Monday, February 11, 2013

Bas perlu pasang tali pinggang keledar


KOTA BHARU 9 Feb. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran kepada semua pengusaha bas supaya memasang tali pinggang keledar di setiap tempat duduk seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sebelum ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Solah Mat Hassan berkata, syarat pemasangan itu dikeluarkan pada 26 Disember 2008, namun masih ada syarikat yang tidak mematuhinya ekoran kelonggaran dan tempoh lebih masa yang diberikan pihak berkuasa.

"Kerajaan telah menjadikan ia sebagai satu syarat, cuma tidak wajib, namun pengusaha bas perlu mengambil tanggungjawab memasang segera peralatan keselamatan itu.

"Bagi memastikan keselamatan setiap penumpang lebih terjamin, semua bas hendaklah dilengkapi dengan tali pinggang keledar sebagaimana ditetapkan dan penumpang perlu memakainya," katanya semasa pelancaran Ops Tahun Baharu Cina 2013 di sini hari ini.

Menurut beliau, kelonggaran diberikan kepada pengusaha bas sebelum ini disebabkan tindakan kebanyakan penumpang sendiri yang tidak menggunakannya meskipun sudah disediakan.

Katanya, semua bas yang dibuat sebelum 2008 tidak tertakluk kepada syarat tersebut, namun pengusaha tetap diminta supaya mengambil tanggungjawab masing-masing dalam hal itu.

Sementara itu, sempena Ops Tahun Baharu Cina 2013 yang dilancarkan awal bulan ini, beliau berkata, seramai 1,500 pegawai dan anggota terlibat bagi memantau dan mengawal semua kenderaan awam dan persendirian yang digunakan untuk pulang bercuti sempena perayaan itu.

Jelasnya, dalam tempoh tiga hari pertama, sebanyak 178 saman telah dikeluarkan dan sebanyak 1,795 kenderaan telah diperiksa termasuk kenderaan komersial.

" Sebanyak 193 lokasi hitam dikenal pasti akan dikawal dengan sokongan pasukan polis dan sebanyak 82 depot pemeriksaan akan dibuka termasuk di 32 terminal bas di seluruh negara," katanya.

(terimakasih sumber;utusan online)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130210/dn_09/Bas-perlu-pasang-tali-pinggang-keledar#ixzz2KWBeMoT1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: