1.0 Antara perkara yang paling membimbangkan orang Melayu hari ini ialah isu perpaduan bangsa. Perpecahan Melayu ke dalam tiga parti politik arus perdana menyebabkan ramai berpendapat perpaduan bangsa adalah sesuatu yang mustahil dicapai dalam tempoh terdekat.
2.0 Ramai Melayu pasti sedih dan kecewa melihat tiadanya tanda-tanda perpaduan Melayu dapat segera dikembalikan. Saya yakin semakin ramai yang menjangkakan fenomena perpecahan tiga ini akan berpanjangan, langsung berpotensi menjadi punca kehilangan kuasa politik Melayu di tanah air.
3.0 Sewajarnya bangsa Melayu kecewa dan hampa. Tidak hairan jika ada yang tidak senang, marah atau langsung membenci kaedah politik Melayu yang mengecewakan. Tidak hairan juga jika semakin ramai pemimpin politik diumpamakan seperti ayam jantan yang cuma pandai dan lantang berkokok ke sana-sini melaungkan agenda politik masing-masing.
4.0 Jika ada yang melaungkan nada perpaduan dan kesatuan bangsa, mereka dilihat sepertI 'ajak-ajak ayam' semata-mata, bukan menjadikannya satu agenda politik serius. Jika mereka benar-benar serius, bangsa Melayu telah tidak berpecah seperti kita lihat hari ini.
5.0 Saya percaya semakin ramai anggota masyarakat, khasnya dalam kalangan generasi muda yang cintakan bangsa, negara dan agamanya, semakin bosan terhadap hal ini. Mereka semakin tertanya-tanya: Apakah sebenarnya perjuangan pemimpin politik Melayu hari ini?

6.0 Apakah perjuangan yang dipentingkan ialah kedudukan dan kuasa parti, kerusi dan jawatan, dan bukan kepentingan masa depan generasi Melayu dan warga Malaysia akan datang?
Dikejar tak dapat, dikendung berciciran?
7.0 Pemimpin politik Melayu dan parti masing-masing semakin kelihatan terlampau memikirkan kepentingan politik diri atau kedudukan parti masing-masing atas segala yang lain. Mereka kelihatan lebih memburu tempat untuk dapat terbang tinggi, hingga kelihatan seolah-olah telah lupa daratan! Politik kepartian sempit dan serong sehingga mengabaikan kepentingan besar jangka panjang bangsa dan negara merugikan dan tidak wajar dibiar berleluasa, terutama dalam konteks realiti politik masyarakat majmuk Malaysia.
8.0 Perhatikan, dalam keadaan Melayu berpecah, kaum Cina terutamanya telah menggunakan kebijaksanaan berpolitik hingga berjaya mendapat semua yang diperjuangkan dari sejak Merdeka dahulu. Semua isu yang mereka perjuangkan, termasuk pendidikan dan kedudukan bahasa Cina, telah mereka perolehi.
9.0 Semua ini dicapai selain menguasai ekonomi, mengatasi matlamat DEB yang dikatakan penghalang dan perosak ekonomi. Dalam pentadbiran kerajaan juga mereka sangat berpengaruh. Sekali pun jumlah anggota Cina dalam pentadbiran tidak ramai, pengaruh mereka ke atas pelaksanaan dasar, peruntukan bajet, projek dan program sangat menyeluruh. Lebih-lebih lagi setelah pemimpin politik Melayu melampau kompromi, berebut-rebut menjaga hati untuk meraih undi.
10.0 Sebaliknya, bangsa Melayu dan Bumiputera gagal mempertahan kedudukan istimewa mereka, hampir dalam semua bidang. Sebagai contoh: isu bahasa. Bangsa Melayu telah bersetuju mengetepikan tulisan jawi sewaktu mahukan merdeka dahulu, iaitu satu kompromi supaya Bahasa Malaysia diterima sebagai Bahasa Kebangsaan.

11.0 Namun, realiti hari ini: semua bahasa utama telah menjadi bahasa arus perdana negara, diberi tempat istimewa, termasuk, misalnya, dalam pengumuman penerbangan di KLIA, dan juga dalam pengiklanan di papan besar iklan atau billboard. Sementara itu tulisan jawi telah langsung hilang entah ke mana pergi!
Jangan biar perpecahan melimpah ke bisnes
12.0 Bangsa Melayu perlu mengembalikan kebijaksanaan berpolitik. Dalam kolum ini minggu lalu telah saya sentuh mengenai kebijaksanaan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak membina semula perpaduan bangsa setelah meluaskan konsep politik kepartian dengan menolak politik dwi-parti anjuran Barat.
13.0 Tun Razak yang berfikiran luas dan berpandangan sangat jauh ke depan mendahului zamannya, telah tidak memilih corak politik adversarial ala Barat, malah membawa sikap dan visi politik terbuka dan sangat inklusif.
14.0 Malangnya, sejak beberapa dekad kebelakangan ini politik kalah-mati dan menang bolot semua (iaitu politik “zero-sum game”), telah mengakibatkan persengketaan dan perpecahan yang merosakkan.
15.0 Selagi aktivis dan pemimpin politik Melayu tidak menggunakan hikmah dan kebijaksanaan, tidak ada kesanggupan berkorban kepentingan dan tidak dapat mengatasi cita-cita serta aspirasi yang melampau sempit dan peribadi, selagi itulah Melayu akan berpecah, lemah dan hilang kelebihan majoriti hak keistimewaan legitimis pemberian sistem demokrasi.
16.0 Namun, di samping dilanda badai politik perpecahan dan gelora politik bertentangan, bangsa Melayu wajib mencari kebijaksanaan melayari perahu bangsa agar tidak langsung karam dilanda taufan atau hanyut dibawa arus hasutan kepentingan melampau kepartian.

17.0 Dalam hal ini sebenarnya kita boleh belajar daripada pengalaman hidup rakan sewarga berketurunan Cina.
18.0 Kerana budaya Cina telah dibentuk dalam konteks sejarah panjang rakyat jelata menyelamatkan diri menyempurnakan kehidupan setelah lebih 5,000 tahun melayari hidup dalam iklim politik tidak menentu dan sentiasa diancam peperangan dan ketidaktentuan.
19.0 Satu pengalaman peribadi saya selaku CEO Johor Corporation (JCorp) boleh dijadikan contoh kebijaksanaan budaya Cina mengatasi cabaran hidup politik kepartian. Salah sebuah syarikat anak Kumpulan JCorp dalam bisnes perkapalan bercadang membina sebuah limbungan kapal di Hutan Melintang, Perak, bertujuan memiliki sendiri keupayaan membina dan membaik pulih kapal.
20.0 Limbungan ini adalah satu langkah strategik bisnes untuk meningkatkan daya saing dan menjamin kejayaan jangka panjang bisnes perkapalan. Untuk itu, syarikat terbabit telah berusaha dan akhirnya berjaya membeli sekeping tanah yang sesuai di pinggir pantai daripada seorang pemilik Cina di kawasan terbabit.
21.0 Sebaik sahaja pembelian dimuktamadkan, berlaku perubahan politik di Perak apabila teraju pimpinan Kerajaan Negeri diambil alih parti politik bertentangan.
22.0 Perubahan ini telah menjejas langsung perancangan syarikat kerana pemilik tanah terbabit merupakan penyokong kuat parti yang memerintah Perak sebelumnya. Syarikat perkapalan JCorp mendapati pembelian tanah dengan bayaran penuh disempurnakan tidak dapat dipindah milik cuma kerana tersalah pilih penjual yang berada dalam kem politik bertentangan!
23.0 Namun pada akhirnya transaksi dapat juga diteruskan dalam tempoh singkat. Ini dapat dijayakan setelah pihak penjual dengan cepat dan cekap menguruskan perpindahan nama pemilik daripada dirinya sebagai penyokong parti “pembangkang” menggantikannya kepada seorang pemilik baru (yang bertalian persaudaraan dengan beliau) yang juga merupakan penyokong parti pemerintah.
Biduk berlalu kiambang bertaut
24.0 Sesungguhnya terdapat satu pengajaran besar pada Melayu yang hendak mengatasi ancaman perpecahan politik daripada melimpah ke dalam bisnes supaya tidak turut menjejas kepentingan masa depan ekonomi bangsa dan negara. Pejuang politik Melayu, ahli bisnes dan pejuang korporat Melayu harus mempelajari kaedah menyelesaikan masalah seperti ini, terutama dalam konteks perpecahan politik yang memakan masa untuk kembali disatukan.

25.0 Jangan sampai perpecahan politik langsung memecahkan periuk nasi bangsa untuk kepentingan anak cucu dan generasi masa depan.
26.0 Peristiwa ini jelas membuktikan kebijaksanaan bangsa Cina mengatasi halangan dan rintangan terbit daripada konflik perjuangan politik supaya tidak turut menjejas kepentingan besar lain.
27.0 Kaedah sama mereka gunakan dalam memperjuangkan kepentingan bahasa dan budaya Cina, sekolah dan pendidikan Cina, dan seumpamanya. Dalam hal-hal kepentingan asasi, sekalipun berbeza ideologi politik, semua parti politik Cina tidak akan sanggup atau berani bertindak menentangnya.
28.0 Bangsa Melayu perlu menuju ke arah membentuk strategi sama, yang pasti memerlukan masa. Sekalipun berbeza ideologi politik, kepentingan besar bangsa, negara dan agama serta kepentingan generasi masa depan wajib diutamakan dan jangan sekali dikompromi.
29.0 Sementara itu, kita doakan semoga akan bangkit barisan pemimpin dan aktivis politik yang benar-benar berjiwa besar akan dapat mengembalikan perpaduan bangsa satu hari nanti.
30.0 Dalam suasana politik dan ekonomi dunia yang tidak menentu dan semakin diancam krisis, konflik serta ketidakstabilan, perpecahan Melayu cuma akan mendedahkan kita kepada bahaya besar dan mengancam survival bangsa, negara dan agama. Sewajarnya kita berwaspada dan bertindak dengan penuh hikmah dan bijaksana.
* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/pemimpin-mesti-ada-hikmah-1.104859)
No comments:
Post a Comment