SHAH ALAM 14 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua pihak tidak terpengaruh dengan 'ajaran sesat' pihak tertentu kononnya suruhanjaya itu boleh mengesan undian mana-mana individu dalam pilihan raya.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tuduhan itu tidak munasabah memandangkan suruhanjaya tersebut tidak boleh mengesan kertas undi yang diberikan kepada para pemilih.
"Saya tegaskan SPR tidak boleh kesan dan tidak tahu siapa yang ambil kertas undi walaupun ada nombor siri. Ini kerana petugas SPR yang memberikan kertas undi itu tidak boleh mengambil apa-apa catatan apatah lagi melibatkan maklumat pemilih tersebut.
"Jadi kalau tidak ada catatan, bagaimana kertas undi tersebut boleh dikesan," katanya ketika berucap pada majlis Taklimat SPR kepada Pegawai Pengurus, Penolong Pengurus dan Ketua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya Negeri Selangor di sini hari ini.
Tambah Abdul Aziz, meskipun kertas undi yang diberikan kepada pemilih tercatat nombor siri dan cop, perkara itu merujuk kepada saluran pengundian dijalankan.
Sehubungan itu, tambah beliau, sekiranya terdapat kertas undi lain masuk ke dalam saluran pengundian pihaknya dapat membuat semakan dengan mudah sumber kertas undi tersebut berdasarkan nombor siri yang tercatat.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan seperti disyorkan Jawatankuasa Khas Parlimen sebelum ini meskipun mana-mana pihak tidak boleh mengarahkan SPR membuat perubahan tersebut.
"SPR adalah sebuah badan bebas dan kita mendengar serta menerima setiap pandangan termasuklah daripada tukang kebun. Tiada sesiapa boleh mengarahkan SPR membuat itu dan ini waima Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri-menteri Kabinet," katanya.
Sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang pula, Abdul Aziz berkata, SPR sedang meneliti aspek serta proses perundangan untuk melantik Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya lebih awal dari tarikh pembubaran Parlimen.
Jelasnya, sekiranya proses itu diputuskan, pihaknya akan mengumumkan pelantikan pegawai-pegawai tersebut secara rasmi bagi membolehkan proses pengurusan pilihan raya dapat berjalan lancar.
"Dengan cara ini, mereka yang dilantik boleh melaksanakan tanggungjawab lebih awal seperti menguruskan permohonan undi pos.
"Apabila sampai hari penamaan calon, mereka tidak perlu terburu-buru melaksanakan keputusan membabitkan pilihan raya," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130215/px_02/Jangan-terpengaruh-SPR-boleh-kesan-kertas-undi-pemilih#ixzz2KwKvZ0TA
© Utusan Melayu (M) Bhd
(terima kasih sumber utusan online)
1 comment:
Pengalaman saya lah masa mengundi dulu.
Kita beratur hingga sampai giliran depan Pegarai SPR (PS). PS akan minta kad pengenalan (KP). PS akan cari nama kita dalam senarai.
Bila jumpa nama kita, PS akan ambil kertas undi. Lepas tu PS akan tulis nombor siri kertas undi tu pada sebelah nama kita kat senarai tadi.
Kita pun pergi mengundi.
Secara logiknya, jika 'sesiapa yg nak semak' memang boleh kan ? Lepas pilihanraya, padankan kertas undi yg dipankah tadi dengan senarai dari SPR. Boleh kan ? Kedua-duanya disimpan oleh SPR kan ?
Samada ade yg buat carian tu hanya SPR je yg tahu kerana senarai nama yg ade nombor siri dgn kertas undi yg dah dibuang hanya ade pada SPR.
Secara logiknya jika undi tu benar2 rahsia kenapa nak tulis nombor siri kertas undi pada senarai nama ?
Penyelesaiannya, lepas pilihanraya senarai nama dan kertas undi tu dimasukkan semula kedalam peti undi dan dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) yg berdekatan supaya disimpan sehingga ade perentah mahkamah untuk semak semula atau dilupuskan.
Post a Comment