Saturday, June 29, 2013

Kepemimpinan UMNO mesti berubah jika ingin terus memerintah


Ahmad Maslan (dua dari kiri) bersama jemaah mengaminkan doa ketika menghadiri majlis tahlil dan solat hajat Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Bangunan UMNO lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut kelihatan, Abdul Aziz Abdul Rahman (lima dari kiri). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kepemimpinan UMNO semua peringkat mesti mengubah pendekatan mereka dalam menghampiri generasi muda bagi memastikan parti itu kekal sebagai tunjang pemerintahan negara.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kaedah mendidik pemimpin-pemimpin UMNO perlu diselaraskan dengan kehendak masyarakat masa kini.

Menurut beliau, pendedahan seharusnya diberi dari segi cara berpakaian, komunikasi dan berinteraksi secara santai dengan rakyat agar mereka mengundi UMNO.

"Kita mesti memberikan penekanan terhadap semua perkara itu semasa melatih pemimpin. Bukan setakat mengajar bagaimana hendak menjadi ketua bahagian atau ketua cawangan.

"Matlamat utama kita berpolitik adalah menang dalam pilihan raya dan seterusnya beroleh kuasa untuk memerintah, tidak bermegah-megah sahaja," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Mubarak di Ibu Pejabat Mubarak di sini hari ini.

Majlis solat hajat dan tahlil sempena perpindahan Ibu Pejabat Mubarak dari Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke lokasi baharu di Bangunan UMNO Lama, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dilangsungkan selepas solat maghrib dan turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Abdul Aziz, pemimpin-pemimpin UMNO tidak lagi boleh mengharapkan kekuatan mereka di dalam parti akan menyumbang kepada kemenangan pada pilihan raya.

"Pemimpin UMNO sewajarnya membina kekuatan di dalam masyarakat dengan mendampingi rakyat setiap hari tanpa terikat dan batasan yang memisahkan mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, perubahan sistem pemilihan UMNO yang dilaksanakan tahun ini dilihat mampu memantapkan lagi kerangka kepimpinan parti.

"Cuma saya bimbang kita kurang memberikan penekanan kepada perancangan peralihan kuasa berbanding dengan parti-parti politik di negara lain yang mempunyai cara untuk memilih pemimpin pelapis," jelasnya.

Beliau juga mengumumkan tentang Mesyuarat Agung Mubarak yang dijadual berlangsung di Johor Bahru, Johor mulai 21 hingga 23 Ogos ini.


terimakasih sumber: Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130628/po_08/Kepemimpinan-UMNO-mesti-berubah-jika-ingin-terus-memerintah#ixzz2Xapeq2bN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: