Saturday, September 12, 2009

Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah minoriti


ARKIB : 25/03/2009

1.0) SEBELUM saya pergi jauh bagi menganalisis apa yang akan berlaku esok, bermulanya hari besar UMNO - HARI PENENTUAN - yang bakal menentukan hala tuju parti melepasi separuh usia itu, mari kita renungi petikan ini.

"Orang Melayu sekarang tidak lagi boleh mempertahankan diri mereka sendiri; jika mereka bertemu dan bercakap (untuk mempertahankan diri mereka), mereka akan dicop sebagai rasis." - Dr. Mahathir Mohamad (Ahad, 22 Mac 2009)

2.0) Ulasan lanjut daripada petikan itu ialah ucapan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara yang mengingatkan orang Melayu agar sedar bahawa keadaan hari ini lebih merbahaya daripada keadaan semasa British merancang untuk menakluk negeri-negeri Melayu dengan perancangan Malayan Union. Pada masa itu kita boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada sesiapa yang akan tuduh kita sebagai rasis. British pun tidak panggil kita rasis. Mereka akui memang pun hak orang Melayu menuntut negeri-negeri Melayu sebagai hak orang Melayu. Semua perjanjian berkenaan dengan negeri-negeri di Semenanjung mesti dibuat dengan Raja-Raja Melayu. Tidak ada siapa dari kaum lain yang berhak membuat apa-apa perjanjian. Sekarang orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri ini negeri Melayu, tidak boleh sebut negeri ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Negeri Jepun boleh dikatakan negeri orang Jepun, negeri Korea - negeri orang Korea, negeri China - negeri orang Cina, negeri India - negeri orang India. Tetapi negeri Melayu - bukan negeri orang Melayu. Dahulu mungkin. Tetapi tidak sekarang. Sekarang Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan hak orang Melayu.

3.0)Kata Tun Mahathir lagi: Kesanggupan dan kerelaan orang Melayu berkongsi milik negara ini tidak sedikit pun dihargai. Pemberian satu juta kerakyatan oleh Tunku Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai bahkan tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja. Orang Melayu dikatakan kaum pendatang di negaranya sendiri. Dan kaum pendatang lain tidak boleh dipanggil kaum pendatang. Jika sesiapa berbuat demikian, mereka mesti minta maaf. Tidak perlu sesiapa minta maaf jika berkata Melayu kaum pendatang.

4.0)Itu adalah hakikat. Apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir itu adalah hakikat yang sedang berlaku sekarang. Penulis sendiri (dan akhbar keramat Utusan Melayu ini sendiri) sedang mengalami situasi itu. Kami dituduh 'secara blanket' sebagai rasis, walaupun niat kami sebaliknya.

5.0)Keadaan sekarang samalah seperti di Barat apabila Yahudi secara sistematik mencipta satu protokol bahawa sesiapa yang bercakap mengenai soal Yahudi, bangsa mereka, mengenai holocaust atau berkias mengenainya - akan dicap sebagai anti-semitik atau anti-Yahudi.

6.0)Tidak pasti pula, siapa di negara kita ini yang merangka 'protokol yang seumpama itu'. Apabila kita bercakap mengenai diri kita sendiri - orang Melayu atau mengenai bangsa lain atau berkias mengenainya atau cuit mengenai mereka, walaupun ia adalah fakta, maka - itu adalah rasis, perkauman.

7.0)Maka, orang Melayu yang bercakap mengenainya akan diasak secukup-cukupnya oleh pihak-pihak tertentu - malah sehingga akan disaman. Seorang rakan blogger terkenal pernah diasak 'separuh mati' oleh kumpulan apa disifatkannya sebagai cyber-troopers apabila dia cuba mempertahankan sebuah institusi Melayu.

8.0)Mengapa jadi begitu? Apakah kerana ada kumpulan oportunis sudah melihat orang Melayu yang satu ketika dulu kebal, kini sudah layu? Benarkah orang Melayu sekarang sudah gagal bersatu dan sudah mulai berpecah? Apakah orang Melayu sudah terkeliru dengan asal usul mereka sendiri, sehinggakan membuka ruang dan peluang kepada kumpulan itu untuk mengadu-domba (memporak-peranda) mereka?

9.0) Secara kasar, orang Melayu sekarang sudah terdiri daripada beberapa pecahan golongan. Mereka yang dulunya majoriti, sudah menjadi minoriti. Cuba lihat senario ini:

10.0) Golongan Melayu Liberal. Mereka ini sudah hilang ''semangat dan roh'' (the spirit and soul) orang Melayu. Orang Melayu aliran itu sudah pudar ciri-ciri kemelayuan yang ditanam oleh datuk nenek mereka. Mereka tidak peduli siapa yang menerajui pemerintahan, asalkan ia sama rata. Golongan terpelajar hasil kelahiran DEB ini makin bercambah. Mereka ini menganggap bukan DEB itu yang menjayakan diri mereka - menghantar mereka belajar ke luar negara, tapi sifat merit yang ada pada diri mereka sendiri. Mereka ini ada yang berada dalam kerajaan, golongan pelajar di universiti, tokoh-tokoh korporat, profesional dan berada di mana-mana sahaja.

11.0) Golongan Melayu Ulama (yang menolak semangat ke-Bangsa-an). Mereka menolak UMNO. Kata mereka UMNO itu tidak berlandaskan Islam, sebagaimana yang ditakrifkan oleh Pas aliran Nik Aziz. Aliran antiassabiyah Nik Aziz memang jelas dari dulu lagi, iaitu jika UMNO mahu bersatu dengan Pas, UMNO perlu ikut cara Pas. UMNO perlu nyahkan semangat kebangsaannya. Bagi Nik Aziz kebangsaan UMNO adalah mengenai Melayu dan ia bukan Islam. Aliran Nik Aziz hanya membenarkan Islam semata-mata, tidak termasuk Melayu. Bagaimanapun, mutakhir ini, aliran Nik Aziz nampaknya bertentangan pula dengan aliran Hadi. Hadi dikatakan mahu bekerjasama dengan UMNO demi Melayu. Nik Aziz memberi amaran dia ialah nakhoda dan Hadi perlu dengar cakapnya. Golongan aliran ini semakin banyak, dan ia terdiri daripada golongan muda.

12.0) Golongan Melayu PKR (yang menolak UMNO kerana ia menolak master mereka Anwar Ibrahim). Asalnya orang Melayu PKR adalah bekas orang UMNO. Kita tidak pasti sampai bila Melayu PKR ini akan terus wujud, tapi melalui perincian, golongan Melayu ini tidak akan kekal lama. Namun, lama tak lama, itu tidak penting - tapi yang penting ialah sejauh mana ia boleh memecahbelahkan lagi orang Melayu. Aliran mereka ialah kesamarataan - sama dengan golongan liberal. Sudah tentu konsep sama rata mereka berbeza dengan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan BN sejak lebih 50 tahun lalu. PKR bukan parti asas Melayu seperti UMNO atau Pas, ia adalah parti pelbagai kaum. Namun ramai orang Melayu (terutamanya di kampung-kampung dan luar bandar) terkeliru menganggap PKR sebagai parti Melayu seperti UMNO dan Pas. Hakikatnya, di peringkat payung pakatan pembangkang, PKR dikuasai oleh bukan Melayu. Orang bukan Melayu melihat parti ini sebagai parti alternatif kepada mereka yang menolak MCA, MIC mahupun DAP.

13.0) Golongan Melayu DAP. Adalah segelintir. Tapi sejarah dan rekod menunjukkan mereka tidak boleh ke mana-mana.

14.0) Golongan Melayu Atas Pagar. Golongan ini cukup-cukup terkeliru. Kerana kekeliruan yang mereka hadapi - mereka tidak peduli. Mereka tidak peduli apa yang berlaku kepada bangsa mereka, asalnya mereka boleh hidup seperti biasa. Golongan yang bersifat individualistik ini bagaimanapun amat bijak memerhati, tanpa banyak bercakap. Perkataan yang sering penulis dengar daripada golongan jenis ini ialah: ''Aku Sudah Muak''. Golongan ini boleh mengambil langkah berkecuali, tidak peduli atau pun memihak kepada pembangkang secara protes. Perlu diingat, dalam sesuatu pilihan raya, golongan ini adalah penentu kepada kemenangan. Bagaimanapun golongan ini boleh memasuki ke mana-mana aliran di atas jika tidak dirawati penyakit keliru mereka.

15.0) Golongan Melayu UMNO. Golongan ini sekarang bukan seperti datuk nenek mereka yang berjuang pada awal, pertengahan sejak penubuhannya 63 tahun lalu. Golongan pejuang UMNO dulu adalah aktivis yang jati diri mereka cukup hebat. Mereka tidak mewah, mereka tidak gelojoh, mereka tidak tamak, tidak seperti generasi UMNO sekarang. Namun perkhidmatan mereka kepada UMNO, masyarakat, orang Melayu di kampung-kampung cukup berkesan. Orang Melayu, Cina dan India pada masa itu dapat disatukan - satu suara, satu hati. Semangat dan roh Melayu Islam terserlah di mana-mana. Hari ini (pada hari perhimpunan UMNO ke-59 ini) sikap negatif UMNO banyak diperkatakan. Kebanyakannya ialah berkisar kepada isu yang tidak mahu didengari oleh aktivis terdahulu.

16.0) Rumusannya, Melayu berpecah kepada enam kumpulan. Sama ada teori ini boleh diterima, terserahlah.

17.0) Jika itulah teorinya, UMNO bukan lagi sebuah pertubuhan yang boleh mendabik dada mengatakan ia adalah institusi siasah Melayu yang ulung. Jika dulu ya, sekarang masa dan keadaan telah mengubahnya.

18.0) Mengapa jadi begitu? Persoalan besar yang perlu dijawab UMNO sekarang ialah: Apakah UMNO masih lagi relevan? Apakah UMNO masih lagi menjadi tempat untuk bertaut? Apakah UMNO boleh diharapkan? Apakah UMNO adalah pejuang bangsa? Apakah UMNO untuk agama, bangsa dan negara?

19.0) Siapa pemimpin UMNO sekarang? Apakah mereka boleh membeli dan dibeli? Apakah kualiti mereka? Sukakah orang Melayu kepada mereka? Adakah golongan 'muak' tadi boleh menerima mereka semua? Akan berubahkah mereka? Jika ya, siapakah penyelamat UMNO?

20.0) Yang pasti semua kritik mengenai UMNO ialah menjurus kepada pembersihan dan pembaharuan UMNO. Mereka mahukan para pemimpin yang ikhlas. Ikhlas kepada perjuangan dan ikhlas untuk memimpin masa depan bangsa. Kritikan terhadapnya sepatutnya diterima secara positif dan parti itu sepatutnya berusaha untuk berubah.

21.0) Melihatkan kepada senario politik sekarang, sebenarnya UMNO masih menjadi harapan orang Melayu. Walaupun orang Melayu telah berpecah, tapi di dalam hati kecil mereka masih ada yang menaruh harapan kepada UMNO.

22.0) Kita percaya, satu kumpulan dalam Pas atau golongan di atas pagar, misalnya - masih mengharapkan UMNO melakukan sesuatu ekoran kekhuatiran yang sedang dilihat di hadapan mereka. Mereka amat bimbang kerana kumpulan yang mencabar Melayu dan raja-raja Melayu semakin melebar.

23.0) Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hanya UMNO (mungkin juga Pas) dan orang Melayu yang bersatu padu sahaja yang boleh menjajarkan semula perjalanan yang berliku ini.

24.0) Kini seluruh tumpuan ditujukan kepada Perhimpunan Agung UMNO ini. Pemilihan kali ini cukup getir buat parti itu. Orang Melayu dan seluruh rakyat sedang melihatnya dengan penuh harapan; adakah parti itu akan membuat satu hala tuju yang betul untuk masa depan bangsa dan negara ini. Kedudukan UMNO dan keutuhannya juga menjadi perhatian negara-negara luar yang sedang memerhati dengan rapat perkembangannya. Perlu disebut, ada juga di antara negara lain yang mahu melihat UMNO berkubur.

25.0) Najib Tun Razak yang bakal menerajui UMNO harus memastikan hala tuju parti dan barisan kepimpinannya diterima semula oleh rakyat jelata. Mereka tidak mahu melihat lagi berlakunya perpecahan, perebutan kuasa, gila jawatan dan gila pangkat. Mereka tidak mahu lagi melihat sikap gelojoh, tamak di kalangan para pemimpinnya. UMNO harus membersihkan semula imejnya. Dalam dunia siber sekarang orang boleh melihat gerak-geri mereka dengan mudah dan pantas. Sucikan semula organisasi keramat Melayu ini.

26.0) Tanggungjawab Najib bukan ringan. Dengan pecahan golongan Melayu yang semakin melebar, beliau harus mempunyai tekad untuk menyatupadukan semua bangsa itu - dalam apa cara sekalipun. Jika Tun Mahathir pun pernah mengaku dia gagal - kita tunggu ujian ke atas Najib seterusnya.

27.0) Yang pasti UMNO harus dikembalilah kepada rakyat, kepada perjuangan asalnya - kepada agama, bangsa dan negara. Selamat memilih calon-calon penerus UMNO yang benar-benar bersih, cekap dan amanah. Selamat bersidang.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm&arc=hive)

1 comment:

Anonymous said...

apa kata perlembagaan malaysia ni dikaji semula...serahkan kuasa memerintah kepada raja raja melayu dan beri kefahaman yg jelas kepada bangsa bukan melayu mengenai apa itu JUS SOLI. saya percaya bangsa bangsa ini yang lahir selepas merdeka tak faham dan tak tahu pun bagaimana murahnya hati bangsa melayu memberi hak kerakyatan kepada tok nenek mereka semasa nak merdeka dulu...tu sebab mereka ni cepat melalak dan melolong bila dengar melayu nak bantu melayu.