya telah menghabiskan ribuan ringgit memasang plastik tapis cahaya yang terbaik mengikut spesifikasi telus cahaya yang dibenarkan pada cermin kenderaan saya sebelum ini. Baru-baru ini saya telah membeli sebuah kenderaan MPV import terpakai dari Jepun yang menggunakan cermin gelap.

Sekarang barulah saya sedar kebaikan memandu kenderaan bercermin gelap. Selama ini kita, rakyat Malaysia, berhadapan dengan undang-undang penggunaan cermin gelap dengan alasan kononnya cermin gelap boleh menaikkan kadar jenayah. Juga memandu di waktu malam boleh mengakibatkan kemalangan kerana tidak nampak. Padahal ia boleh dinikmati oleh golongan-golongan tertentu tanpa sebarang masalah.

Kalaulah penjenayah hendak menggunakan cermin gelap, mereka hanya perlu memasang plat kenderaan Singapura atau Thailand dan kemungkinan besar kenderaan itu tak akan ditahan. Itulah realiti.

Di waktu malam pula pemandu dapat melihat dengan jelas sama seperti cermin cerah biasa, bukan seperti yang didakwa selama ini.

Saban hari sering diperkatakan di media cetak dan elektronik mengenai pemanasan global dan kenaikan suhu bumi, tambahan lagi iklim khatulistiwa di Malaysia di mana kita mendapat panas terik sepanjang tahun.

Banyak negara di dunia ini termasuk negara-negara maju seperti United Kingdom, Amerika, Jepun, Korea, negara-negara Eropah, Timur Tengah termasuk negara jiran kita Thailand dan Singapura membenarkan penggunaan cermin gelap. Malah ia terus dipasang di kilang sebagai aksesori standard kerana mereka sedar akan kebaikannya.

Sudah tentulah mereka telah menjalankan ujian terlebih dahulu dan meluluskan penggunaannya kerana sesetengah dari negara tersebut megamalkan undang-undang jalan raya yang lebih ketat dari Malaysia.

Banyak kebaikan penggunaan cermin gelap. Tetapi yang dapat saya dapat fikirkan di sini ialah:

# Sekarang pendingin hawa saya hanya di nombor satu atau dua sahaja walau pun memandu di waktu tengah hari pada hal dulu di nombor empat atau lima. Ini mengurangkan penggunaan petrol yang semakin hari semakin mahal dan pengurangan gas karbon monoksida di udara.

# Saya merasa lebih segar memandu kerana terik matahari boleh membuatkan pemandu merasa mengantuk dan letih.

# Saya tidak lagi merasa terburu-buru ketika memandu kerana ketidakselesaan membuatkan pemandu ingin cepat sampai ke destinasi, seterusnya boleh mengakibatkan kemalangan.

# Panas terik juga boleh mempengaruhi sikap pemandu itu sendiri di mana boleh menyumbang kepada sikap panas baran.

# Sekarang saya dapat balik kampung bersama keluarga dalam keadaan selesa dan anak-anak saya tak perlu lagi meletakkan pelindung cahaya matahari di cermin (kadang-kadang kain pelikat atau tuala) yang boleh menghalang penglihatan pemandu.

Banyak lagi kebaikan yang tak dapat saya nyatakan di sini. Oleh itu saya berharap pihak berkenaan perlulah mempunyai pemikiran yang lebih terbuka dan membenarkan penggunaan cermin gelap. Janganlah hanya segelintir golongan tertentu sahaja yang menikmati keselesaan itu kerana cermin gelap itu adalah satu keperluan, lebih-lebih lagi di negara Malaysia kita ini.

Pemandu Biasa

Seremban

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm)

2 comments:

Waris Malaya said...

Salam. Saya bersama saudara dalam hal ini. Ong Tee Keat reply dgn jawapan sinis, saya akan cuba menteri yg baru.

Abd Karim MJ said...

Assalam....

ianya keperluan atau sakadar kemahuan ?