Nik Safiah Karim
Nik Safiah Karim














GEORGETOWN - Sikap pemimpin masyarakat yang kurang yakin untuk menggunakan bahasa Melayu di khalayak ramai selain menganggapnya tidak mampu menjadi bahasa ilmu menjadi punca utama bahasa itu terus terpinggir.

Karyawan Tamu, Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, tamparan hebat berlaku pada awal tahun 1990-an apabila pucuk pimpinan negara mengeluh mengenai kemerosotan bahasa Inggeris dengan menyalahkan bahasa Melayu setelah dijadikan bahasa pengantar utama.

Menurutnya, tindakan pucuk pimpinan yang menyokong keputusan itu secara terang-terangan melanggar Dasar Bahasa Kebangsaan dengan menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di dalam situasi rasmi.

“Saya tidak senang hati jikalau pemimpin kita tidak yakin dengan bahasa Melayu kerana kebanyakan mereka ini dididik di luar negara.

“Apabila disuruh bercakap dalam bahasa Melayu, mereka kurang mahir dan beranggapan lebih selesa untuk bercakap dalam bahasa Inggeris yang akan menyebabkan bahasa Melayu terus terpinggir,” katanya selepas membentangkan kertas kerja pada Persidangan Kebangsaan Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka.

Tokoh bahasa itu berkata, berdasarkan penggubalan akta yang membenarkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus menggalakkan penubuhan ratusan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.

Beliau berkata, jika diteliti semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menunjukkan Kerajaan Malaysia tidak yakin dengan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Jika hendak menulis untuk dibaca di peringkat antarabangsa tidak salah menulis dalam bahasa Inggeris tetapi untuk menghasilkan bahan rujukan kepada rakyat jelata mesti menggunakan bahasa yang mudah difahami.

“Tidak semua orang pandai berbahasa Inggeris yang tinggi. Kalau pergi ke pasar untuk beli ikan sekalipun bukannya bahasa Inggeris yang digunakan malah bahasa ibunda mengikut laras yang berbeza,” katanya.

Sehubungan itu, masyarakat harus menentukan pemimpin yang sesuai memegang jawatan termasuk ketua jabatan yang mampu menjadikan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan dikembangkan.

terimakasih(sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/bahasa-pemimpin-perlu-ubah-sikap-1.107450)