Sunday, January 22, 2012

Pengaruh blogger kurang dalam PRU13: TAN SRI ABDULLAH AHMAD


January 22, 2012

1.0 Kawan lama Kadir Jasin, waktu blogging digemari ramai bagai sup seafood tomyam awal dekad pertama abad 21, cuba menggalakkan saya menjadi seorang blogger. Mula-mula saya tertarik juga. Setelah berfikir saya dapati saya tidak mempunyai kemampuan beraksi sebagai seorang blogger yang komited. Saya lebih senang dengan menulis kolum dengan tangan dan ditaip oleh setiausaha saya.

2.0 Dalam diskusi Politics Unusual – What To Expect In the Next General Election anjuran Asli (Asian Strategy and Leadership Institute) di Sunway Resort Hotel & Spa, Selasa 17 Januari 2012, Profesor James Chin, seorang panelis dan Ketua Jabatan Social Sciences, Monash University, Kampus Sunway, Selangor, menegaskan mengikut beberapa kajian mutakhir, bloggers tidak akan berperanan, atau berpengaruh dalam PRU13 seperti dalam pilihan raya umum lalu. Sebabnya pembaca blog telah mengetahui sebahagian besar bloggers tidak bebas, tidak berkecuali; tidak sederhana; mereka ada agenda tertentu, mereka sebagai ajung (adjunct) parti-parti politik tertentu. Ada ajung Pakatan Rakyat dan sekarang sudah wujud bloggers ajung BN/Umno. Hasil kajian itu nampaknya blog hanya dibaca oleh pengikut setia tertentu sahaja, bukan oleh pengundi bebas atau pembaca atas pagar. Apa yang perlu dan harus ada ialah bloggers yang moderate, sederhana dan neutral yang mampu mengalih perhatian dan mempengaruhi pengundi bebas dan pembaca yang independent.

3.0 Lebih baik pada setengah orang bebas membaca media perdana milik BN dan suara Pakatan Rakyat seperti Harakah. Sekurang-kurangnya media ini secara rasmi suara parti berkenaan. Sekarang kalau pun orang bebas membaca kedua-dua blog mereka akan diskaun pendapat blogger apabila merumuskan pendapat dan pilihan peribadi (pembaca) tentang satu-satu isu.

4.0 Chin bermadah, keputusan pilihan raya PRU13 masih inconclusive yakni tidak ada lagi keputusan. Kajian nampak begitulah, tambahnya. Tetapi pendapat peribadinya dalam percakapan dengan saya (juga seorang ahli panel lain Dr Denison Jayasooria, felo kanan Institute of Ethnic Studies, Universiti Kebangsaan Malaysia) bersependapat dengan saya Umno/BN akan menang. Persoalannya seperti saya tegaskan beberapa kali dalam kolum ini ‘berapa besar atau kecil majoriti kemenangan itu?’ Setelah kurang lebih seratus peserta dari berbagai organisasi mendengar hujah, perbincangan, keterangan dan kritikan ahli panel (termasuk Kadir Sheikh Fadzir, Timbalan Ketua Angkatan Amanah Merdeka yang kepalanya Tengku Razaleigh Hamzah). Kadir tidak percaya Umno/BN akan menang dalam PRU13. Michael Yeoh, CEO Asli dan moderator, meminta peserta mengangkat tangan, sama ada bersetuju dengan pendapat saya dan Jayasooria (yang terang dan jelas Umno/BN menang) atau dengan Kadir. Peserta mula-mula agak malu-malu, tetapi lebih kurang 15 orang telah mengangkat tangan menyokong pendapat saya dan Jayasooria dan beberapa kerat sahaja – tidak sampai sepuluh peserta menyokong pendapat Kadir. Maknanya lebih dua pertiga tidak membuat keputusan yakni mereka, sama ada neutral atau segan menzahirkan pilihan mereka di khalayak ramai! Ramai juga peserta yang hadir adalah orang dagang expatriates dan saya jangka lebih ramai lagi tidak pun daftar sebagai pengundi.

5.0 Ucapan Kadir tidak mengejutkan saya langsung kerana dia sedang mencari role atau peranan untuk terus relevan selain dari keyakinan Umno/BN akan tumbang kali ini. Apa pun itu hak Kadir dan saya akan mempertahankan haknya untuk bersuara walaupun saya tidak bersetuju dengan kritikannya yang keterlaluan itu. Apa lagi dia sebahagian daripada establishment berpuluh tahun seperti di ketarakan (pointed out) oleh seorang peserta wanita dari Saudi (tanpa bertudung) yang membawa gelak ketawa peserta. Saya sering mendengar ucapan Lim Kit Siang, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim dan Haji Hadi saya dapati ucapan mereka lebih sederhana dan diplomatik dari bekas menteri kabinet zaman Dr Mahathir dan Badawi. Saya dapati Kadir agak incongruous yakni aneh dan tidak sesuai dengan kedudukannya dahulu. Apa pun beberapa orang telah memberitahu saya Malaysian Insider telah memberi Kadir publisiti yang agak besar juga.

6.0 Dalam ucapan penggulungan saya, tiada siapa pun membantah, apabila saya menegaskan tiga ahli panel bersependapat dan diperkuatkan lagi dengan peserta mengangkat tangan bahawa Umno akan menang. Awal-awal lagi saya telah – kerana saya pembicara pertama - mengulangi ucapan saya di Singapura dan di seminar-seminar lain bahawa saya yakin Umno/BN akan menang. Saya perturunkan dalam bahasa asal apa yang saya katakan dalam diskusi Asli itu: It is a foregone conclusion Umno/BN will win the next general election. The question is how big is the majority. Saya senang hati selain daripada dua ahli panel dan lebih ramai peserta yang bersetuju dengan kami.

7.0 Dalam membuat andaian saya, saya berdasarkan kepada realiti bukan kepada emosi atau persepsi tanpa juga kerana dendam kesumat. Pada hal saya ada lebih banyak sebab dari setengah orang untuk berdendam, tetapi saya mahu terus jadi seorang kolumnis profesional. Kalau keadaan berubah saya akan berkata demikian tanpa takut dan segan. Ada orang suka membaca, mendengar ucapan dan slogan yang berselera dengan hati mereka atau dengan kehendak mereka walaupun kenyataannya di padang tidak seperti itu. Apabila emosi, bukan akal, mendominasi fikiran kesimpulan kita lazimnya tidak tepat.

8.0 Apa pun dalam kehidupan, pekerjaan, perjuangan dan dalam PRU13 apa situasi pun seseorang atau satu organisasi jangan cepat mengalah. Musuh utama kita tiga: pertama tidak yakin pada diri sendiri, sikap perasaan tidak ada harapan lagi. Kedua sifat tidak pasti, tidak percaya, ada keraguan. Ketiga sikap terlampau percaya kepada diri sendiri atau dalam lain perkataan sikap yang bongkak, iaitu sikap takbur. Itu negatif. Tetapi dari segi positif sikap percaya kepada kebolehan, kemampuan sendiri untuk mencapai apa matlamat pun bagus.

9.0 Semakin kita maju, sindrom kacang lupakan kulit makin menjadi dalam kalangan orang kita seperti ditegaskan oleh ramai pemimpin. Saya ada lebih banyak sebab untuk marah pada kerajaan, dulu dan sekarang pun, tetapi haruskah kelambu dibakar kerana seekor nyamuk? Orang yang berumur lebih 40 tahun dan yang membaca sejarah tahu kedudukan sosial dan ekonomi Melayu buruk sebelum 13 Mei 1969. Kedudukan kita sekarang dan kemajuan yang dinikmati hasil usaha selepas peristiwa itu. Sebelumnya, ramai orang Melayu boleh dirumuskan sebagai separa dijajah dan separa merdeka! Adakah kita mahu kembali kepada zaman itu?

10.0 Orang Melayu jangan cepat lupa dan mudah tidak sedar diri. Atau menghilangkan dari ingatan apa yang baik dan hanya ingat apa yang tidak baik sahaja. Renung kembali siapa datuk nenek kita, taraf ibu bapa kita dan kita sendiri pun dahulu. Jangan hanya syok dengan status sekarang ini!

terima kasih(sumber;http://www.sinarharian.com.my/komentar/tan-sri-abdullah-ahmad/pengaruh-blogger-kurang-dalam-pru13-1.19576)

No comments: