Friday, June 19, 2009

Tugas UMNO paling mencabar

Tugas UMNO paling mencabar ialah bagaimana nak buat orang percayakan apa yang kita cakap…-Syed Hamid

Oleh: Nor Hasilah Ismail

Selepas hampir dua bulan tidak berada dalam kabinet, kehidupan mantan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar masih sama. Beliau masih sesibuk dahulu, termasuk pada hujung minggu.

Beliau menganggap dirinya masih bekerja dan mengatakan orang politik tak pernah bersara, cuma “menghilang”. Bak kata bidalan Inggeris, a general never retires but fades away.

Walaupun tiada dalam kabinet, Syed Hamid masih aktif berpolitik. Beliau sering menerima undangan untuk berucap atau meluahkan idea dalam forum atau seminar.

Dengan bantuan setiausaha peribadinya, Eddie, akhirnya Agendadaily berpeluang bersembang dengan beliau di Wisma Belia,Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau melayani semua soalan dengan penuh keterbukaan, baik dalam soal politik, kedudukan bangsa Melayu dan hal peribadi.

Agendadaily: Kini Tan Sri tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan, bagaimana Tan Sri mengisi masa terluang?

Syed Hamid: Saya tak pernah berhenti kerja. Sejak menjadi wakil rakyat dan terus sebagai menteri, saya tak pernah bercuti atau berehat. Saya tak mahu tergesa-gesa membuat sesuatu. Setelah berkhidmat lama dengan kerajaan saya perlu refleksi apa yang saya perlu buat. Saya mahu berehat sekejap. Kalau kita dah ada sesuatu, susah nak cari peluang untuk berehat.

Agendadaily: Adakah Tan Sri menerima tawaran atau bercadang kembali ke bidang guaman atau perbankan? Bukankah Tan Sri mempunyai pejabat guaman di Sheraton?

Syed Hamid: Saya ada mendapat beberapa tawaran untuk menjadi lembaga pengarah, tetapi belum bersedia. Nantilah dulu. Mengenai soal kembali ke bidang guaman, saya belum fikir lagi sama ada mahu mencari ruang pejabat untuk disewa atau tidak. Pejabat di Sheraton itu bukan milik saya. Ia kepunyaan adik saya.

Agendadaily: Sejak tidak memegang apa-apa jawatan kabinet dan UMNO, adakah Tan Sri merasakan masih mempunyai peranan dalam kerajaan dan parti?

Syed Hamid: Sebagai orang politik, di mana kita berada kita tidak boleh melepaskan minat dalam alam politik dan siasah kerana kita telah memainkan peranan. Mana boleh buat tak tahu aja. Tak boleh. Oleh kerana kita tahu kita dah tak ada dalam aliran utama sebagai pembuat atau penentu dasar, kita masih boleh menyumbang idea, itupun jika dapat diterima oleh pimpinan semasa.




Agendadaily : Tan Sri telah bekerja di bawah era dua Perdana Menteri, iaitu Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Badawi. Apakah perbezaannya?

Syed Hamid: Setiap era pendekatan dan caranya berlainan. Tun Mahathir ada stail dia, begitu juga dengan Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Najib. Apabila Najib mengambilalih UMNO, kedudukan parti dalam keadaan yang sangat mencabar bukan kerana kegagalan dasar kita.

Politik kita mula jadi rapuh dan benteng pertahanan politik mula runtuh. Ada orang kata UMNO tidak lagi dilihat sebagai keramat yang mempertahankan kepentingan Melayu. Apabila negara sudah maju dan matang, nilai ukuran pun berbeza,

Orang tidak lagi memandang sumbangan kita terutama dalam bidang ekonomi sebab mereka sudah menganggapnya sebagai tugas dan fungsi sesebuah kerajaan. Mereka mahu dengar apa pemimpin kata dan lihat bagaimana peimpin itu lakukan apa yang dia kata.

Agendadaily: Apa sebenarnya masalah paling besar dihadapi UMNO dan BN dalam menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang?

Syed Hamid: Berdepan dengan realiti! Kalau kita harap prestasi dalam ekonomi boleh menjadi penyelesai masalah, ia menyimpang jauh dari realiti. Kita sudah berjaya meletak negara di mata dunia. Tetapi kini tuntutan sudah berubah. Jika kita tak sedar dengan pertukaran tuntutan ini, kita akan ketinggalan.

Agendadaily: Apakah tugas paling mencabar UMNO?

Syed Hamid: Tugas paling mencabar ialah bagaimana nak buat orang percayakan apa yang kita cakap. Our war today is on the perception created by the opposition and some media. Persepsi yang mereka cipta telah dianggap oleh rakyat sebagai realiti. Golongan muda, terutamanya mahu melihat sesuatu yang berlainan dari kita. Mereka mahu melihat imej kita bersih dan tidak dikaitkan dengan skandal dan rasuah. Jika kita tercemar sedikit pun, walaupun kita diterima parti, rakyat menolak.

Penerimaan parti mestilah selari dengan kehendak rakyat. UMNO berdepan dengan jurang antara parti dan rakyat sehinggakan pada satu tahap, sekiranya seseorang pegawai kerajaan didapati tidak elok, kerajaan dan parti yang dipersalahkan. UMNO mesti terima hakikat ia mempunyai masalah dalaman.

Parti ini masih lena dan tidak mahu perbetulkan kredibiliti dan integriti. Slogan yang digunakan pada zaman Datuk Onn dulu iaitu UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO, tidak boleh lagi digunakan sekarang.

Ada orang UMNO sendiri kerana tidak puashati sanggup tinggalkan parti tanpa rasa bersalah atau berdosa. Bersatu, bersetia dan berkhidmat kini tinggal slogan sahaja. Ia simbol yang tidak membawa erti.

Agendadaily: Bagaimana Tan Sri lihat keadaan politik di dalam negara sekarang dan apa yang perlu UMNO dan BN buat?

Syed Hamid: Rakyat tak fikir UMNO sudah sedar atau insaf. Jadi kita kena betulkan keadaan. Jika tidak, PRU akan datang akan jadi hambatan yang merugikan kita. Kita mengalami banyak kekalahan dalam PRU yang lalu kerana kita letak orang yang rakyat tak mahu.

Kita letakkan orang pilihan parti dan bukan rakyat. Saya juga lihat orang UMNO sekarang tidak terfikir mereka boleh hilang kuasa satu hari nanti. Mereka masih merasakan berada dalam zon selesa. Sindrom penafian inilah yang merugikan kita.

Bila kita ada sindrom ini apa-apa laporan negatif yang kita perolehi, kita tak mahu percaya. Kita hanya mahu percaya yang elok sahaja. Kita ini sudah jatuh, tetapi masih belum sedar.

Saya harap di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, kita ada peluang membetulkan persepsi ini. Tapi masanya tak banyak. Dia kena buat cepat. Strategi ekonomi kita sudah ada dan kita juga mesti dilihat mempunyai strategi politik.

Agendadaily : Komen Tan Sri mengenai cabaran pada institusi Raja dan bangsa Melayu?

Syed Hamid: Institusi Raja adalah sesuatu yang seharusnya tidak boleh disentuh kerana ia adalah lambang kenegaraaan dan sejarah negara ini. It is above politics. Seharusnya ia tidak dilihat sebagai proses politik dalam sistem raja berpelembagaan. The King must not only be above politics buat also be seen as above politics. Sekarang ini kita melihat adab dan adat sudah terpisah menyebabkan ada golongan tidak menghormati sistem ini.

Agendadaily: Apakah kelemahan paling ketara golongan muda Melayu kini?

Syed Hamid: Mereka tidak ada kerapatan dan keakraban dengan tradisi dan sejarah. Di Amerika, kerajaan negara itu menanamkan semangat sayangkan negara sejak kecil menerusi pelbagai kaedah, antaranya menggunakan filem sebagai propaganda.

Kita pula tidak mahu menulis sejarah dengan betul kerana mahu menjaga hati orang. Kita kena ajar perkara sebenar supaya orang tahu menghayati. Sesetengah orang ingat negara ini timbul begitu sahaja.

Dalam politik sekarang, Pemuda UMNO tidak dapat menghayati golongan muda. Mereka perlu ingat, menjelang PRU akan datang, kita akan mempunyai dua juta pengundi baru.

Golongan ini harus didekati dan difahami. Ada pemimpin pula bila sudah menjadi Yang Berhormat, gaya berjalan pun dah berubah. Satu macam aja. Kekuatan UMNO selama ini terletak kepada kreativiti. Gunakanlah kreativiti.

Agendadaily: Dalam PRU lalu, parti komponen BN lebih banyak mengalami kekalahan dibandingkan UMNO. Adakah Tan Sri rasakan mereka masih relevan?

Syed Hamid : UMNO lebih bersifat Malaysia daripada parti-parti komponen BN yang lain. Parti komponen BN yang lain memang tak relevan. Mereka tidak buat apa-apa untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu terutama di kawasan di mana undi mereka menjadi undi penentu.

Jika berlaku kesilapan, mereka asyik menyalahkan UMNO sahaja, walhal mereka yang lebih banyak hilang kerusi. Jika UMNO tidak membuat pendekatan baru, saya takut nanti UMNO akan diheret oleh parti komponen ke kancah kejatuhan.

UMNO terlalu defensive . Dalam keadaan sekarang kita kena offensive. Parti komponen semakin menjadi duri dalam daging. Mereka tidak ada kesepakatan dan kesetiaan. Bagi saya, seharusnya ada mekanisma, di mana parti yang bermasalah patut digantung.

Agendadaily: Ramai orang bercakap UMNO perlu berubah. Apa yang perlu diubah?

Syed Hamid: Apa yang jelas ialah UMNO memerlukan perubahan yang radikal bagi mendapat penerimaaan rakyat, dan rakan kongsi dalam BN juga perlu berubah.

Selain dari perubahan bentuk dan struktur, kita juga harus memerangi persepsi terhadap UMNO oleh rakyat jelata.

Kita mesti memulihkan UMNO supaya jurang di antara UMNO dan rakyat tidak terus melebar. Kita harus memaparkan wibawa dan integiriti untuk menjadikan rakyat percaya kepada kita.

Yang paling penting, orang UMNO sendiri mesti yakin terhadap parti mereka sendiri. Mereka mesti ada sikap kasih dan setia. Di mana kita perlu tegas, kita perlu dilihat tegas. Jika kita berdiam diri kita akan kehilangan kekuatan dan harapan orang Melayu.

Agendadaily: Usia Tan Sri pun hampir sama dengan UMNO. Adakah Tan Sri merasakan Tan Sri serta golongan veteran UMNO masih boleh berubah dengan keperluan sekarang?

Syed Hamid: Eh, saya lebih tua sedikit dari UMNO! Saya tak fikir kami ada masalah. Sememangnya kita perlu fokus kepada golongan pemuda. Tetapi pengalaman tidak boleh digantikan dengan tenaga.

Orang lama masih boleh memainkan peranan. Golongan sekarang semakin melupakan sejarah. Sehubungan itu orang lama masih boleh membantu golongan muda untuk memastikan kita tidak mengulangi kesilapan lalu.

Agendadaily: Sebagai bekas seorang peguam dan majistret apakah pendapat Tan Sri mengenai sikap golongan yang mempertikaikan sistem keadilan. Tidak adakah peruntukan undang-undang yang boleh mencegah amalan ini daripada berlarutan?

Syed Hamid: Rakyat harus menghormati mahkamah. Janganlah hormat mahkamah apabila keputusan memihak kepada kita sahaja. Pihak yang berkaitan dengan kes sebenarnya boleh mengambil inisiatif untuk bertindak terhadap golongan yang mempertikaikan keputusan mahkamah sebagai menghina mahkamah (contempt of court). Kalau kita senyap sahaja dan biarkan orang terus menerus tidak menghormati mahkamah, kita akan menerima padah.

Agendadaily: Apakah pendirian Tan Sri mengenai ISA memandangkan sekarang tidak lagi berada dalam kabinet?

Syed Hamid: I think there’s always fear of its abuse. ISA perlu dipertahankan kerana kita perlu sistem perlindungan yang memastikan keamanan terjamin sepanjang masa dengan tindakan pencegahan. Mungkin pendekatannya perlu dirombak semula supaya orang berpuashati.

Agendadaily: Dalam keadaan persepsi rakyat kepada UMNO dan BN begitu negatif, adakah sesuai jika kerajaan meletakkan ahli politik dalam lembaga pengarah institusi penting milik kerajaan?

Syed Hamid: Kita jangan brand ahli politik. Kita jangan label semua ahli politik itu jahat atau mempunyai niat tidak baik. Kita harus mengukur seseorang berdasarkan rekod kemampuan dan kelayakannya, tanpa mengira dia ahli politik atau bekas ahli politik atau bukan ahli politik.

Di seluruh negara, ramai ahli politik berkecimpung dalam perniagaan. Adalah tidak adil untuk memberikan konotasi negatif dalam perkara ini. Tengoklah sama ada calon itu sesuai atau tidak. Jika tidak sesuai, tak payahlah pilih dia.

Agendadaily: Betul ke khabar angin yang bertiup kencang di internet bahawa Tan Sri ditawarkan menjadi pengerusi Petronas?

Syed Hamid: Saya tidak tahu menahu hal ini sehinggalah saya membacanya dalam blog dan internet baru-baru ini. Saya tidak boleh komen hal ini kerana tidak ada bidang kuasa untuk berbuat demikian.

Agendadaily: Semasa forum UMNO Menempuh Arus baru-baru ini Tan Sri mengakui media baru, terutama internet dan blog memainkan peranan penting mempengaruhi pengundi. Datuk Ahmad Talib pula menegur bahawa blog-blog menteri atau ahli politik kurang mendapat sambutan kerana lebih banyak menyiarkan petikan dan kegiatan politik mereka, menyebabkan ia tidak menarik. Adakah Datuk Sri bersetuju?

Syed Hamid: Semasa menjadi menteri, sudah tentulah kita tidak boleh bebas menulis sesuka hati. Kita tertakluk kepada ketaatan kepada parti dan kerajaan maka sudah tentulah ada hadnya.

Sehubungan itu saya hanya mampu memuatkan berita mengenai tugasan saya dalam www.syedhamidalbar.net. Kini saya sudah ada blog peribadi beralamat www.syedhamidalbar44.blogspot.com . Kini saya sudah tiada dalam kabinet, bolehlah saya bebas mengupas isu secara lebih terbuka. Tetapi saya tidak mahulah jadi macam pembangkang pula. Kalau kita sudah berada di luar dan asyik mengutuk, orang akan melabel kita sebagai sour grape pula.

Saya tidaklah mahu jadi “pukul anak sindir menantu, akhirnya mati anak kita”. Saya sedang cuba menjadikan blog ini lebih menarik dari semasa ke semasa dan mengalu-alukan komen dari pembaca.

Agendadaily: Pandangan Tan Sri mengenai konsep 1Malaysia?

Syed Hamid: Kita kena buat semua orang faham secara bersama. Saya khuatir, ada golongan yang cuba menyamakan 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia .

Golongan ini melihat 1Malaysia seolah-olah merombak sejarah dan persetujuan-persetujuan yang terkandung di dalam perlembagaan. 1Malaysia bertujuan melahirkan bangsa yang bersatupadu berdasarkan kemajmukannya. Malaysian Malaysia pula adalah satu konsep yang bertujuan mengembalikan Malayan Union bahawa rakyat Malaysia tidak beza dan mempunyai hak yang sama.

Kita bukan kata tak boleh, tapi kita kena terima hakikat sejarah Malaysia ada keindukannya. Kita tidak boleh menolak kehadiran orang Melayu sebagai bangsa Induk.

Agendadaily: Harapan Tan Sri terhadap UMNO?

Syed Hamid: Saya harap UMNO akan berubah menjadi parti yang disegani berdasarkan imej, kredibiliti dan integriti. Orang mesti melihat UMNO sebagai memperjuangkan orang Melayu. UMNO tidak boleh menyerah kalah.

Agendadaily: Selain terus aktif dalam politik, apakah fokus Tan Sri selepas ini?

Syed Hamid: Meluangkan lebih masa untuk keluarga. Isteri saya merungut bahawa anak bongsu kami tidak rapat dengan saya seperti abang-abang dan kakaknya. Ini disebabkan ketika dia dilahirkan saya sudah menjadi menteri.

Saya mahu meluangkan lebih banyak masa untuk keluarga. Hidup ini singkat. Jika kita tidak gunakan masa untuk bersama keluarga, mana tahu, tiba-tiba satu hari kita sudah tiada. Kita mesti hargai hidup dan gunakan sepenuhnya. Semasa kita masih hidup, buatlah yang terbaik dan dekatilah keluarga.-15/6/2009



Printable Version | Email to a Friend

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_df8ed9d3-7f000010-96478e00-d3efa181)

No comments: