Tafsir Ayat: Adil dalam Islam bukan sekadar sama rata, persamaan hak
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwa kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah, ayat 8)
Antara misi utama Islam diutuskan kepada seluruh alam untuk menyebarkan mesej keadilan dan kesaksamaan dalam kehidupan manusia sejagat. Mesej ini yang mengiringi perutusan nabi dan rasul kepada kaum masing-masing.
Justeru, Islam menganjurkan umatnya melaksanakan keadilan dalam setiap aspek kehidupan mereka.
Tambahan pula, perintah itu datang seiringan dengan sifat Allah sendiri yang Maha Adil dan mengharamkan Zat-Nya daripada melakukan kezaliman.
Diriwayatkan dalam hadis yang bermaksud: “Wahai hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan sifat kezaliman dalam ZatKu dan Aku juga mengharamkan sifat itu di kalangan kamu. Oleh itu, jangan kamu zalim menzalimi antara sesama kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Adil membawa erti meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan seperti difahami kebanyakan umat Islam kini bahawa adil itu sama rata atau persamaan hak. Dalam al-Quran, ada banyak ayat suci membicarakan mengenai keadilan supaya dapat dijulang untuk mendasari setiap ruang hidup manusia sejagat.
Perlu diingat, keadilan yang diwar-warkan Islam tidak terhad kepada golongan pemimpin saja tetapi semua lapisan masyarakat Islam terdiri daripada suami isteri, penjual dan pembeli, kadi, sesama Muslim dan antara pemimpin dengan rakyatnya.
Ini bertepatan sifat kesyumulan dan kesejagatan yang menghiasi Islam itu sendiri. Oleh itu, setiap warga Muslim yang melafazkan dua kalimah syahadah sewajarnya menjulang tinggi perintah Ilahi ini supaya konsep keadilan dapat direalisasikan dan ditegakkan dalam masyarakat sejagat.
Pada masa sama, Allah memberi amaran kepada umat Islam supaya jangan terperangkap dengan penyakit hati seperti dengki dan kebencian yang akan mengakibatkan keruntuhan serta kehancuran bangsa itu sendiri.
Paling istimewa, sifat adil akan menghiaskan diri seseorang Muslim dengan perhiasan takwa iaitu neraca piawaian yang utama untuk memburu darjat istimewa di sisi Allah. Takwa, tiket yang tiada nilainya untuk menjejakkan kaki ke pintu syurga penuh kenikmatan.
Menurut Prof Dr Hamka, keadilan pintu terdekat kepada takwa, sedangkan rasa benci hanya menyebabkan seseorang itu jauh dari Allah. Apabila seseorang Muslim menegakkan keadilan, jiwanya akan merasai kemenangan yang tiada taranya
Lawan adil adalah zalim dan zalim kemuncak kemaksiatan kepada Allah. Maksiat akan menyebabkan jiwa merana dan sengsara.
Seterusnya, Islam menuntut kepada seorang suami supaya berlaku adil kepada isterinya kerana Islam melarang sama sekali sebarang bentuk kezaliman dan penderaan dalam institusi rumah tangga. Oleh itu, jika suami merasakan tidak dapat berlaku adil, maka memadai mengahwini seorang isteri.
Begitu juga seorang Muslim yang diamanahkan memikul jawatan kadi supaya dapat bersikap adil, berwaspada serta tidak berat sebelah dalam memutuskan hukuman kepada pesalah biarpun daripada kalangan keluarga dan kerabatnya.
Sehubungan itu, Rasulullah menegaskan kehancuran umat zaman silam disebabkan pelaksanaan hukum bersifat berat sebelah iaitu melepaskan hukuman kepada orang berada dan dijatuhi hukuman kepada orang hina dina.
Diriwayatkan, Rasulullah bersumpah dengan nama Allah bahawa jika Fatimah anak perempuannya sendiri mencuri sudah pasti Baginda akan memotong tangannya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seorang pemimpin juga dituntut bersikap adil dan saksama dalam kepemimpinannya dan jangan sesekali melakukan kezaliman kepada manusia sejagat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kepimpinan itu satu amanah yang berat.
Pada hari kiamat nanti ia adalah satu penyesalan dan kehinaan melainkan
seorang pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab kepemimpinannya dengan amanah dan adil kepada rakyat bawahannya.” (Hadis riwayat Abu Hanifah)
Demikian betapa luasnya konsep keadilan dalam Islam. Justeru untuk menjamin kelangsungan Islam supaya terus bertapak di bumi Allah ini, konsep keadilan perlu disemai dan dibajai supaya bertunjang dalam kehidupan ummah sejagat.
Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin).
(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TafsirAyat_AdildalamIslambukansekadarsamarata_persamaanhak/Article)
No comments:
Post a Comment