Thursday, August 26, 2010

Chua Soi Lek, MCA dan negara


Chua Soi Lek, MCA dan negara

Posted on Tuesday, August 24 @ 19:35:35 PDT by paktam

Oleh - A. Aziz Deraman

Umat Islam dan orang Melayu perlu bermuhasabah tentang banyak perkara. Cuba renungkan masa lalu dan fikirkan masa depan dengan sedar dan insaf. Kuasa politik itu kuasa penentu arah tuju negara. Umat Islam masih ketinggalan hampir dalam semua segi khususnya ekonomi, pendidikan dan kerjaya. Apakah konflik dan geger kacau suasana politik sekarang boleh menjamin kesejahteraan umat dan kemakmuran negara.


Penulis masih ingat sewaktu berkhidmat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) tahun 1971-1979 dan 1981-1989. Banyak isu politik dan pertelagahan pemikiran tentang dasar-dasar negara ditimbulkan. Oleh kerana istilah kebudayaan itu luas, Pak-Pak Menteri sepanjang tempoh berkenaan menjawab dengan bijaksana hatta tentang isu-isu ‘kecinaan’.

Di KKBS itu penulis mengenali tokoh-tokoh politik MCA, seperti Dr Neo Yee Pan, Rosmary Chong dan satu dua lagi yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen di situ (penulis lupa nama mereka). Neo Yee Pan, seorang yang agak keras pendiriannya, tetapi tidak pernah menyentuh Perlembagaan dan tonggak-tonggak kenegaraan.

Setahu penulis, pemimpin MCA yang lain pun seperti Tan Koon Swan dan Ling Liong Sik mengambil sikap sama. Mereka tahu di mana tempat berunding dan kenapa forum BN itu menjadi penting. Kini MCA juga sudah tiada lagi seorang tokoh sehebat Tan Siew Sin seperti mana MIC kehilangan Tun Sambanthan. Sebaliknya dari suara MCA sekarang, Dr Chua Soi Lek tidak pun rasa malu. Tanpa segan silu dan keterlaluan beliau mencabar kedudukan ekuiti Melayu dan Bumiputera.

Penulis ada ramai kawan terdiri daripada orang Cina. Penulis kenal baik beberapa pemimpin Cina MCA antaranya Chan Kong Choy, Ong Tee Kiat, Wee Khoon Hock (Kelantan), Ting Chew Peh (sejak di universiti), Chew Hock Thye, David Chua dan Koh Tsu Koon (Gerakan). Penulis kenal sangat beberapa tokoh sarjana dan penulis Cina Malaysia seperti Dr Teo Kok Seong, Ding Choo Ming, mendiang Lee Siow Mong, Dr Lim Swee Tin, Siow Siew Sing, Chong Seong Huat, atau beberapa penulis lain. Mereka itu seperti sangat memahami tuntutan kenegaraan di bumi Malaysia ini.

Dr Chua, tidak penulis kenali secara peribadi, melainkan pernah ternampak dari jauh. MCA akhir-akhir ini kadang-kadang bagaikan bermain gelombang mengikut puncak rentak politik orang. Pendirian terbaru beliau itu sangat tersasul dan tidak kena pada tempatnya. Sekali gus menentang aspirasi Perlembagaan dan menafikan struktur asas Malaysia.

Menelusuri sedikit ke belakang, tahun 1986, tahun kemarahan besar orang Melayu apabila Lee Kim Sai membuat kenyataan bahawa bangsa Melayu adalah kaum pendatang sama seperti orang Cina dan India di Malaysia. Jika dilihat kembali sebelumnya ada lagi kes-kes lain yang ditimbulkan parti politik Cina. Ada perang pendapat yang hebat tahun 1986. Lalu pada tahun 1986 tadi, KKBS mengambil inisiatif menganjurkan satu persidangan antarabangsa Tamadun Melayu di Kuala Lumpur. Tujuannya bagi menjelaskan secara ilmu akan citra tamadun Melayu itu dalam banyak bidang.

Tsunami politik 2008, membawa perpecahan Melayu dan Bumiputera. Pertelagahan sesama Islam, mengakibatkan fenomenanya siapa hendak malu kepada siapa? Akibat buta sejarah, dua tiga tahun kebelakangan ini pun masih ada orang menamakan pendatang kepada rakyat asal Malaysia ini. Kronologi sejarah sejak ribuan tahun tidak mereka fahami. Ertinya juga salah siapakah apabila subjek Sejarah tidak menjadi kurikulum wajib dalam sistem pendidikan?

Aneh sungguh di Malaysia. Sekian lama merdeka, sekian lama juga politik perkauman tidak pernah surut, malah paras air politiknya semakin pasang. Rakyat dikelirukan sehingga maksud hak-hak kenegaraan dalam Perlembagaan diperlekeh. Semangat Perkara 153 Perlembagaan diganggu gugat tanpa peduli kiri kanan.

Seseorang yang menentang aspirasi Perlembagaan, bermakna dia mencabul Persekutuan Malaysia dan mencabul kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang melindungi segala kepentingan tersebut.

Hak asas Melayu dan Bumiputera itu dilindungi undang-undang sejak dahulu. Sesungguhnya tuntutan mengurangkan ekuiti ekonomi Bumiputera dari 30 peratus itu menjadi tanda penentangan terhadap Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara yang bukan mudah bagi sesiapa menukar atau mengubahnya.

Seingat penulis sudah beberapa kali Dr Chua Soi Lek ‘menghiris’. Pertama, semasa berjawatan menteri, pada Januari 2006 beliau bersama beberapa menteri bukan Islam mengemukakan memorandum pindaan Perlembagaan tentang status Islam di negara ini. Kedua, menyelar UMNO kerana menggunakan cara kecenderungan Pas menggunakan agama dalam meraih sokongan rakyat. Ketiga, mempertikaikan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera melalui pengurangan kuota ekuiti secara bertahap seperti disebut di atas tadi.

Cuba insafi bahawa sentimen politik parti yang melampaui batas, lambat laun akan hanya membawa kepada perpecahan dan kemusnahan. Orang politik ada tempoh masa 5 tahun sekali, tetapi perpaduan jauh merentasi had masanya. Jadi jangan sekali-kali ada cita-cita merobah sesuatu yang baik dengan mudah, kerana harganya terlalu mahal, tidak terbayar oleh kita.

Sekali imbas, sekiranya diteliti gagasan 1Malaysia dengan aspirasi perpaduan dengan prinsip-prinsip penerimaan, Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial, maka semuanya itu seperti tidak dipandang penting oleh Kongres Ekonomi Cina Malaysia (KEC). Resolusi 13 perkara itu kena disemak secara cermat, jika terbabit dengan kerajaan dan kepentingan nusa.

Kalau kedamaian dan keharmonian hidup ada di kepala kita, maka sikap merendahkan keupayaan kaum lain dan kritikan melulu, tidak akan dilontarkan sehingga menimbulkan ‘kebencian’ kepada orang lain. Sifat orang bijaksana akan sentiasa jaga perpaduan dan hargai hubungan masyarakat.

Nada suara terbaru MCA itu mengingatkan kita akan satu laungan DAP. Bezanya tidak jauh apabila DAP menyarankan agar diskaun untuk Bumiputera dihapuskan. Ada semacam kenyit mata antara DAP dan MCA. Mereka bukan tidak faham bahawa hak dan keistimewaan itu perlu dikekalkan kerana rakyat yang miskin, majoritinya terdiri orang Melayu dan Bumiputera.

Kedua-dua tuntutan ini berlaku dalam bulan yang sama, yakni Ogos, bulan kemerdekaan. Di Malaysia, kedudukan kaum lain tidak pernah diabaikan atau dizalimi. Prinsip keadilan sosial ini sangat Islamik dan diamalkan sejak awal. Di negara-negara lain, hal sedemikian belum tentu dapat dilakukan jika kuasa tidak di tangan orang Islam. Ada peraturan Islam untuk menjaga kesejahteraan rakyat yang bukan Islam. Jadi jangan dibiarkan ‘tikus membaiki labu’.

Kadang-kadang pemimpin berbicara sesuka hati. MCA tidak harus terperangkap dengan jerat DAP atau PR. BN ada cara sendiri menyelesaikan masalah berasaskan kesepakatan dan persefahaman. PR mengambil pendekatan mudah, demi untuk berkuasa, apa sahaja mereka mahu ‘lelongkan’, bahkan bersedia menggantikan Malaysia dengan sebuah Perlembagaan baru.

Kenangi budi Melayu yang sudah terlalu besar itu buat MCA dan orang Cina. Perbalahan besar MCA didamaikan kembali ke jalan politik atas usaha UMNO. Orang Cina di Malaysia sudah menguasai hampir 50 peratus ekonomi. Kehidupan di bandar dengan segala kemudahan, termasuk pendidikan dan infrastruktur dinikmati sepenuhnya. Apa lagi?

Akibat tsunami politik 2008, maka ada orang berani ‘menangguk di air keruh’. Ya sebab kayu Melayu sudah bongkok kerana perpecahan mereka. Penulis pernah nyanyikan satu lagu kanak-kanak Kelantan semasa kecil “cak gol cok, ambik cok gali ubi, temu kayu bongkok, tempat kegho meniti”.

Sewaktu Melayu berikan betis, mereka tidak fikir suatu masa orang mahukan paha. Jika apa-apa terjadi pada masa depan politik Malaysia menjelang PRU 13 atau mungkin MCA meninggalkan BN, maka UMNO mesti membuat persediaan dari sekarang. Bukannya suatu hal mustahil DAP dan PKR menawarkan sesuatu yang lumayan untuk MCA, “orang mengantuk disorongkan bantal”.

Soalnya dalam pertarungan politik perkauman cara baru ini, apakah persediaan orang Melayu, Bumiputera dan umat Islam seMalaysia? Wallahualam. S/H

(sumber;http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=9264)

No comments: