Baginda Tuanku murka
KOTA TINGGI – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, murka dengan penyebaran kain rentang memaparkan gambar Baginda Tuanku bersama Pengerusi Parti Keadilan Johor (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng yang dicadangkan sebagai Menteri Besar.
Tindakan individu yang tidak dikenal pasti itu seolah-olah dilihat mencabar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor, yang memperuntukkan seorang Menteri Besar itu mestilah Melayu dan beragama Islam.
Titah Baginda Tuanku, tindakan memaparkan kain rentang sedemikian rupa boleh memecah belahkan perpaduan rakyat Johor.
“Ada pihak cuba memecah belah perpaduan di kalangan rakyat demi untuk kepentingan peribadi. Contohnya baru-baru ini di Batu Pahat, ada pihak cuba untuk mengheret saya ke dalam kancah politik dengan memaparkan gambar saya sebagai suatu kempen politik.
“Perbuatan ini adalah biadab dan kurang ajar,” titah Baginda Tuanku semasa Majlis Penutup Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 Fasa II di Padang Majlis Daerah Kota Tinggi, semalam.
DYMM Sultan Ibrahim bertitah, Baginda Tuanku tidak mahu rakyat berpecah-belah hanya disebabkan politik kerana ia merugikan rakyat.
“Saya tidak mahu rakyat saya dipecahbelahkan,” titah Baginda Tuanku.
Kelmarin, Jui Meng pada Majlis Makan Malam PKR bersama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, di Skudai, mendedahkan PKR menemui beberapa kain rentang berkenaan digantung di beberapa daerah antaranya di Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru.
Jui Meng mendakwa ‘kerja’ itu dilakukan UMNO negeri bagi mencetuskan kemurkaan Baginda Tuanku.
Dalam perkembangan lain, Baginda Tuanku turut mengingatkan pegawai kerajaan supaya peka dengan masalah rakyat.
“Saya mahukan supaya pegawai kerajaan peka dengan masalah rakyat dan jangan sesekali mengutamakan kepentingan peribadi,” titah Baginda Tuanku.
(sumber;http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8046617.asp)
1 comment:
Salam,
Apapun mengapa buat perkara macam ini ? Rasanya sesiapa pun yang tak berkaitan tetapi dikaitkan pula akan berasa marah!
Post a Comment