ARKIB : 10/01/2011
PRK Tenang, pertembungan dua 'Chua'
Oleh Nadzir Awang Ahmad
Suasana politik negara dijangka kembali panas berikutan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor akan diadakan pada akhir bulan ini. Hari pembuangan undi dijadualkan pada 30 Januari berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha dari parti UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN). PRK ini merupakan siri ke-14 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Berdasarkan rekod, kerusi DUN Tenang merupakan kubu kuat BN yang diwakili UMNO.
Sebarang keputusan PRK DUN Tenang tidak akan mengubah penguasaan kerajaan negeri yang diterajui BN kerana pada PRU 2008, BN memenangi 50 kerusi DUN manakala pembangkang menang enam kerusi DUN. Meskipun begitu, sekiranya BN menang pada PRK ini, ia pastinya akan mengekalkan momentum kemenangan BN dalam siri PRK bermula PRK Bagan Pinang, diikuti Hulu Selangor, Batu Sapi dan Galas.
Kemenangan selesa BN di Batu Sapi dan Galas menunjukkan tahap populariti BN di kalangan rakyat semakin meningkat selepas pelbagai program transformasi dilaksanakan. Ia satu perkembangan memberangsangkan bagi BN selaku parti pemerintah. Pemulihan sokongan pengundi Cina dan pertambahan sokongan pengundi Melayu (Bumiputera) dilihat semakin meningkat di kedua-dua kawasan tersebut jika dibandingkan dengan keputusan PRU 2008.
Menariknya, PRK DUN Tenang ini dilihat pada peratusan komposisi pengundi iaitu Melayu seramai 49.66 peratus (%), Cina (38.13 %), India (12.11 %) dan lain-lain kaum (0.10 %). Keputusan di PRK DUN Tenang ini mungkin menjadi topik analisis sebenar pihak kerajaan atau pembangkang menjelang PRU ke-13. Tambahan lagi, kedua-dua pihak iaitu BN dan pakatan pembangkang telah selesai mengadakan konvensyen masing-masing.
Lebih menarik apabila PRK DUN Tenang bakal menyaksikan pertembungan dua 'Chua' iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Pengerusi PKR, Datuk Chua Jui Meng yang bakal 'berentap' untuk meraih sokongan pengundi Cina. Justeru itu, MIC perlu bekerja keras meraih sokongan pengundi India untuk menjamin kemenangan calon BN sekiranya berlaku perpecahan undi Melayu (antara UMNO dan Pas), dan perpecahan undi Cina akibat pertembungan dua 'Chua' yang masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri di kawasan tersebut.
Sekali lagi, faktor Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dilihat amat signifikan dalam mempengaruhi pola pengundian pada PRK ini. Keyakinan rakyat yang semakin meningkat melalui Gagasan 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang diperkenalkan Najib selepas mengambilalih tampuk pemerintahan negara diharap dapat membuka minda rakyat, khasnya pengundi di DUN Tenang tentang manfaat konsep tersebut.
Pengundi di DUN Tenang tentunya amat arif untuk memilih siapakah yang paling terbaik untuk diberi mandat mewakili mereka. Mereka harus menolak mana- mana kempen yang berbentuk provokasi, dan sewajarnya memberi peluang kepada parti yang telah terbukti dapat memerintah dan menjaga kepentingan rakyat.
Sekiranya momentum kemenangan BN berjaya diteruskan, ia merupakan satu indikator penting kepada kelangsungan kuasa pemerintahan negara yang diterajui UMNO dan penerimaan dasar-dasar yang dilaksanakan diterima baik oleh majoriti rakyat.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm)
No comments:
Post a Comment