Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria














IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta agar cadangan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Melayu dihentikan kerana isu itu mencabar kesabaran umat Islam.
Justeru, beliau memberi amaran bahawa jika cadangan itu diteruskan, tidak mustahil akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini sehingga boleh menimbulkan kekacauan.

"Sebagai orang Islam, kita wajib berjihad mempertahankan kalimah tersebut kerana ia tidak boleh diberikan kepada sesiapa melainkan Islam,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pejabat Damara Care and Herbs di Gunung Rapat, semalam.

Beliau turut mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah ALLAH.

Katanya, hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan Harussani menjelaskan jika umat Islam membenarkan kalimah ALLAH digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan ALLAH.

“Maka persetujuan itu juga menjadikan kita (umat Islam) kafir. Justeru kita mesti bersatu mempertahankan aqidah kita. Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan ALLAH,”
katanya.

Beliau berkata, di dalam enakmen setiap negeri sudah dinyatakan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam agama lain.

“Enakmen telah dibuat oleh Dun yang telah diberi kuasa oleh perlembagaan untuk membuat  undang-undang mengenai agama dan diluluskan Sultan yang menjadi undang-undang negara.

“Oleh itu, undang-undang negara tidak boleh diusik jika tidak seolah-olah tidak menerima Perlembagaan. Justeru, orang yang tidak mematuhi undang-undang adalah orang yang derhaka kepada negara,” katanya.

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/mufti-perak-isu-kalimah-allah-cabar-kesabaran-umat-islam-1.125472)