Wednesday, June 17, 2009

Kesempatan


Tuesday, June 16, 2009

"Manusia dapat dibahagikan kepada tiga jenis. Pertama, manusia bodoh iaitu mereka yang selalu tidak mengendahkan ataupun tidak merebut setiap kesempatan dan peluang yang ada. Kedua, manusia baik iaitu mereka yang sentiasa merebut setiap kesempatan yang datang kepadanya. Manusia jenis yang ketiga adalah manusia yang bijak iaitu mereka yang sentiasa mencari kesempatan yang dapat membuatkan dirinya berkembang tanpa perlu banyak menunggu"

Kita tentunya tertanya-tanya di kelompok mana kita berada. Kelompok pertama yang ambil tidak kisah peluang yang ada di depan mata. Kalau ada, adalah. Kalau tidak bagi sahaja orang lain yang lebih layak untuk merenggut peluang itu. Sudah bukan hak dan rezeki kita. Bak kata orang ibarat melukut di tepi gantang. Ada atau tiada, tidak ada bezanya. Ukur baju di badan sendiri. Kalau kail panjang sejengkal lautan dalam janganlah nak diduga. Lalu terus-terusanlah kelompok ini terkebil-kebil menanti peluang yang tidak datang, ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Rasa rendah diri yang cukup kompleks menyekat kelompok ini meragut peluang yang ada di tengah-tengah kehebatan orang lain. Akhirnya, ketika yang lain sudah ke puncak, kita di bawah berdiri terpacak.

Mereka yang baik merebut peluang di depan mata. Tidak ada sikap tunggu dan lihat. Peluang di depan mata direntap ligat sebelum orang lain berpeluang merembat. Siapa cepat dia dapat menjadi amalan selain bingkas dan tangkas. Namun kelompok ketiga dikira paling bijak daripada kedua-duanya. Kelompok begini tidak menunggu peluang muncul di depan mata malah sentiasa meneroka dan mencari kesempatan bak yang membujur lalu melintang patah. Golongan oportunis begini tidak memikirkan sangat tentang kepayahan orang lain yang dimangsainya asalkan diri sendiri mendapat habuannya. Ketika orang lain melihat besi buruk cuma layak dihumban dalam timbunan sampah sarap, mereka yang adventurous melihat himpunan kekayaan didalamnya. Begitulah halnya ketika orang lain tidak endah dengan epal yang jatuh, Isaac Newton begitu peduli untuk bertanya dan mencari jawapannya, mengapa?

Kita mungkin pernah berada dalam ketiga-tiga kelompok tersebut. Saya tidak segan silu untuk mengaku bahawa saya termasuk dalam kelompok yang bodoh itu. Sekian lama saya terkunci di dalamnya. Sesekali ingin keluar dari kepompong yang merugikan itu. Namun kemampuan tetap diragui. Petang tadi pun tindakan saya mengambil kesempatan mencelah ruang kosong ditengah-tengah deretan panjang kereta menunggu masa untuk meluru sebaik sahaja lampu merah bertukar hijau sudah dibalun dengan lolongan hon yang menyakitkan telinga oleh seorang pemandu yang tentunya tidak senang dengan tindakan itu.

Seronok betul saya dengan cerita empat orang dalam keretapi yang disajikan oleh Parlindungan lewat buku bakal bestsellernya itu. Seorang nenek dan cucunya seorang wanita yang cantik duduk bersebelahan mengadap dua orang lelaki- seorang pengurus syarikat yang kacak ditemani seorang pegawai muda. Ketika melalui terowong yang gelap, tiba-tiba lampu dalam keretapi padam dan suasana menjadi gelap gelita. Yang kedengaran hanya bunyi deru injin dan roda keretapi. Dalam keadaan sunyi dan gelap itu, tiba-tiba terdengar bunyi ciuman dan bunyi sebuah tamparan.

Selepas melalui terowong yang gelap itu, masing membuat penelitian sendiri tentang ciuman dan tamparan yang mereka dengar tadi.

Wanita muda berfikir" Saya rasa bangga pengurus yang kacak ini mencium saya, tapi rasa malu kerana nenek menamparnya"

Nenek pula berfikir"Saya kesal orang muda itu mencium cucu saya, tetapi bangga kerana cucu saya mempunyai keberanian untuk menamparnya"

Pengurus pula berfikir" Pekerja saya betul-betul berani mencium wanita muda yang baru saja dikenalinya, tetapi mengapa pula wanita itu menampar saya?"

Hanya pemuda itu yang tahu apa sebenarnya berlaku. Dalam masa yang singkat dia bertindak tangkas mencium wanita muda itu dan serentak pula menampar pengurus di sebelahnya!

Mampukah kita bertindak tangkas mencuri kesempatan seperti pemuda itu?

Pena Tumpul - Tidak pernah berkesempatan untuk menghasilkan walaupun halaman pertama sebuah novel sejak dua tahun yang lalu

Posted by Kamil at 11:44 PM 1 comments

(sumber;http://kamil61.blogspot.com/2009/06/kesempatan.html)

zmsegamat; di kelompok yang ke berapakah kita?...

No comments: