Wednesday, January 9, 2013

Palanivel Minta India Beri Tumpuan Bantu Orang Keturunan India



Daripada Mikhail Raj Abdullah

COCHIN (India), 9 Jan (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel meminta India memberi lebih tumpuan bagi memperjuang kepentingan orang keturunan India di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Beliau menyuarakan pandangan itu kerana kesal perhimpunan ke-11 Pravasi Bharatiya Divas (PBD) anjuran kerajaan negeri Kerala yang dihadiri lebih 2,000 peserta, hanya memberi tumpuan kepada warga India yang menetap di luar negara ini (NRI) dalam usaha mendekati rakyat India di seluruh dunia.

NRI merupakan warga India yang berhijrah, kebanyakannya untuk bekerja di negara lain manakala orang keturunan India (PIO) adalah semata-mata orang keturunan India, yang bukan warga India seperti rakyat Malaysia keturunan India.

Jumlah NRI dan PIO adalah begitu besar di seluruh dunia, dianggarkan sekitar 25 juta.

Palanivel berkata daripada memberi tumpuan terhadap NRI, yang nampaknya menjadi kes pada masa ini, India perlu mencontohi China dimana diaspora atau orang keturunan Cina bekerjasama rapat dengan Beijing dalam pembangunan perniagaan, pendidikan dan perubatan.

"Diaspora Cina begitu rapat dengan China (tetapi) asal usul mereka di China hampir hilang (dan) asal usul baharu mereka di negara-negara Asia Tenggara," katanya dalam pembentangannya mengenai "Overseas Indians and India" semasa sidang pleno PBD 2013 di sini, Rabu.

Beliau rakyat Malaysia keturunan India masih mempunyai hubungan dengan India tetapi semata-mata mengenai agama dan budaya dan sedikit berhubung ICT, sukan, industri kecil, latihan kemahiran, bioteknologi, inovasi dan pertanian.

PBD merupakan perhimpunan terbesar PIO yang diadakan setiap tahun, yang menyediakan platform unik bagi orang India di seberang laut untuk berhubung di kalangan mereka dan dengan kerajaan negeri dan pusat.

Meskipun orang India dari seluruh dunia bertumpu untuk PBD, Palanivel kesal kerana tumpuannya berat sebelah ke atas NRI daripada PIO.

Beliau menjelaskan walaupun banyak skim dan program baru bagi membantu rakyat Malaysia keturunan India diperkenalkan, masih terdapat orang yang kurang bernasib baik di kalangan mereka dan dalam keadaan inilah di mana India boleh datang untuk membantu.

"Kita mahu kerajaan India bekerjasama dengan kita bagi memperkasa kumpulan yang tidak bernasib baik, kata Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kita mahu kumpulan profesional kita, dewan-dewan perniagaan, ahli akademik kita, golongan profesional kita dalam bidang perubatan dan undang-undang dan ahli perniagaan kita, untuk mengukuhkan hubungan kita dan kerjasama dengan India (dan) kita mahu lebih ramai pemimpin India melawat kita dengan lebih kerap," katanya.

Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri India (FICCI) perlu meningkatkan hubungan dengan PIO di Malaysia, yang berjumlah lebih dua juta, memandangkan hubungan dagang antara orang India di India dan Malaysia amat berkurangan.

Ini merupakan satu keadaan hubungan yang menyedihkan memandangkan Malaysia mempunyai satu daripada jumlah PIO terbesar berbanding Singapura (300,000), Thailand (135,000) dan Indonesia (55,000), katanya.

"Saya merupakan generasi pertama rakyat Malaysia keturunan India. Saya masih mempunyai kaum keluarga di Selatan India (dan) apabila saya membaca akhbar India dan mendengar semua ucapan, termasuk dalam majlis perasmian, PIO tidak disebut langsung."

PBD 2013, dirasmikan Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh pada Selasa.

Palanivel berkata: "Kami, rakyat Malaysia keturunan India, telah maju. Kami telah melahirkan ribuan doktor, jurutera, peguam, akauntan, guru dan ahli akademik. Perdana Menteri kami telah memperkenal banyak skim dan program baru untuk membantu rakyat Malaysia keturnan India. Bagaimanapun, masih wujud keperluan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik."

Sebagai contoh, beliau berkata India, yang terkenal di seluruh dunia bagi industri teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), boleh membantu rakyat Malaysia keturunan India dan membawa mereka ke tahap tertinggi dalam sektor ICT.

Dalam bidang sukan, India juga merupakan kuasa besar dalam sukan kriket.

"Pada sutau masa, kriket juga satu sukan yang sangat popular di negara kami. Kami mahu pemain kriket India untuk mula melatih belia kami dan membawa pulang kemegahan itu yang pernah dinikmati sebelum ini dan melangkah jauh lagi," katanya.

Kagum dengan kehalusan seni kraf India yang dihasilkan industri kecilnya, beliau meminta India untuk mendapatkan mereka yang terbabit dalam industri itu untuk melatih rakyat Malaysia, terutama wanita rakyat Malaysia keturunan India.

"Kami melihat kepada usaha untuk memperkasa dan bekerjasama dalam bidang-bidang pendidikan, latihan guru, perniagaan dan hubungan dagang, ICT, pembangunan sukan terutama kriket dan dalam bidang latihan kemahiran, pertanian, bioteknologi dan inovasi baharu," katanya.



-- BERNAMA

(terimakasih sumber:  http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=920539)

No comments: