Thursday, February 7, 2013

Sibuk sebabkan tidak layari Facebook


SAN FRANCISCO 6 Feb. - Lebih separuh daripada pengguna Facebook di Amerika Syarikat (AS) 'berehat' daripada melayari rangkaian laman sosial itu dengan alasan yang diberikan mereka adalah terlalu sibuk, lapor satu kajian yang disiarkan semalam.

Menurut Pusat Penyelidikan Pew, kira-kira 61 peratus daripada pengguna laman itu memberitahu, mereka tidak melayari Facebook pada masa-masa tertentu dengan 27 peratus lagi merancang untuk mengurangkan masa mengakses laman sosial itu pada tahun depan.

Alasan yang paling tinggi diberikan iaitu sebanyak 21 peratus adalah kerana terlalu sibuk yang menyebabkan mereka tidak melayari Facebook.

Antara alasan lain yang diberikan ialah mereka 'penat melayan komen-komen bodoh', kawan-kawan yang bersifat 'gila-gila', bosan dan ia menimbulkan masalah dalam hubungan percintaan.

''Data ini menunjukkan orang ramai cuba melakukan perubahan dengan menyesuaikan diri dalam cara bersosial yang baharu,'' kata Pengarah Projek Internet Pew, Lee Rainie yang juga merupakan penulis bersama kajian bertajuk Datang dan Melangkah di Facebook.

Pew memberitahu, dianggarkan lebih dua pertiga orang dewasa di AS menggunakan internet hanya untuk melayari Facebook.

Kajian itu menambah, satu perlima daripada mereka yang bukan pengguna Facebook berkata, mereka pernah menjadi pengguna laman itu namun telah berhenti.

Antara alasan yang diberikan adalah mereka penat 'dengan sikap suka ambil berat' yang membuang masa.
Kaji selidik itu dibuat berdasarkan temu bual telefon antara 13 hingga 16 Disember dengan menjadikan 1,006 orang dewasa di AS sebagai responden. - AFP


(terimakasih sumber:utusan online)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130207/lu_07/Sibuk-sebabkan-tidak-layari-Facebook#ixzz2KC3yYnbk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: