Tuesday, January 29, 2013

Belalang Jalan Riong: PRU-13 dan undi Cina


(gambar hiasan)

Bukanlah rahsia, Barisan Nasional (BN) sangat memerlukan undi kaum Cina, yang sama pentingnya dengan undi orang Melayu, India, Sikh, Kadazan, Murut Bidayuh dan lain-lain. Atas pertimbangan kepentingan semua kaum inilah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan pendekatan merapatkan hubungan rakyat menerusi konsep 1Malaysia. 


Namun, sudah agak berlarutan desas-desus yang mengatakan BN sukar mendapat undi kaum Cina, seolah-olah menunjukkan kaum Cina mempunyai pandangan berbeza terhadap konsep keakraban pelbagai kaum. Persoalan kaum Cina tidak menyokong BN ini dicakapkan secara terbuka di mana-mana saja. 
Ada yang menyebut hasil beberapa kajian menyatakan kononnya kaum Cina di kawasan bandar tidak akan memberi sokongan kepada BN, sebaliknya mereka akan mengundi pembangkang. Kesukaran mendapatkan undi kaum Cina di kawasan bandar, bukanlah isu baru. 


Cakap-cakap mengenai isu pengundi Cina ini diperkatakan kebelakangan ini meskipun berlaku perubahan sikap pengundi kaum India. Kebelakangan ini kaum India jelas memberi sokongan padu kepada BN. Pada pilihan raya 2008, tidak boleh dinafikan kemenangan pembangkang di beberapa buah negeri dan di beberapa kawasan Parlimen adalah disebabkan sokongan kaum India.

Dikelirukan pembangkang

Kerajaan nampaknya tidak panik dengan sokongan kaum Cina yang masih tidak memihak kepada BN. Pemimpin BN belum berputus asa dan tetap berusaha merapatkan diri dengan kaum Cina kerana sedar masyarakat Cina bersikap demikian kerana mereka dikelirukan oleh pembangkang. Pembangkang begitu mudah memburuk-burukkan kerajaan atas nama demokrasi. Tidak ada bayaran dikenakan untuk melemparkan tuduhan terhadap kerajaan, apatah lagi sewaktu pilihan raya. 

Sebaliknya, sesiapa yang mempersoalkan tindakan buruk pembangkang itu akan dianggap tidak demokratik walaupun pembangkang membuat tuduhan demi tuduhan tanpa fakta. Jika dikaji secara terperinci, pembangkang sekadar pandai bercakap sedangkan mereka tidak melakukan sebarang kebaikan untuk rakyat. Mereka tidak menepati janji mereka kepada rakyat. 
Di bawah pimpinan kerajaan BN, ramai orang Cina hidup mewah, malah mereka adalah golongan yang paling kaya di negara ini. Tidak ada sebab mereka perlu kecewa dengan dasar yang dirumuskan bersama di negara ini hanya disebabkan hasutan pembangkang.

Janganlah disebabkan satu atau dua dasar yang tidak memihak kepada kaum Cina, mereka mahu menolak kerajaan. Janganlah dengan hanya melihat sekelumit perkara buruk yang berlaku dalam sistem pentadbiran kerajaan, mereka sanggup menidakkan kebaikan yang dibawa oleh kerajaan. Mereka boleh bangkitkan perkara ini dari semasa ke semasa untuk perhatian kerajaan. Apa juga nikmat yang diperoleh hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin mereka menerusi MCA, GERAKAN dan sebagainya. Apa yang mereka tuntut hari ini mungkin dapat dilaksanakan beberapa tahun lagi.

Janganlah mudah membuat andaian kononnya jika pembangkang memerintah, mereka boleh menukar dasar dan sistem kerajaan dengan begitu mudah tanpa mengambil kira sensitiviti kaum lain. 

Apa pun, sama ada menerusi MCA, GERAKAN dan parti Cina lain dalam BN, mereka tidak boleh berputus asa untuk mendapatkan undi Cina, sehingga di saat-saat akhir tarikh hari mengundi. Meskipun di sesuatu kawasan itu BN boleh menang tanpa sokongan kaum Cina, BN tetap memerlukan undi mereka.


Tak boleh mendabik dada

Bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), BN memerlukan undi kaum Cina sama ada di bandar atau luar bandar bagi memastikan kemenangan besar dan mutlak. Kaum Cina perlu berfikir panjang sebelum memangkah undi. Mereka perlu memikirkan soal kesejahteraan hidup, keselamatan dan keamanan negara. Mereka tidak boleh mencuba sesuatu yang tidak pasti kerana ia boleh membawa bencana. 

Jika kita mendengar orang Cina tidak akan memberi undi mereka kepada BN khasnya calon Melayu, kita tidak pula mendengar orang Melayu mengatakan mereka tidak akan memberi undi kepada calon Cina dari parti komponen BN. Orang Melayu akan tetap memberi undi mereka kepada calon MCA dan GERAKAN serta mana-mana calon BN kerana itu adalah semangat BN. Di Malaysia, kerajaan BN memberi tempat kepada pemimpin kaum Cina untuk sama-sama mengurus kerajaan. 

Calon Cina tidak akan menang mudah tanpa sokongan pengundi Melayu dan India. Pengundi Cina tidak boleh mendabik dada jika mereka mengatakan bahawa orang Cina tidak akan memberi undinya kepada BN. Ini adalah pandangan yang salah kerana orang Melayu BN juga memberi undi kepada kaum Cina.
(terimakasih sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BelalangJalanRiong_PRU-13danundiCina/Article/)

No comments: