Wednesday, January 4, 2012

Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik sertai UMNO (utusan online)


KUALA LUMPUR 3 Jan. - Artis terkenal tanah air, Afdlin Shauki, 40, dan Harun Salim Bachik, 52, menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Pasangan kumpulan lawak Boboi pada siri pertandingan Maharaja Lawak Mega itu menyerahkan borang keahlian mereka kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Raof Yusoh.

Mereka berdua menjadi ahli UMNO Cawangan Dataran Merdeka dalam Bahagian Bukit Bintang.

Menurut Afdlin, perjuangan UMNO yang membela nasib semua golongan rakyat serta cara kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa transformasi kepada negara menarik minatnya serta perlu disokong.

"Saya sudah lama jadi pemerhati politik iaitu sejak menceburi bidang hiburan dan menyokong UMNO sejak layak menjadi pengundi.

"Kini sudah tiba masanya untuk aktif dengan apa yang saya percaya. Perjuangan harus bermula dengan langkah menyertai UMNO," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang keahlian tersebut.

Sementara itu, menurut Harun, penyertaan itu akan merapatkan lagi hubungan golongan artis dengan pemimpin negara bagi memajukan industri tersebut.

"Saya berharap perkara ini tidak dipolitikkan kerana kami ikhlas untuk menjadi ahli UMNO. Apa yang kami lakukan hari ini adalah atas kesedaran tanggungjawab kami sebagai rakyat Malaysia.

"Kami akan menerangkan kepada peminat dan orang ramai tentang perjuangan UMNO dan berharap dapat bersama-sama membantu negara memajukan industri hiburan," katanya yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Ketika ditanya sama ada mereka berasa bimbang jika kehilangan peminat daripada parti lain, kedua-duanya menyatakan, tidak perlu mencampur-aduk urusan kerja mereka dalam bidang seni dengan politik.

"Kami bukan buat salah atau tidak jadi warga Malaysia lagi. Kami masih kami yang mempunyai harapan agar rakyat Malaysia terus menjadi warga yang baik," ujar Afdlin yang turut dipersetujui oleh Harun.
(tqsumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_10.htm)

No comments: