Wednesday, September 16, 2009
Penubuhan Malaysia 16 September 1963 Membawa Perubahan Kepada Negara
TARIKH 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah penduduknya yang menjangkau 10 juta orang.
Menyusur semula pembentukan Malaysia yang direalisasikan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebenarnya telah disuarakan pada bulan Mei 1961 lagi melalui satu ucapannya dalam Persatuan Wartawan Asing Asia-Tenggara di Singapura.
Dalam ucapan tersebut, beliau telah mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunai digabungkan dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut sebagai Malaysia.
Kata Tunku dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.”
Selepas cadangan tersebut disuarakan oleh Tunku, pelbagai pihak mula menyuarakan pendapat mereka hinggakan penubuhan Malaysia tersebut menjadi topik perbincangan hinggalah ke peringkat antarabangsa.
Ramai pihak yang menyokong cadangan tersebut khususnya pemimpin-pemimpin rakyat dalam negeri-negeri Singapura, Sarawak dan Sabah yang menganggap cadangan tersebut akan dapat membantu mereka membebaskan diri dari kuasa penjajah Inggeris.
Lanjutan dari cadangan penubuhan gagasan Malaysia ini, Tunku Abdul Rahman telah mengambil tindakan dengan mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri British di London.
Hasilnya, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi memastikan rancangan tersebut berjaya dan mendapat persetujuan semua pihak.
Suruhanjaya tersebut telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold dengan diwakili oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Kerajaan British.
Tujuan utama suruhanjaya tersebut dibentuk adalah untuk menyiasat pendapat dan persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan gagasan Melaysia ini.
Usaha untuk menyatukan negeri-negeri tersebut di bawah satu gagasan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari para penduduk di Sabah dan Sarawak sendiri.
Menurut Penyata Tahunan Perhimpunan Agung UMNO 1963/64, pada 23 Ogos 1961, persetujuan telah dicapai di antara kerajaan Singapura dan Tanah Melayu yang meletakkan Kerajaan Pusat mempunyai kuasa autonomi dalam lapangan pelajaran dan buruh sahaja dengan persetujuan sebuah jawatankuasa anatara Kerajaan Singapura dan Tanah Melayu.
Namun begitu, usaha murni untuk menuju kepada penubuhan sebuah negara baru Malaysia terhalang apabila berlaku pemberontakan yang dilakukan oleh Sheikh Azhari di Brunai pada 8 Disember 1962.
Ini diikuti dengan pengisytiharan konfrantasai Indonesia yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno sebagai tentangan terhadap gagasan Malaysia.
Manakala di Manila pula, terdapat tuntutan ke atas Sabah dikembalikan kepada Filipina atas alasan ia adalah milik keturunan Sultan Solo yang telah membuat perjanjian dengan Kerajaan British pada tahun 1878.
Perselisihan pendapat dan pertikaian ini telah berlarutan dan semakin meruncing hingga memecahbelahkan keamanan yang ada di Asia Tenggara.
Konfrantasi yang dilancarakan oleh Presiden Sukarno juga telah berterusan selama tiga tahun hingga mengakibatkan berlaku pertumpahan darah dan memaksa kepada campur tangan tentera.
Penubuhan Malaysia menerima tentangan keras dari Indonesia dibawah Presiden slogan “Ganyang Malaysia”.
Misalnya dapat dilihat dalam pertempuran di antara Tentera Darat dengan angkatan rejim Sukarno di satu Pos Sementara tentera di Kalabakan, Tawau, Sabah.
Serangan yang berlaku pada waktu maghrib ini telah mengorbankan seramai tujuh orang dan mencederakan 16 orang yang lain.
Begitu juga dengan serangan yang berlangsung di Pontian, Labis, Kota Tinggi dan Batu Pahat di Johor. Tentangan ke atas penubuhan Malaysia mengakibatkan pertempuran yang hebat antara tentera kedua-dua negara.
Bagi menyelesaikan masalah berikut dan memulihkan keamanan di rantau Asia Tenggara, maka suatu persidangan kemuncak telah diadakan anatara ketua-ketua tiga negara yang terlibat dalam pertikaian iaitu Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina.
Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun mendapat tentangan dalam bentuk ketenteraan dari negara lain.
Dalam persidangan kemuncak di Manila yang berlangsung pada akhir bulan Julai 1963, tolak ansur telah berlaku antara negara-negara terbabit dan tarikh pengisytiharan negara baru Malaysia akan diumumkan selepas Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu berpuas hati dengan kehendak rakyat dari wilayah Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Brunai tidak turut sama dalam pembentukan Malaysia kerana gagal mencapai persetujuan mengenai negerinya.
Walaupun pembentukan Malaysia telah mendapat persetujuan PBB, tetapi Indonesia seakan berusaha untuk menggagalkan rancangan tersebut malah sengaja melewatkan ketibaan wakilnya sebagai pemerhati kerja-kerja rombongan PBB ke Sabah dan Sarawak.
Akhirnya PBB telah bersetuju mengeluarkan laporannya mengakui 80 peratus dari rakyat Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman.
Tentangan dari Indonesia tidak habis di situ sahaja sebaliknya melancarkan kembali konfrontasinya dengan menarik kembali Duta Besarnya di Malaysia serta mengugut nyawa rakyat Malaysia yang ada di Indonesia.
Filipina turut bertindak keras apabila cuba menurunkan taraf kedutaanya di Malaysia menjadi konsul sahaja.
Akibat tindakan tersebut, maka Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan tegas dengan memutuskan hubungan diplomatic dengan Indonesia dan Filipina dua hari selepas kelahiran negara Malaysia dilancarkan.
Konfrantasi ini berlanjutan hingga perjanjian damai dimeterai pada Ogos 1966. Perjanjian penubuhan Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 dan diistiharkan secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman.
Pengisytiharan Malaysia dilakukan di Stadium Merdeka dihadapan DYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agong, Raja-raja Melayu, gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak dengan disaksikan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia.
Kini, setelah 46 tahun Malaysia ditubuhkan, pelbagai kemajuan dapat dilihat dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik dan sosial malah hubungan antarabangsa dengan negara-negara jiran terbabit juga telah pulih.
Seharusnya, keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi sejak sekian lama wajar dipelihara dan dikekalkan agar dapat terus dikecapi oleh generasi akan datang.
(sumber;http://umno-online.com/?p=4266)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment