A Kadir Jasin
[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]
BERIKUT adalah pesanan ringkas (SMS) daripada seorang muda yang saya kenal sejak hampir sedekad hasil mempengerusikan sidang memperingati Dasar Pandang Ke Timur yang menampilkan (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan Profesor di Raja Ungku Abdul Aziz.
“Salam tok, sy rasa seronok dpt belanja dato tempohari dan kembali ikuti the scribe walaupun ‘geram’ dengan tulisan dato sejak setahun lepas tapi buku dato tetap saya beli cuma ‘tak baca’. Sejak pertemuan kita temphari saya kemabli membaca dan mengikuti. Hatta.”
Memang benar, baru-baru ini, dalam perjalanan mencari benih ikan, saya berhenti makan tengah hari di Batang Kali dengan Hatta. Dia bawa anak saudaranya kerana remaja itu tidak percaya bapa saudaranya kenal saya. Hatta belanja saya makan di restoran Melayu yang terkenal di pekan itu.
Hatta adalah aktivis muda Umno yang kembali selesa dengan partinya selepas diambil alih oleh Mohd Najib Abdul Razak. Kerana itulah dia kurang selesa dengan tulisan saya yang pada pandangannya terlalu kritikal terhadap kepemimpinan Umno dan kerajaan.
Kata Hatta, dia positif terhadap harapan Barisan Nasional menawan semula Selangor. Dia orang Selangor tinggal di Serendah.
Berkenaan tanggapan beliau bahawa saya kritikal terhadap kepemimpinan Umno dan negara, itu adalah pandangan beliau. Beliau berhak terhadap pendapatnya dan saya berhak terhadap penilaian saya ke atas Umno, sebuah pertubuhan yang kenali sejak budak-budak lagi.
Orang Tak Benci Kepada Umno
Sebenarnya, orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya, tidaklah terlalu benci kepada Umno. Orang Melayu yang sedar dan rasional, mengakui bahawa Umno banyak menyumbang kepada orang Melayu, negara dan agama Islam manakala orang bukan Melayu tumpang berteduh dan makmur di bawah pimpinan Umno.
Cuma, banyak orang Melayu, khasnya generasi tua dan generasi muda terkilan dengan kepemimpinan Umno yang dilihat sebagai tidak cukup Melayu dan terlalu mementingkan diri sendiri atau kelompok masing-masing.
Generasi tua yang sudah “bersara” dan tidak dipedulikan lagi oleh kepemimpinan Umno berasa Umno bukan lagi perjuangan yang mereka kenali. Malah mereka sangsi kalau perjuangan masih menjadi wadah Umno.
Mereka berasa kepemimpinan Umno telah terpesong daripada perjuangan asal – untuk agama, bangsa dan negara. Mereka melihat kepemimpinan atasan Umno sebagai terlalu tunduk kepada tuntutan dan asakan pihak-pihak di luar Umno dan orang bukan Melayu.
Generasi muda pula melihat kepemimpinan Umno sebagai elitis, mabuk kuasa, korup dan tidak telus.
Yang nampaknya terus taasub dan terasuk dengan kepemimpinan Umno adalah generasi pertengahan yang masih relevan dalam minda dan tindakan Umno. Mereka ini masih boleh dibawa berunding dan sesetengahnya terus mendapat faedah ekonomi daripada keakraban mereka dengan kepemimpinan Umno. Mungkin Hatta dalam kelompok itu.
Punca Tanggapan Negatif
Tanggapan yang negatif terhadap kepemimpinan Umno tidak dapat dinafikan. Malah, dalam hal-hal tertentu, amat teruk.
Salah satu yang nampak jelas kepada umum ialah campur tangan ahli keluarga dalam politik dan pentadbiran serta sistem pewarisan dari satu generasi ke satu generasi.
Tetapi hal ini tidak terhad kepada Umno sahaja. Ia berlaku dalam semua parti politik utama di negara kita dan di dunia, di mana pembabitan cergas bapa, ibu dan anak dalam politik sudah menjadi kebiasaan.
Ini mengingatkan saya kepada temu ramah saya dengan Tsutomu Hata, reformis Liberal Democratic Party (LDP) Jepun sebelum parti itu ditumbangkan dalam pilihan raya umum 1993 setelah memerintah selama lebih 50 tahun.
LDP adalah parti tertua yang ditubuhkan pada tahun 1955 bagi “mendemokrasikan” Jepun selepas Perang Dunia Kedua. Ia menjuarai pemecahan kuasa golongan feudal dan “merakyatjelatakan” pemerintahan Jepun. Ia mempelopori pembangunan semula Jepun sehingga menjadi kuasa industri global.
Tetapi, menjelang tahun 1990an, LDP menjadi berat di atas (top heavy), feudalistik dan korup. Kepemimpinannya terpisah dari rakyat biasa, khasnya pekerja dan generasi muda.
Bencana Politik Wang
Salah satu punca feudalisme dan keterpisahan LDP ialah proses pemilihan dan pewarisan jawatan parti di mana kebanyakan jawatan diperturunkan dari generasi ke generasi. Menjelang tahun 1990an, majoriti ketua bahagian dan Ahli Parlimen LDP adalah dari generasi ketiga.
Kawasan pilihan raya dan kerusi Parlimen diperturunkan dari datuk kepada ayah dan ayah kepada anak. Politik wang menjadi amalan. Untuk menguruskan sebuah bahagian, ketuanya memerlukan hingga AS$2 juta (kira-kira RM6.4 juta) setahun.
Bagi mengisi tabung, mereka bersekongkol dengan pemodal dan usahawan, khasnya pemaju hartanah dan kontraktor. Banyak juga yang secara sedar atau tidak terlibat dengan Yakuza iaitu sindiket jenayah Jepun.
Saya menulis mengenai temu bual dengan Hata itu dalam akhbar New Straits Times. Hata menjadi Perdana Menteri Jepun selama sembilan minggu pada tahun 1994.
Hari ini, orang tidak lagi terlalu taasub kepada parti. Hatta parti raksasa seperti Parti Komunis China yang memonopoli kuasa pun telah secara terbuka mengakui bahawa rasuah, penyalahgunaan kuasa dan elitisme akan menyebabkan rakyat jelata hilang keyakinan.
Jadi, kalau Hatta begitu kasih dan sayangkan Umno (taasub dan terasuk, kata seorang pensyarah kewartawanan), dia kenalah meyakinkan kepemimpinan partinya agar membuat perubahan besar membersihkan Umno daripada unsur-unsur yang merosakkan.
Dan, pada pilihan raya umum akan datang, bukan sekadar meletakkan calon “winnable” (boleh memang), tetapi lebih daripada itu, calon yang boleh menyatupadukan semula orang Melayu dalam satu pertubuhan kebangsaan yang utuh. Wallahualam.
Bagi saya, sebagai penulis, saya berpegang kepada falsafah “published and be damned” - saya akan terus menulis, insya-Allah, dan saya bersedia dikutuk.
51 comments: