Tuesday, January 4, 2011

Peneroka tidak terpengaruh

Oleh SHOLINA OSMAN
pengarang@utusan.com.my


MOHD. Isa Abdul Samad (kanan) dipeluk Mohd. Yusof Noor pada Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi Baru Felda di Balai Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yakin segala serangan terhadap agensi itu tidak akan membuatkan peneroka terpengaruh dan menyokong perjuangan pembangkang.

Beliau berkata, sebaliknya para peneroka faham segala tuduhan yang dilemparkan termasuk Felda bankrap hanyalah permainan politik pembangkang yang akan terus memuncak sehingga pilihan raya akan datang.

“Malah semenjak penubuhan Felda 50 tahun lalu, pembangkang tidak pernah memuji agensi ini sebaliknya suka menimbulkan isu yang buruk sahaja,” katanya.

Mohd. Isa berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan tugas antara beliau dengan bekas Pengerusi, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor di Balai Felda di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Mohd. Isa menjelaskan, ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau pernah menyuruh peneroka Felda yang terpengaruh dengan pembangkang sehingga menuduh kerajaan zalim supaya balik sahaja ke kampung halaman masing- masing.

“Tetapi mereka tak balik pun dan ini menunjukkan kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk mereka dan tidak ada sebab untuk keluar dari Felda hanya kerana hasutan pembangkang,” katanya.

Malah katanya, pembangkang sudah mula menyerang Felda sewaktu agensi itu hendak ditubuhkan lagi dengan slogan ‘Langkah Kerajaan Menipu Peneroka’.

“Malah ketika Felda di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dikritik bahawa Felda akan mengalami kerugian dengan penanaman getah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika harga getah melambung tinggi tidak ada pula pembangkang yang muncul untuk memuji langkah Felda ini.

Mohd. Isa menjelaskan, beliau tidak takut untuk berhadapan dengan apa juga isu yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang kerana yakin Felda akan berjaya memacu kejayaan.

“Biarpun pembangkang membuat seribu janji tetapi saya percaya peneroka sesekali tidak akan terpengaruh dengan mana-mana parti pembangkang,” katanya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm)

No comments: