Thursday, June 13, 2013

Jawab segala tohmahan - KSN

ARKIB : 12/06/2013


ALI Hamsa (dua dari kanan) bersalaman dengan penjawat awam negeri dan persekutuan, di Kota Kinabalu, Sabah, semalam. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin

KOTA KINABALU 11 Jun - Setiap agensi dan jabatan kerajaan dicabar untuk melakukan 'serangan balas' menerusi perkhidmatan terbaik bagi menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab dalam laman sosial.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, jika selama ini pihak agensi dan jabatan kerajaan hanya bertindak 'bertahan' pada setiap masa terhadap segala tohmahan, kini sudah tiba masa untuk pihak jabatan dalam perkhidmatan awam bertindak melakukan serangan.

"Walau bagaimanapun, tindakan serangan balas menerusi laman sosial ini tidak boleh dilakukan seperti yang dilakukan mereka seperti memfitnah, sebaliknya perlu mengemukakan fakta yang menyokong segala tugas yang telah dilaksanakan," katanya ketika berucap dalam majlis perhimpunan penjawat awam negeri dan persekutuan bersama beliau, di sini hari ini.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir.

Mengulas lanjut, Ali berkata, setiap agensi atau jabatan kerajaan boleh menggunakan kepakaran anak muda yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat untuk menyampaikan maklumat tepat terhadap apa yang telah dilakukan oleh jabatan masing-masing, sekali gus menangkis segala tohmahan dilemparkan.

Jelasnya, ia penting dalam menjaga nama baik jabatan sekiranya diserang atau difitnah dalam media sosial yang sering dilakukan pada masa ini.

Sehubungan itu, katanya, tindakan balas yang pantas perlu dilakukan, sekali gus terus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap mutu perkhidmatan yang diberikan.

Sementara itu, Ali turut mengumumkan usaha kerajaan dalam membela nasib dan kebajikan penjawat awam yang berkhidmat di bandar-bandar besar di negeri ini menerusi pembinaan Perumahan Penjawat Awam (PPA) seperti projek perintis yang dilakukan di Putrajaya.

Katanya, lebih daripada 1,000 unit PPA akan dibina di Sabah dalam meringankan beban penjawat awam untuk memiliki rumah dengan kadar mengikut kemampuan golongan tersebut.

Menurutnya, ia terbuka kepada semua penjawat awam di negeri ini, sama ada individu tersebut daripada kerajaan negeri atau persekutuan, selain harganya jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

(terimakasih sumber:utusan online)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130612/dn_12/Jawab-segala-tohmahan---KSN#ixzz2W3pcvybs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: