Thursday, February 28, 2013

Mengharap kematangan politik :AHMAD FAUWAZ FADZIL




KETIKA ditanya bagaimana perasaan menjadi anak kepada pemimpin terkenal yang juga bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, AHMAD FAUWAZ FADZIL menundukkan kepala seketika dan kemudian menjawab,“ Memang bukan senang memikul tanggungjawab menjadi anak kepada pemimpin seperti beliau.
“Ada yang meminta untuk aktif dalam parti tetapi saya lebih senang bersifat berada di tengah-tengah.
“Allahyarham begitu disenangi bukan sahaja oleh kawan tetapi lawan," ujar beliau.
Anak muda berusia 32 tahun lulusan Universiti Al Azhar dalam jurusan Syariah kini aktif sebagai pendakwah bebas.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia MARHAINI KAMARUDDIN dan HAFIZAHRIL HAMID, Ahmad Fauwaz jelas dilihat mempunyai pendirian dan pandangannya sendiri.
Beliau begitu bersemangat membicarakan tentang peranan generasi muda dalam pembangunan masyarakat dan negara. Tanpa ragu juga beliau melontarkan saranan tentang had usia 65 tahun untuk pemimpin berkhidmat selain menggalakkan dialog serta perpaduan di kalangan umat Melayu dan Islam tanpa mengira fahaman politik.
Beliau turut mengulas beberapa isu panas yang berlegar sekitar umat Islam antaranya isu kalimah Allah, negara Islam dan kematangan berpolitik di kalangan masyarakat negara ini.
MINGGUAN: Boleh saudara beri pandangan tentang kedudukan perpaduan masyarakat Malaysia sekarang yang semakin terhimpit dengan agenda politik?

FAUWAZ: Kita memerlukan sebuah masyarakat yang matang dan tidak terlalu terhimpit dengan agenda kosong. Masyarakat perlu lebih terdidik dan mampu menerima dan melahirkan pandangan serta kritikan. Mereka juga perlu menjadi sebuah bangsa yang menghindarkan pergaduhan, mampu bekerjasama dan bertoleransi walaupun berlainan bangsa dan agama.

 Apa yang kita dapat jika melakukan demonstrasi berulang kali? Jika sekali dua kita boleh terimalah. Jadi penyelesaian terbaik adalah membuka pintu untuk dialog. Kita akan dapat gambaran lebih jelas tentang apa kebaikan dan keburukan kita. Oleh itu barulah kita dapat menjalankan kerjasama yang lebih baik kerana kita lebih jelas tentang kebaikan dan kesilapan kita. Kita boleh lihat dalam kalangan Yahudi mereka bersatu dalam banyak aspek. Malah kita lihat Jerman Barat dan Jerman Timur yang satu ketika bertelingkah sesama mereka kemudiannya bersatu meninggalkan di belakang perseteruan dan kini menjadi sebuah negara yang hebat kedudukannya. Apa yang kita boleh lihat adalah walaupun wujud pertelingkahan antara mereka namun untuk kebaikan ekonomi dan negara, mereka bersatu.

Kita lihat apa yang berlaku di Iraq dan Afghanistan semuanya akibat pengkhianatan dari dalam. Oleh itu jika kita sayangkan negara ini, lebih baik kita bersatu dan bekerjasama sesama Islam demi memegang amanah dalam menjaga negara ini. Mungkin dalam politik mereka ada slogan masing-masing sama ada demi Islam, Melayu atau negara kebajikan. Tetapi apa yang lebih penting adalah kita perlu praktik dan bukan hanya sekadar slogan. Kita perlu melihat perpaduan ini sebagai 'saya sebahagian daripada kamu dan kamu adalah sebahagian daripada saya' atau mungkin lebih baik dan jelas, Pas adalah sebahagian daripada UMNO dan UMNO pula adalah sebahagian daripada Pas. 

Memang ada yang menolak daripada menerima kenyataan ini dan mengasingkan diri sebagai orang parti itu dan ini. Tapi hakikatnya kita mengucap dua kalimah syahadah yang sama jadi kenapa perlu kita bertelagah? Memang kita boleh berbeza pendapat dan itu adalah suatu keperluan sebenarnya tetapi kita perlu memurnikan tujuan berdialog untuk mencapai persefahaman terbaik untuk semua. Janganlah terlalu mudah dalam menjatuh hukum kerana ia hanya memburukkan keadaan.

Apakah saudara tidak merasakan pandangan ini terlalu ideal kerana hakikatnya keadaan sangat berbeza di luar sana?

FAUWAZ: Bagi saya itu bukan ideal tetapi metodologi bagaimana untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat dan mampu bersaing dengan kuat. Kita perlu menjadi umat yang merancang kerana tanpa perancangan tidak akan ada jalan. Begitu juga jika kita bercakap hanya bersandarkan realiti tetapi tidak ada angan-angan maka kita akan putus harapan. Bagi saya kita perlu melahirkan umat Malaysia yang perlu mempunyai harapan untuk maju ke hadapan. Saya cuma terfikir sampai bila kita hendak melihat rakyat di negara ini bergaduh kerana politik. Saya bukan melihat kerjasama hanya di peringkat ekonomi dan politik sahaja, malah mungkin di pelbagai peringkat termasuk media.

Sebagai contoh kalau pihak Utusan dan Harakah, jika berita yang baik terpaksa ditapis dan diubah apa yang rakyat dapat. Bidang penyiaran ini sebenarnya sangat penting kerana mereka yang menyampaikan maklumat kepada rakyat. Jika kita lihat ini yang berlaku di Mesir kerana peranan media yang mengakibatkan tumbangnya kerajaan yang zalim sebelum ini. 

Bagi saya apa yang penting adalah rakyat dan pemimpin tidak perlu bimbang jika UMNO atau Pas tumbang dalam pilihan raya. Parti-parti ini hanyalah slogan dan mesin politik tetapi yang lebih bagus adalah kita memerlukan pemimpin yang terbaik dan berkaliber. Jika mana-mana parti kalah sekalipun tetapi apa yang penting adalah pemimpin yang mampu membawa negara dan rakyat ke arah lebih baik. Pemimpin ini pula tidaklah perlu berdendam kepada musuh-musuh politik kerana apabila menjadi pemimpin contohnya UMNO, dia bukan sahaja menjadi pemimpin kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja tetapi juga pemimpin kepada ahli politik parti lain termasuk Pas dan PKR kerana mereka memimpin rakyat dan bukannya sekadar parti. Apa yang penting adalah menjadi adil kepada semua.

Saya melihat mungkin semasa pilihan raya akan berlaku sedikit perseteruan akibat politik. Tetapi apa yang lebih penting adalah selepas pilihan raya. Ini kerana selepas pilihan raya kita perlu mencari satu titik persamaan dan membuang semua pertengkaran dalam pilihan raya serta membuat satu matlamat sesama semua parti politik, apa yang perlu dilakukan sehinggalah pilihan raya akan datang berlangsung demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat. Kerangka itu perlu wujud kerana kita memerlukan persefahaman apa yang pembangkang boleh lakukan selepas pilihan raya demi membantu kerajaan yang memerintah untuk kesejahteraan rakyat.

Apakah perkara-perkara yang menjadi punca perseteruan dalam kalangan parti politik dan masyarakat di negara ini?

FAUWAZ: Selepas pilihan raya 2008, apakah perkara-perkara yang sering digaduhkan. Tidakkah ia hanya tertumpu kepada isu-isu yang sama sahaja. Satu parti akan kata bahawa parti ini banyak keburukannya, sesat dan sebagainya manakala satu lagi parti akan kata mereka zalim dan sebagainya. Hanya mengulang lagu dan isu yang sama sahaja malah sejak dahulu lagi. 

Oleh itu penyelesaiannya, minda rakyat perlu diubah. Jika kita lihat ahli UMNO ada berjuta begitu juga Pas. Tetapi kelompok yang akan menentukan adalah mereka yang tidak menyertai mana-mana parti dan bertindak mendiamkan diri. 

Apa salahnya jika Utusan dan Harakah tidak menjadi ejen kepada parti tertentu dan sebaliknya menjadi ejen kepada masyarakat dalam membuka dan mendidik minda mereka. Tidakkah ini lebih baik kerana minda rakyat akan lebih terbuka dan memahami apa sebenarnya peranan mereka dan tidak lagi dipengaruhi oleh isu-isu sama berulang kali. Sebenarnya kita hanya membesarkan masalah yang kecil yang tidak menyelesaikan apa-apa sejak sekian lama.

Saya melihat politik ada akidah. Saya berpolitik tetapi tidak berparti. Di sini maknanya orang Islam perlu dimatangkan dengan isu-isu sesebuah negara supaya mereka mengambil berat. Tetapi mereka ini tidak wajib masuk Pas atau UMNO. Tetapi yang menjadi masalah jika kita tak masuk Pas, orang Pas akan lihat begini begitu. 

Jika tak masuk UMNO maka orang UMNO akan melihat semacam. Kita perlu melihat sesuatu di luar batasan politik dan mungkin kita boleh mentarbiah orang politik dengan isu-isu kenegaraan dan pembentukan tamadun.

 Kita terlalu bertekak dengan politik tetapi hakikatnya kita semakin kurang kemampuan bersaing dengan negara-negara jiran. Sebagai rakyat kita bukan bersaing melalui UMNO atau Pas tetapi dalam skop yang lebih besar iaitu kedudukan negara di pentas dunia yang memerlukan kita bersaing dengan China, Amerika Syarikat, Eropah dan lain-lain. 

Kita perlu bersikap lebih terbuka serta memberi peluang untuk rakyat terlibat lebih jauh termasuk dalam memberi pandangan dan kritikan terhadap kerajaan dan parti. Tetapi apa yang penting adalah memberi kritikan dan pandangan yang jelas dan membina, bukan yang mengikut hawa nafsu. Selain itu, kita perlu memainkan peranan supaya adab-adab dalam pilihan raya itu lebih baik. Ini jika kita lihat saling memaki antara satu sama lain. Tidakkah lebih baik jika sesama mereka yang berkempen ini saling menegur dengan baik malah boleh diajak makan bersama.

Jadi kematangan berpolitik perlu menjadi asas dalam dunia politik sekarang?

FAUWAZ: Ya, inilah masanya bagi rakyat Malaysia lebih terlibat dalam menjadikan diri kita lebih matang dalam berpolitik. Kita perlu berpegang kepada ilmu, iman dan jasmani dalam menjadikan diri kita berpolitik dengan matang. Saya pernah mencadangkan tetapi tidak mendapat persetujuan pihak-pihak tertentu supaya kita mengehadkan umur dalam politik. Sebagai contoh Presiden Parti apabila cukup usia 65 tahun perlu berundur dan beri peluang kepada generasi muda. Begitu juga seorang Perdana Menteri apabila mencecah umur itu maka sudah sampai masa untuk bersara. Ini kerana perubahan sesebuah negara tidak berlaku kepada mereka yang lebih berusia.

Sejarah banyak dicatatkan oleh mereka yang berusia 40-an. Oleh itu, kita mesti mengurangkan mereka yang berusia ini daripada aktif dalam politik. Mungkin apabila sudah mencecah usia 65 tahun mereka bersara tetapi boleh menjadi penasihat. Kita tidak boleh membiarkan politik ini menjadi politik yang usang. Kalau rumah pun kalau sampai masa kena cat baru dan sebagainya begitu juga kereta bila tiba masa kena tukar baru. Atas faktor umur juga kita perlu menghormati semua pemimpin kita tidak kira daripada parti mana sekalipun kerana masing-masing ada sumbangan mereka.

Kenapa agaknya perkara ini seolah-olah sukar dilakukan?

FAUWAZ: Saya melihat masalah di Malaysia ini, tidak ada keyakinan terhadap pelapis. Sebenarnya ramai pelapis tetapi tidak diberi peluang atas alasan belum sampai masanya kerana belum matang. Bagi saya matang bukan atas faktor umur tetapi atas natijah. Jadi adalah perlu apabila tiba masanya, sudah sampai waktu untuk berundur maka mereka perlu lakukannya. Malah dalam fikah pun ada hukum apabila sudah sampai usia 65 tahun, mereka ada hukum khas yang tidak boleh dilakukan kepada orang muda seperti jika sudah nyanyuk mereka boleh buat solat jamak, kalau baru memeluk Islam mereka tidak perlu berkhatan dan sebagainya. Sebaik-baiknya selepas pilihan raya, kita tidak lagi perlu tertumpu kepada mahu menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak atau Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi biarlah kita menyokong agenda negara, siapa yang mampu memimpin negara dengan baik kita sokong.

Kita tidak mahu lagi parti yang taksub kepada sesiapa. Sekarang ini bukan zaman menyokong imam-imam yang berbentuk individu tetapi zaman untuk umat itu sendiri. Kita bukan mahu menyokong seseorang kerana individu atau populariti tetapi orang yang ada kekuatan dalam pemerintahan. Mungkin seseorang yang popular boleh membantu ketika berceramah tetapi belum tentu mampu memimpin negara. Sebagai contoh Presiden Mesir sekarang Muhammad Mursi bukanlah calon popular tetapi beliau mempunyai agenda yang baik untuk negara. Kini sudah sampai masanya kita melihat kepada fikah pembangunan tidak kira siapapun diri kita sebagai ulama, wartawan dan sebagainya.

Bagaimana pandangan saudara tentang isu negara Islam?

FAUWAZ: Saya sebenarnya mengharapkan dalam perjalanan pilihan raya kali ini tidak terlalu dibincangkan isu-isu agama. Tetapi kita perlu melihat kepada siapa yang lebih mampu memberikan keamanan dan juga kebaikan kepada rakyat. Kalau kita lihat slogan Pas mereka berpegang kepada negara kebajikan tetapi orang kata mereka dah tinggalkan slogan negara Islam. Ini bukan isu meninggalkan slogan negara Islam, mereka bukan tinggalkan Islam tetapi mengubah pendekatan. Walaupun UMNO juga menggunakan slogan kebajikan tetapi apa salahnya mereka lawan. Pada pandangan peribadi saya tidak perlu lagi kepada slogan negara Islam kerana negara ini adalah negara Islam. Kalau tak, kita nak kata negara ini negara apa?

Masyarakat menerima hakikat negara ini negara Islam tetapi Karpal Singh tidak?

FAUWAZ: Karpal Singh memegang kepada kenyataan Tunku Abdul Rahman dan beberapa sudut Perlembagaan yang mereka lihat sebagai sekular. Itu dari sudut hukum undang-undang manusia. Hakikatnya dalam sudut fikah Islam walaupun Perlembagaan ditukar kepada negara kafir sekalipun, jika pemimpinnya ialah Islam dan majoriti rakyatnya Islam, ia tidak terkeluar dari negara Islam. Seperti contoh seseorang itu tidak sembahyang, puasa dan sebagainya tetapi masih mengucap kalimah syahadah, hukumnya dia masih Islam. Tapi janganlah menukar negara ini kepada negara sekular. Jika pemimpinnya sekular itu tidak ada masalah kerana ia individu tetapi jika Malaysia adalah negara sekular ia akan menimbulkan masalah kerana kesannya amat besar. Ini kerana ia bukan lagi kewajipan kepada kita mengembalikan Islam di negara ini.

Kalau saya kata seseorang itu kafir atau murtad maka tidak ada kewajipan untuk dia sembahyang, menunaikan haji atau puasa. Tetapi jika dia Islam maka dia kena puasa, sembahyang dan sebagainya. Begitu juga dalam konteks sebuah negara. 

Namun apa yang dilakukan oleh Karpal itu hanya memburukkan keadaan. Beliau mungkin handal dalam bidang undang-undang sivil tetapi bukan syariah. Jadi kenapa kita perlu mengambil pendapat Karpal yang mengatakan negara ini adalah negara sekular. Kenapa tidak ambil pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie yang mengatakan mana-mana negara Islam yang negaranya dipimpin oleh orang Islam, majoriti rakyatnya adalah Islam dan syiarnya masih kuat malah kalau tak laksana hudud pun tidak mengapa, maka negara itu adalah negara Islam.

Dari segi hukum jelas tetapi kenapa Karpal Singh masih membangkitkan isu negara Islam?

FAUWAZ: Bagi saya dia seorang yang ekstrem. Dalam Islam orang yang ekstrem pun ada masalah malah ulama yang ekstrem pun akan menjadi masalah. Kemusykilan akan timbul apabila ada orang yang ekstrem kerana mereka tidak mahu menerima pandangan yang berbeza selain tidak mengiktiraf pandangan agama-agama lain. Saya melihat orang seperti Karpal ini mempunyai ilmu yang hebat tetapi bermasalah dari sudut dalaman. Kalau tidak mahu menerima diam sahajalah tetapi kenapa tidak mahu menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam? Jadi ubat paling baik dalam berhadapan dengan orang seperti ini adalah dengan berdialog dan bukan mengutuk begitu sahaja. Golongan ekstrem ditolak oleh masyarakat termasuklah UMNO dan Pas dan kita memerlukan mereka yang berpegang kepada Wasatiyah Muktadin, iaitu mereka yang menjunjung dialog. Saya melihat di Malaysia, dialog adalah sesuatu yang sangat kurang.

Bagaimana dengan usaha sesetengah pihak cuba membenarkan orang Melayu Islam menukar agama?

FAUWAZ: Isu ini adalah satu perkara yang besar dan tidak hanya dibincangkan di Malaysia. Tetapi ia tidak dibincangkan oleh ulama-ulama kita sebaliknya lebih tertumpu kepada cerdik pandai sahaja. Mereka ini bercakap bersandarkan logik sahaja. Perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih jelas, apakah pertukaran agama ini merupakan hak individu. Jika ia hak individu maka mereka boleh menukar agama tetapi kerajaan juga mempunyai hak iaitu menghukum orang yang murtad. Mungkin kita tidak boleh menghalang mereka untuk murtad tetapi kerajaan boleh menghukum dengan hukuman yang sesuai sama seperti pengedar dadah, penjara dan sebagainya. Apa yang paling penting dilakukan, kita perlu berdialog dan memujuk mereka kembali kepada Islam. Kita tidak boleh membiarkan mereka ini murtad tetapi apakah kita boleh menghalang, perkara ini yang masih menjadi persoalan.

Mungkin kita boleh menghalang tetapi apakah di hati mereka ini benar-benar mahu kembali kepada Islam? Kita mungkin tidak boleh menghalang tetapi yang jelas kita boleh menghukum mereka ini. Mereka yang murtad ini pun terbahagi kepada dua iaitu pertama, murtad secara diam. Kita pun tidak boleh buat apa kerana kita pun tidak tahu mereka murtad. Tetapi yang kedua ini menunjukkan diri mereka murtad dan kita boleh menghukum mereka kerana memecahbelahkan umat Islam. Ini bukan jawapan saya tetapi para ulama perlu berbincang tentang hukum yang jelas supaya menjadi panduan kepada masyarakat. Saya sendiri masih mengkaji kerana isu ini sangat besar dan kefahaman pun belum mencapai kepada memberi jawapan.

Bagaimana pula dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam?

FAUWAZ: Pandangan saya untuk orang Kristian menyebut kalimah Allah tidak menjadi masalah. Tetapi jika mereka mahu mengunakan kalimah itu di dalam bible maka ia menjadi masalah kerana boleh menimbulkan salah faham terhadap agama. Malah dalam hukum fikah, jika orang kafir menggunakan sebutan-sebutan yang menyakitkan hati orang Islam, ia tidak dibenarkan. Mungkin Lim Guan Eng bercakap supaya dibenarkan isu itu adalah hak dia tetapi kita juga ada hak untuk menghalang sebagai orang Islam. Tetapi tidaklah perlu sehingga menimbulkan provokasi dan sebagainya kerana kita dalam sebuah negara yang tinggal bersama orang bukan Islam. Bagi saya kita perlu berbicara dengan menggunakan kebijaksanaan dan keikhlasan hati. Bagi Guan Eng yang bukan orang Islam, dia tidak ada pengetahuan tentang haram dan halal.

Tetapi kita perlu menjelaskan kepada mereka hak kita untuk menghalang. Konsep Kristian ini ia sentiasa berubah. Jika mereka tetap mahu menggunakan kalimah Allah mungkin boleh digunakan di dalam gereja dan kita pun tak tahu ia digunakan. Tetapi jangan sampai ia dibenar digunakan di dalam bible kerana ia menyakiti hati orang Islam selain kita perlu menjaga keamanan negara ini. Mereka perlu menghormati agama Islam dan di sinilah kita perlu memahami toleransi agama. Kita perlu faham bahawa kita perlu saling menghormati sesama penganut pelbagai agama kerana kita tidak mahu negara ini berpecah-belah dan menimbulkan perbalahan hanya kerana sesetengah pihak menuntut sesuatu yang di luar kebiasaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130224/re_07/Mengharap-kematangan-politik#ixzz2MAGU1oPu
© Utusan Melayu (M) Bhd 


(sumber: utusan online)

Sunday, February 24, 2013

Senarai terkaya dan kejayaan Syed Mokhtar Albukhary


 Johan JaaffarCetak
Syukurlah, sekurang-kurangnya daripada senarai 40 rakyat Malaysia yang terkaya, terdapat tujuh orang Melayu. Dalam senarai terbaru majalah Malaysian Business, tiga daripada mereka berketurunan India, tujuh orang Melayu dan 30 orang Cina. Majalah perniagaan yang dihormati terbitan Berita Publishing Sdn Bhd itu pertama kali terbit pada tahun 1972. Selama lebih 40 tahun Malaysian Business telah merakamkan denyut nadi dunia perniagaan tanah air dengan segala drama, suka duka dan jatuh bangunnya.

Menurut majalah itu, sejak senarai itu bermula pada tahun 2002, 81 ahli perniagaan telah disenaraikan tetapi hanya 15 orang yang bertahan dalam senarai itu sepanjang masa 12 tahun. Kedudukan kekayaan mereka bergantung pada pasaran saham dan ekonomi negara. Bagi senarai kali ini secara terkumpul 40 orang yang tersenarai itu bernilai RM194.8 bilion pada bulan Januari 2013, yang menampakkan peningkatan nilai kekayaan mereka.

 Bagi keluaran kali ini, ahli perniagaan Malaysia yang bertapak di Hong Kong, Robert Kuok Hock Nien dari Kumpulan Kerry/Kuok berada dalam senarai teratas. Beliau dikatakan bernilai RM46.1 bilion. T. Ananda Krishnan (Usaha Tegas) berada di tempat kedua dengan nilai RM32.9 bilion. Tan Sri Teh Hong Piow (Public Bank) dan Tan Sri Quek Leng Chan (Kumpulan Hong Leong) masing-masing bernilai RM13.7 bilion dan RM11 bilion, berada pada tempat ketiga dan keempat. 


Tidak mudah untuk menjadi kaya dan lebih sukar untuk mengekalkan kekayaan. Syed Mokhtar menjadi kebanggaan orang Melayu dengan dedikasi dan semangatnya. Beliau tidak akan bertahan di tempat kelima dalam senarai individu terkaya Malaysia sekiranya beliau mudah patah hati atau kecewa.

Tokoh perniagaan Melayu yang tidak asing lagi, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary merupakan orang Melayu terkaya, dan nombor lima dalam senarai itu dengan nilai RM10.6 bilion. Tan Sri Azman Hashim (AmBank Group) pada kedudukan nombor 11 dengan nilai RM3.8 bilion. Datuk Mokhzani Mahathir (Sapura/Kencana Petroleum ) di tempat ke-13 dengan RM2.6 bilion. Dua beradik dari Kumpulan Sapura, Datuk Shahril Shamsuddin dan Datuk Shahriman (kedua-duanya bernilai RM1.6 bilion tiap seorang) berada di tempat ke-19 dan 20. Dua orang ahli perniagaan Melayu lain yang tersenarai ialah Datuk Kamaruddin Meranum (AirAsia) di tempat ke-29 dan Datuk Abdul Hamid Sepawi (Ta Ann Holdings) di tangga ke-38.

Di kalangan orang Melayu yang tersenarai, Datuk Shahriman merupakan yang termuda (44 tahun) dan Azman (73) yang tertua. Di kalangan mereka hanya Kamaruddin yang mencatatkan penurunan kedudukan, daripada 22 ke 29 (RM1.4 bilion kepada RM1.3 bilion). Bagi kedua beradik dalam kumpulan Sapura, menampakkan peningkatan daripada 24 dan 25 kepada 19 dan 20. Syed Mokhtar, Azman dan Mokhzani kekal pada kedudukan yang sama seperti tahun lalu. 

Kedudukan ekonomi dunia, setempat
Memanglah kekayaan rakyat Malaysia relatif kecil berbanding dengan individu lain di dunia. Malah mungkin seorang atau berdua rakyat kita yang tersenarai dalam 100 individu terkaya di dunia. Tiga orang yang terkaya di dunia hari ini menurut senarai majalah Forbes, Carlos Sim Helu (syarikat telekomunikasi), Bill Gates (Microsoft) dan Warren Buffet (Berkshire Hathaway) masing-masing bernilai RM234.6 bilion, RM207.4 bilion dan RM149.6 bilion. 
Kedudukan ekonomi dunia dan setempat boleh menjejaskan prestasi mereka. Tidak semuanya boleh bertahan pada kedudukan yang sama sepanjang masa. Menurut majalah itu, T. Ananda Krishnan mencatatkan penurunan nilai yang tertinggi di kalangan mereka yang tersenarai, yakni sebanyak 23.5 peratus berbanding tahun lalu. Namun demikian beliau masih berada pada kedudukan nombor dua seperti tahun lalu.

Sudah tentulah ada pihak akan mempersoalkan kejayaan sesetengah orang Melayu dalam bidang perniagaan. Ada yang mengatakan mereka terhasil akibat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menguntungkan mereka atau kaitan politik yang kuat. Malang sekali, tuduhan yang sama jarang dilemparkan pada ahli perniagaan Cina, 30 orang dalam senarai itu.

Kebanggaan orang Melayu 

Dunia perniagaan penuh dengan cerita suka duka. Bagi ahli perniagaan seperti Syed Mokhtar dan Azman, soal jatuh bangun bukan perkara baru. Syed Mokhtar yang terbabit dalam banyak bidang perniagaan selalu menarik perhatian banyak orang. Banyak orang lupa bagaimana beliau bermula. Buku Biografi Syed Mokhtar Albukhary yang ditulis oleh Premilla Mohanlall sepatutnya dijadikan rujukan oleh semua ahli perniagaan Melayu. Buku ini secara jujur menggariskan bagaimana beliau yang tidak berpelajaran tinggi mula berniaga secara kecil-kecilan di Kedah. Bukan rahsia lagi bahawa perniagaan pertama yang sebenar bagi Syed Mokhtar ialah jual beli lembu. Syed Mokhtar tidak disediakan dulang emas. Beliau bersakit-sakit bertahun-tahun, membina jati diri dan belajar daripada kesilapan untuk menjadi anak Melayu paling berjaya dalam dunia perniagaan hari ini.

Beliau tidak menafikan peranan yang dimainkan oleh DEB bagi memudahkan usaha beliau pada peringkat awal. Malah beliau mengakui menerima rahmat atau menjadi benefisiari dasar itu. Ribuan yang lain juga menikmatinya tetapi berapa banyaklah daripada kalangan ini yang benar-benar berjaya?

Cerita kejayaan Syed Mokhtar seharusnya diteladani oleh ahli perniagaan Melayu atau mereka yang ingin berniaga. Tidak mudah untuk menjadi kaya dan lebih sukar untuk mengekalkan kekayaan. Syed Mokhtar menjadi kebanggaan orang Melayu dengan dedikasi dan semangatnya. Beliau tidak akan bertahan di tempat kelima dalam senarai individu terkaya Malaysia sekiranya beliau mudah patah hati atau kecewa.

Itulah pengajaran terbaik daripada senarai Malaysian Business yang terbaru ini.
(terimakasih sumber dari: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SenaraiterkayadankejayaanSyedMokhtarAlbukhary/Article)

Thursday, February 21, 2013

KEBENCIAN SEORANG CINA PADA NEGARAWAN TERHORMAT


SOKONG MAHATHIR BERARTI SOKONG KERAJAAN RASUAH

Dari akhbar China Press
16 Feb 2013 (Sabtu)

Oleh: Lee Yong Puek

Abang Ajib bergembira dan bersemangat berkobar-kobar menggunakan helikopter khas mendarat di Pulau Pinang, serang kawasan naga kuning di padang sekolah Han Jiang Ayer Hitam, membawa satu mesej untuk sesuatu perubahan, tidak dijangka, orang-orang Pulau Pinang melihat dengan mata sebelah sahaja, menyebabkan muka Abang Ajib merah padam dengan rasa malu tinggalkan Pulau Pinang.

Adakan GangNam Style yang berprestaj tinggi di Pulau Pinang namun diakhiri dengan penutupan yang malap dan lembab, ada pihak media yang menulis dan menceritakan serta melaporkan, berita yang amat menyedihkan! Keseluruhan masalah itu semua timbul dari buah pemikiran Abang Ajib sendiri, tiada orang yang benar-benar faham apa yang berada di dalam minda dan jiwa serta sikap orang-orang Pulau Pinang, orang-orang Pulau Pinang kadang-kadang boleh ikut telunjuk serta patuh dan kadang-kadang berjiwa melawan yang tegar.

Sedangkan presiden Dewan Cina Pulau Pinang En. Lang Wu Chang (terjemahan Mandarin) sendiri tidak berani secara terbuka bersuara menyokong BN, hanya secara lembut menyokong pelabuhan bebas Pulau Pinang serta projek LRT Pulau Pinang, selebihnya tidak berani memberi padangan yang lebih dari itu.

Sebenarnya siapa yang rampas kedudukan pelabuhan bebas Pulau Pinang? Merampas pelabuhan bebas kepunyaan kamu, sekarang serahkan kembali kepada kamu, bukankah itu pemberian yang memuakkan! Pada tahun 1987, kedudukan pelabuhan bebas Pulau Pinang diserah alihkan ke Pulau Langkawi, selepas itu diberikan pula kepada Pulau Labuan, mereka memang berniat tidak mahu kembalikan kedudukan pelabuhan bebas kepada Pulau Pinang, sehingga BN kehilangan kuasa di negeri Pulau Pinang, barulah mereka mahu serahkan kembali kedudukan pelabuhan bebas itu untuk ditukar dengan “tiket undi”. Teng Chang Yeow dan BN sila jangan anggap rakyat Pulau Pinang begitu bodoh yang boleh diperbodoh-bodohkan!

Kita boleh ambil iktibar BN di Han Jiang dimalukan itu jadikan bahan lucu, tetapi tidak boleh biarkan Tun Mahathir yang begitu lantang bersuara itu, sebagai orang berkedudukan tinggi namun keluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab, jenis apakah manusia ini?

 Apabila tidak bersependapat, dan orang-orang yang tidak bersehaluan dengan mereka, mereka terus mahu rampas kewarganegaraan orang yang tidak sehaluan dengan mereka, kelihatan ramai orang-orang yang pernah memerintah di pucuk kepimpinan termasuk bekas timbalan perdana menteri Malaysia Tun Musa Hitam, dan banyak lagi senarai nama yang berjela-jela panjang itu, juga akan terlibat akan dirampas kewarganegaraannya oleh Tun Mahathir, (ada juga orang bergurau suruh Tun Mahathir rampas kewarganegaraan Ambiga selepas itu bawa masuk pekerja buruh Bangladesh, itu idea yang sangat bagus).

Pada lazimnya, negara yang amalkan Totalitarianism akan melihat orang-orang yang tidak sehaluan dengan politik mereka akan diancam ataupun dicederakan, pihak pemerintah akan menggunakan kuasa yang ada di tangan untuk lakukan keganasan dan mengawal undang-undang, menyebabkan kehancuran kepada perundangan sesebuah negara, mereka cipta undang-undnag sendiri untuk menyiksa musuh mereka, termasuk dijadikan buruh kerahan, gerak geri mereka diperhati, dikurung. 

Jika sokong Tun Mahathir, bermakna kita sokong kerajaan rasuah dan kerajaan penyelewengan, rakyat Malaysia yang mengikuti sealiran zaman hari ini, mahukan kerajaan yang macamana? Jika pilih kerajaan seperti ini, pastinya diri sendiri yang mahu cari nahas!

Terjemahan:
Muslim Ngoh Abdulah

(terimakasih sumber:http://zamkata.blogspot.com/2013/02/kebencian-seorang-cina-pada-negarawan.html)

Tuesday, February 19, 2013

KABEL LIF PUTUS NYAWA TERCABUT



“Tragedi ini dapat dielakkan jika lif itu diselenggara secara berkala dengan baik. Saya kesal kerana isteri saya menjadi mangsa akibat sikap sambil lewa ini,” kata Rafie Johar, 37, yang kematian isteri akibat lif dinaiki di Pangsapuri Blok A25, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, terhempas dipercayai kerana kabelnya putus.
Dalam kejadian jam 5 petang Jumaat lalu, mangsa, Zamelia Isharuddin, 38, menaiki lif itu dari tingkat lima bangunan didiami untuk turun ke tingkat bawah bagi mengambil wang hasil perniagaan nasi lemak yang dijalankan secara sambilan.

Rafie berkata, lif di pangsapuri itu sudah lama bermasalah dan hanya satu daripada dua mesin pengangkat itu boleh digunakan. “Kemungkinan kabel lif yang boleh digunakan itu sudah ‘haus’ kerana tidak diselia atau diperiksa pengurusan kediaman ini,” katanya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui nahas ngeri membabitkan isterinya itu selepas dimaklumkan beberapa jiran yang tinggal berhampiran pangsapuri 10 tingkat itu.

Menurutnya, beberapa jiran yang terkejut selepas mendengar dentuman kuat itu segera menghubungi bomba dan penyelamat sebelum isterinya berjaya dikeluarkan dari dalam lif berkenaan.

“Ketika itu, isteri tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Keadaan Zamelia amat kritikal berikutan tengkuk dan kepalanya turut dihentak kabel besi lif yang putus itu.
“Doktor bertungkus-lumus menyelamatkannya sebelum isteri menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.15 tengah hari Sabtu lalu,” katanya.

Rafie berkata, dia tidak dapat menahan rasa sedih berikutan kehilangan isteri dalam tragedi yang amat mengerikan itu.
Difahamkan, jenazah mangsa dibawa pulang untuk dikebumikan di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
(terimakasih sumber:http://www.hmetro.com.my/articles/KABELPUTUSNYAWATERCABUT//Article)

Saturday, February 16, 2013

Ada Tatu Bintang Di Dada Leong Pei Koe, Apa Maksudnya?


Saturday, February 16, 2013




Wajah sebenar Leong Pei Koe yang bersalah menunjukkan isyarat lucah. Apakah ideologi Leong ini sebenarnya? Lihat tatu bintang pada dada Leong Pei Koe.

Leong Pei Koe yang telah didapati menunjukkan isyarat lucah pada Raja Permaisuri Agong ini telah ditahan polis dan dituduh di Mahkamah Majistret Balik Pulau pada jam 5.00 petang 13 Februari 2013. 

Leong Pei Koe dituduh di bawah dua pertuduhan mengikut Seksyen 294(a) KK. Pertuduhan pertama iaitu menunjukkan isyarat lucah pada kenderaan rasmi Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong yang lalu di lapangan terbang.

Pertuduhan kedua adalah kerana menunjukkan isyarat lucah pada ACP Mohd Fakhruddin bin Abd Hamid. Leong Pei Koe selaku orang kena tuduh (OKT) mengaku bersalah atas kedua dua pertuduhan. 

Mahkamah mendapati Leong Pei Koe bersalah dan menjatuhkan hukuman satu bulan penjara dari tarikh tangkap dan denda RM6,000, sekiranya tidak membayar denda maka penjara 2 bulan. Hukuman kedua penjara 7 hari dari tarikh tangkap dan denda RM1,000, sekiranya tidak bayar denda maka penjara satu bulan. Kedua dua hukuman berjalan serentak.

Moga ini memberi pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia yang lain. Jagalah kesopanan dan kesusilaan kita sebagai seorang warganegara Malaysia.

Friday, February 15, 2013

Jangan terpengaruh SPR boleh kesan kertas undi pemilih



SHAH ALAM 14 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua pihak tidak terpengaruh dengan 'ajaran sesat' pihak tertentu kononnya suruhanjaya itu boleh mengesan undian mana-mana individu dalam pilihan raya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tuduhan itu tidak munasabah memandangkan suruhanjaya tersebut tidak boleh mengesan kertas undi yang diberikan kepada para pemilih.

"Saya tegaskan SPR tidak boleh kesan dan tidak tahu siapa yang ambil kertas undi walaupun ada nombor siri. Ini kerana petugas SPR yang memberikan kertas undi itu tidak boleh mengambil apa-apa catatan apatah lagi melibatkan maklumat pemilih tersebut.

"Jadi kalau tidak ada catatan, bagaimana kertas undi tersebut boleh dikesan," katanya ketika berucap pada majlis Taklimat SPR kepada Pegawai Pengurus, Penolong Pengurus dan Ketua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya Negeri Selangor di sini hari ini.

Tambah Abdul Aziz, meskipun kertas undi yang diberikan kepada pemilih tercatat nombor siri dan cop, perkara itu merujuk kepada saluran pengundian dijalankan.

Sehubungan itu, tambah beliau, sekiranya terdapat kertas undi lain masuk ke dalam saluran pengundian pihaknya dapat membuat semakan dengan mudah sumber kertas undi tersebut berdasarkan nombor siri yang tercatat.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan seperti disyorkan Jawatankuasa Khas Parlimen sebelum ini meskipun mana-mana pihak tidak boleh mengarahkan SPR membuat perubahan tersebut.

"SPR adalah sebuah badan bebas dan kita mendengar serta menerima setiap pandangan termasuklah daripada tukang kebun. Tiada sesiapa boleh mengarahkan SPR membuat itu dan ini waima Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri-menteri Kabinet," katanya.

Sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang pula, Abdul Aziz berkata, SPR sedang meneliti aspek serta proses perundangan untuk melantik Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya lebih awal dari tarikh pembubaran Parlimen.

Jelasnya, sekiranya proses itu diputuskan, pihaknya akan mengumumkan pelantikan pegawai-pegawai tersebut secara rasmi bagi membolehkan proses pengurusan pilihan raya dapat berjalan lancar.
"Dengan cara ini, mereka yang dilantik boleh melaksanakan tanggungjawab lebih awal seperti menguruskan permohonan undi pos.

"Apabila sampai hari penamaan calon, mereka tidak perlu terburu-buru melaksanakan keputusan membabitkan pilihan raya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130215/px_02/Jangan-terpengaruh-SPR-boleh-kesan-kertas-undi-pemilih#ixzz2KwKvZ0TA
© Utusan Melayu (M) Bhd 


(terima kasih sumber utusan online)

SIAPA TIPU SIAPA




1. Nik Aziz dilapor telah menjelaskan kenapa PAS tidak boleh bersama UMNO dalam usaha untuk menyatupadu orang Melayu. Katanya PAS telah ditipu oleh UMNO semasa PAS berada dalam Barisan Nasional. Bagaimana UMNO menipu PAS tidak dijelaskan dengan terang.
2. Saya berada sebagai menteri dalam kabinet Tun Hussein di waktu mana PAS keluar dari Barisan Nasional. Saya juga ada dalam kabinet Tun Razak bersama Dato Asri Muda dan Hassan Adli semasa PAS menyertai Barisan Nasional.
3. Dato Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian. Ini bermakna dia bertanggung jawab terhadap FELDA.
4. Setelah beberapa bulan PAS berada dalam Barisan Nasional ahli-ahli UMNO Johor membuat komplen kepada Tun Razak dalam majlis makan malam dikediaman Tun sempena mesyuarat agong UMNO bahawa Dato Asri giat mempromosikan PAS di kalangan peserta FELDA. Saya berada di sisi Tun pada ketika itu.
5. Secara kebetulan hampir semua peserta FELDA terdiri daripada penyokong kuat UMNO. Selepas Dato Asri bertanggungjawab keatas FELDA, hampir semua peserta FELDA menjadi penyokong kuat PAS dan menolak UMNO.
6. Ahli-ahli UMNO di seluruh negara berpendapat bahawa penyertaan PAS dalam Barisan Nasional tidak menolong Barisan Nasional. Ia hanya untuk memberi peluang kepada PAS mengembangkan pengaruh di kalangan ahli UMNO dan orang Melayu.
7. Di waktu itu timbul sengketa antara Dato Asri sebagai ketua PAS dengan Dato Mohd Nasir yang sebagai Menteri Besar untuk ganti Dato Asri. Dato Mohd Nasir mendakwa dia telah kesan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Dato Asri semasa dia menjadi Menteri Besar Kelantan.
8. Dato Asri cuba menyingkir Dato Mohd Nasir melalui undi tidak percaya. Walaupun kalah Dato Mohd Nasir enggan meletak jawatan.
9. Ramai ahli PAS memihak kepada Dato Mohd Nasir. Mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Dato Asri.
10. Kerana PAS berpecah Kerajaan Barisan Nasional Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan.
11. Pada Mac 1978, pilihanraya peringkat negeri diadakan di Kelantan. Dato Mohd Nasir menubuh parti Berjasa yang bertanding melawan PAS. Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga ia memenangi 11 kerusi. PAS memenangi hanya 2 kerusi.
12. Perpecahan dalam PAS bukan kerana UMNO tetapi kerana Dato Mohd Nasir mencabar kepimpinan Dato Asri. Kekalahan PAS menyebabkan PAS keluar dari Barisan Nasional. Tidak ada penipuan oleh UMNO.
13. Walau apapun yang terjadi dahulu, jika seruan dibuat supaya berdamai orang Islam disuruh oleh agama Islam supaya menyambut seruan kedamaian dari musuh. Orang Islam disuruh bersatupadu, menganggap semua orang Islam sebagai saudara. Penolakan perpaduan sesama orang Islam tidak menepati ajaran Islam. Janganlah orang Islam menolak usaha menyatupadu untuk memperkuatkan orang Islam dengan membuat tuduhan yang tidak berasas.
(terimakasih pada sumber:http://chedet.cc/?p=914#more-914)

Thursday, February 14, 2013

Pentingnya kuasa, pengaruh kepimpinan dalam membantu rakyat



KUASA sangat penting dalam politik. Tanpa kuasa seseorang pemimpin politik tidak dapat berkuasa di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT).

Banyak orang menggandingkan kuasa dengan pengaruh kewangan manakala ada juga pengaruh personaliti seseorang. Tetapi yang lebih penting adalah kuasa dan kemudian membantu dan menolong rakyat terbanyak.

Seterusnya, melalui kuasa yang ada hal-hal berkaitan ekonomi, pendidikan, bahasa, budaya dan juga kebajikan rakyat dapat ditangani dengan baik dan berkesan. Kuasa turut membuktikan rakyat memberikan mandat penuh untuk kerajaan yang ditubuh melaksanakan dasar-dasar dan rancangan.

Dari segi kajian sains politik, kuasa dan pengaruh, kepimpinan, kelakuan dan budaya politik serta penglibatan rakyat timbul sebagai unsur-unsur khusus politik dan ilmu politik. Perkara ini seharusnya difahami oleh mereka yang ingin menjadi pemimpin.

Kuasa dan pengaruh kepimpinan ini biasanya dirasakan oleh rakyat di peringkat bawah. Mereka akan merasakan kehadiran pemimpin ketika susah dan juga ketika senang.

Pemimpin yang selalu turun padang dan bertemu serta bertanyakan masalah mereka dan kemudiannya menyelesaikannya adalah pemimpin yang disayangi rakyat.

Rakyat sekarang sudah bijak mentafsir antara pemimpin yang berjanji dan menepati janji dan yang berjanji kosong. Mereka akhirnya akan dapat membuktikan hal ini sama ada cepat atau lambat semuanya akan terbongkar.

Justeru, memilih pemimpin yang berwibawa dan juga berjiwa rakyat sangat penting dengan akal yang sihat dan perenungan yang tajam serta pandangan yang jauh.

Negara kita telah diasaskan dengan sebaik-baiknya selepas kemerdekaan. Kini menjelang 56 tahun kita merdeka pengisian ilmu, akal dan jiwa dengan hasrat menuju ke arah negara maju sepatutnya dilakukan.

Justeru istilah "politik" boleh dan telah digunakan dalam pengertian yang berbagai-bagai-bagai. Disebabkan keluasannya itulah timbul keperluan untuk mengkhususkan supaya dapat diberikan pengertian dan pendekatan yang lebih terurus untuk sebab-sebab penganalisisan.

Untuk mengekalkan kuasa perlukan sokongan rakyat dari bawah. Apabila sokongan rakyat bawahan padu dan jitu, kuasa dapat digembleng dalam apa juga tindakan dan usaha ke arah pembangunan dan juga kemajuan.

Lantaran itu, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyatakan, sokongan padu rakyat Sabah adalah aset UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang terpenting dalam pilihan raya akan datang.

Tanpa sokongan padu ini BN sukar untuk mengekalkan kemenangan. Ia diibaratkan sebagai "simpanan tetap" yang menyumbang kepada kejayaan seterusnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Di sinilah istilah kuasa penting memainkan peranan untuk mengekalkan kemenangan sesuatu parti. Justeru, idea-idea politik dan peranan individu serta kumpulan-kumpulan manusia, rakyat terbanyak dalam proses politik.

Lantaran itu, pengaruh kepimpinan juga baik di peringkat pusat, negeri memerlukan kesepaduan sokongan di peringkat akar umbi. Kejayaan parti pembangkang dalam beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor pada PRU-12 adalah kelemahan sokongan di peringkat bawah iaitu akar umbi khususnya pengundi kepada BN.

Faktor ini sering tidak diambil kira dan terlepas pandang oleh pemimpin di peringkat negeri. Sebagai pengundi mereka tidak lagi menaruh keyakinan penuh kepada BN pada waktu itu. Kini, perubahan telah berlaku, dan kesilapan akan diperbaiki; para pemimpin di peringkat negeri seharusnya memainkan peranan untuk memantapkan sokongan di peringkat bawah.

Mengimbau kembali sejarah politik negara sejak Kesultanan Melayu Melaka, kedatangan penguasaan penjajahan Barat, penguasaan British, pendudukan Jepun dan ancaman Komunis hinggalah mencapai kemerdekaan sewajarnya menginsafkan kita semua.

Kita tidak mahu penjajahan baharu berlaku selepas PRU-13 yang boleh menyebabkan negara huru-hara dan tiada lagi keamanan dan kesejahteraan. Sejarah tetap sejarah, tetapi sejarah mengajar kita untuk memahami dan menangani hidup pada masa depan serta tidak mengulangi kesilapan.

Sejarah membolehkan kita memahami dan belajar peristiwa-peristiwa yang telah berlalu berkaitan dengan diri kita, keluarga, masyarakat dan negara seperti kemerdekaan negara. Perkara yang baik dijadikan teladan; manakala yang buruk jadikan sempadan atau peringatan.

Semua ideologi dan falsafah politik tidak penting di peringkat ini. Apa yang lebih penting adalah kepercayaan rakyat bawahan terhadap apa yang akan dilaksanakan pada masa depan. Slogan "Janji Ditepati' telah terbukti dan rakyat telah menilai dan memerhati dengan teliti setiap pelaksanaannya.
Kerjasama antara kaum yang telah diasaskan terbukti membawa kemakmuran kepada negara. Oleh itu, pengekalan kerjasama dan perpaduan ini sangat penting dalam era menuju negara maju bagi menjadikan negara Malaysia maju dan berdaulat.

Rakyat akan menyokong mana parti yang dipercayai oleh mereka yang menjanjikan tentang kehidupan dan masa depan mereka. Semua perjuangan politik tidak akan lari daripada mempersoalkan tentang masyarakat dan membela rakyat di negara ini.

Hanya rakyat yang berpandangan jauh dan bijaksana dapat memilih kerajaan yang kuat dan mampu memperjuangkan nasib rakyat. Begitulah pentingnya kuasa dan pengaruh kepimpinan yang berakar umbi di dalam hati rakyat.                            (terimakasih sumber:utusan online)
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, February 13, 2013

Bahana foto artistik



Xiao Li 20 565x450 Bahana Mengambil Foto Artistik
XIAO LI tercampak selepas bahunya dirempuh kereta api ekspres berkelajuan 144 kilometer sejam



salah satu gaya artistik Li yang diambil rakannya sebelum dilanggar kereta api


Seorang pelajar China nyaris maut selepas dirempuh kereta api ekspres yang berkelajuan 144 kilometer sejam ketika bergaya untuk foto ‘artistik’ di tepi landasan kereta api.
Xiao Li, 20, meminta rakannya, Xiao Qing mengambil beberapa gambar menarik dengan rambutnya mengerbang apabila kereta api berkenaan melewatinya di Shaodong, Hunan di selatan China.

Bagaimanapun, ketika Li cuba melakukan gaya yang sesuai, dia tersandung di landasan yang berbatu itu betul-betul di laluan kereta api dan tercampak apabila kereta api melanggar bahu kanannya. Bimbang dengan keadaan yang lebih buruk, pemandu kereta api itu segera membrekkan kenderaan terbabit, tetapi Li terselamat dan hanya mengalami lebam di bahu.
Li berkata: “Saya rasa tiba-tiba dilanggar dan saya tercampak di tepi landasan. Kereta api itu berhenti dan pemandunya menyangka dia mungkin telah membunuh saya. “Saya tidak menyedari saya hampir dirempuh. Bahu saya benar-benar lebam tetapi saya bertuah kerana masih hidup.

“Mungkin lain kali kami akan mengambil gambar di tempat yang tertutup,” katanya. Jurucakap polis berkata: “Menceroboh masuk ke kawasan landasan adalah dilarang dan Li sudah pun mendapat pelajaran daripadanya.” - Agensi
(TERIMA KASIH SUMBER:http://www.hmetro.com.my/articles/Bahanafotoartistik/Article)
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

PENANG NOT READY FOR BN. NO! NO! NO!





PENANG PSY OPPA GANGNAM STYLE LIVE SHOW AT PULAU PINANG

Lihat betapa cekapnya jentera Pakatan Rakyat. mereka telah dapat mejangkakan Najib akan bertanya, adakah Ready for BN? dan mereka telah menyediakan kumpulan sorak untuk menjawab NO. Tiga kali Najib bertanya tiga kali mereka jawab NO. Tetapi BN tidak menyediakan kumpulan yang akan menjawab YES YES YES.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pula, langsung tidak bercakap dalam bahasa Malaysia yang menyebabkan orang Cina yang lebih faham bahasa Malaysia marah. Bukan semua Cina tahu bahasa Ingggeris dan Najib lupa Sistem Pelajaran Kebangsaan yang melahirkan generasi bukan Melayu yang lebih faham bahasa Melayu. Inilah fikiran Elitis. 

Monday, February 11, 2013

Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia



NORHANA FARIZA HARUN
11 Februari 2013
Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia
Tutti Frutti
Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia
Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia
Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia
Konsep kedai Tutti Frutti yang berwarna-warni dan santai dapat menarik minat pelanggan untuk berkunjung.








































SIAPA sangka gadis seawal usia 19 tahun (dua tahun lalu), pelajar tahun akhir jurusan Kewangan dan Ekonomi di York University, United Kingdom (UK) mampu melihat potensi besar perniagaan ais krim Tutti Frutti di kota itu.

Idea tercetus ketika Iman Amanda Nasim menikmati ais krim tersebut di tanah air tetapi tidak dapat menikmatinya ketika di UK. Lantas, dia dan nekad mencari peluang untuk membuka perniagaan Tutti Fruitti di sana.

Berbekalkan semangat yang tinggi, Amanda terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat bersendirian untuk menghadiri persidangan daripada wakil-wakil francais di seluruh dunia untuk membentangkan kertas kerjanya.

Nyata, usahanya membuahkan hasil apabila kertas kerja yang dibuat diterima dan dia berjaya meyakinkan mereka bahawa makanan berkhasiat ini sesuai untuk semua peringkat umur.

Mengusahakan perniagaan bersama abangnya, Andy Nasim dan dua lagi rakan kongsi Hashraf Hashim dan Ridzuan Nor, mereka membuka cawangan pertama Tutti Frutti di Covent Gardent, London pada 13 Disember 2011 sekali gus menjadi pemegang lesen utama jenama tersebut di UK di bawah pengurusan Tutti Frutti (UK) Ltd.

Pengarahnya Andy Nasim berkata, kejayaan yang dicapai hari ini bukanlah semudah yang disangka. Pelbagai cabaran dihadapi demi untuk merealisasikan impian di negara orang.

“Saya dan Hashraf menghabiskan masa sebulan di sekitar London untuk mencari lokasi terbaik dan memberi idea, namun semuanya ditolak dengan alasan kami masih muda dan tidak tahu apa-apa tentang perniagaan.

“Tetapi Alhamdulillah, berkat usaha gigih kami berjaya membuka Tutti Frutti di sini dalam tempoh tiga bulan selepas itu,” katanya.

Lebih membanggakan apabila cawangan pertama mereka ini adalah yang pertama di UK dan Eropah serta terbesar di dunia dengan keluasan hampir 2000 kaki persegi di mana boleh memuatkan sehingga 50 orang dalam satu masa.

Kejayaan empat anak muda ini juga sekali gus menaikkan nama negara di kota metropolitan, London.

Sasar 15 cawangan francais

Setelah lebih setahun beroperasi, Tutti Frutti UK kini memiliki tiga cawangan iaitu di Covent Garden, Whiteleys Bayswater dan Princes Street Edinburgh, Scotland serta sebuah francais di Brighton.

Menurut Andy, Tutti Frutti UK menyasarkan untuk membuka 10 hingga 15 francais tahun ini bagi mengukuhkan lagi jenama perniagaannya di UK.

Mereka juga  diberi peluang untuk memasarkan produk keluaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) selepas menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di cawangan Tutti Frutti tahun lalu.

INFO

-Tutti Frutti adalah jenama yang berasal dari California, Amerika Syarikat.
-Sehingga kini, Tutti Frutti mempunyai lebih 600 cawangan di 24 negara seluruh dunia.
-Di Malaysia, Singapura,Kemboja, Brunei,Thailand, Timur Tengahdan negara Afrika, Naza Tutti Frutti (M) Sdn Bhd adalah pemegang lesen utama untuk jenama tersebut.
-Memiliki lebih 50 perisa, antara perisa paling laris di Tutti Frutti UK adalah laici dan keladi.
-Tutti Frutti UK juga pernah menaja sebuah pasukan sempena perlumbaan motosikal antarabangsa Moto3.

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/bisnes/tutti-frutti-uk-bukti-kejayaan-anak-malaysia-1.130075)