Friday, August 13, 2010

Awas perangkap promosi pasar raya besar

Awas perangkap promosi pasar raya besar

Saya ingin menarik perhatian terhadap taktik yang digunakan oleh kebanyakan pasar raya besar yang membuat promosi harga melalui katalog bulanan. Peristiwa ini sudah beberapa kali terjadi kepada saya dan mungkin juga kepada para pembeli yang tidak berhati-hati.

Setiap bulan kita akan menerima pelbagai katalog promosi daripada pasar raya besar yang menawarkan potongan harga untuk barangan keperluan dapur. Berdasarkan sekali imbas terhadap tawaran yang diberikan, kita akan ke pasar raya tersebut setiap bulan untuk membeli barangan keperluan. Kita pun tanpa berhati-hati mengambil barangan tersebut dengan harapan ia merupakan barangan yang telah dipotong harganya. Sampai di kaunter bayaran, setelah harga tersebut di tertera di skrin bayaran, barulah kita sedari bahawa barangan tersebut dijual pada harga biasa bukannya seperti diiklankan di dalam katalog.

Apabila kita bertanya kepada pusat khidmat pelanggan atau kaunter bayaran, barulah kita sedari kesilapan kita, atau mungkin lebih kepada taktik untuk mengelirukan pembeli yang digunakan oleh pasar raya tersebut.

Pertama: Barangan yang diberikan potongan harga bukannya untuk semua jenis walaupun barangan yang sama. Contohnya minuman kultur, potongan harga hanya untuk yang berperisa biasa bukannya untuk yang berperisa campuran. Untuk lebih mengelirukan pembeli, semua barangan kultur sama ada berperisa biasa atau campuran, akan diletakkan di rak yang sama dan dilabelkan sebagai barangan yang ditawarkan dengan harga murah.

Kedua: Apabila kita meneliti katalog yang diterima daripada pihak pasar raya besar, mereka akan meletakkan tawaran potongan harga hanya untuk perisa tertentu sahaja. Tetapi untuk mengelirukan pengguna, perkataan hanya untuk perisa tertentu dicetak dengan huruf yang sangat kecil.

Ketiga: Tawaran harga hanya diberikan kepada barangan yang bersaiz tertentu sahaja, umpamanya Milo bersaiz 1kg sahaja bukannya untuk semua saiz. Pembeli menjadi keliru apabila label tawaran diletakkan bersama-sama dengan semua saiz barangan dan menganggap semua saiz barangan tersebut diberi potongan harga.

Memang benar pihak pasar raya besar akan memulangkan balik wang kita sekiranya kita mempertikaikan promosi mereka tapi berapa ramai daripada kita sanggup beratur panjang semata untuk menuntut hak kita? Akhir sekali, kita akan menerima barangan tersebut tanpa soal kerana ia diperlukan oleh kita atau anak-anak kita.

Untuk mengurangkan masalah tersebut saya cadangkan supaya setiap barangan hendaklah dilabelkan harganya, bukan hanya meletakkan harga di rak sahaja seperti mana yang diamalkan oleh kebanyakan kedai biasa. Barangan tawaran hendaklah diasingkan daripada barangan harga biasa supaya pembeli dapat membezakan antara barangan tawaran dan yang mana barangan harga biasa.

Promosi melalui katalog hendaklah dengan jelas menyebutkan barangan jenis mana yang ditawarkan dengan potongan harga, bukannya melalui cetakan abjad yang kecil.

Pihak berwajib perlu memantau pasar raya besar yang terdapat di negara kita ini. Kalaulah orang seperti saya yang berpendidikan pun terpedaya dengan taktik ini, bagaimana pula makcik-makcik daripada kampung yang membeli barangan di pasaraya tersebut?

MOZAG

Pulau Pinang

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm)

zmsegamat kata: di segamat pun serupa, kita perlu berhati-hati dan kena buat semakan harga di mesin semakan harga. tapi pasaraya di segamat ini pun cekap juga, sebab sebesar-besar pasaraya itu terdapat hanya satu sahaja mesin semakan harga yang beroperasi di pasaraya itu. yang lain semuanya telah di cabut dari tempatnya..

No comments: