Thursday, February 11, 2010

Tiada kompromi kuatkuasa sijil halal


Tiada kompromi kuatkuasa sijil hahal
Feb 11, 10 2:48pm

"Dikerat 18 pun kita tidak kompromoi dalam soal halal. Ini bermakna sekali-kali tidak ada kompromi dalam perkara yang membabitkan integriti dan perlaksanaan hukum syarak.

"Itu adalah kata-kata keramat Saimah Mukhtar, Pengarah Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Dan tugas kami memang berisiko tinggi. Ini termasuk menerima ugutan tetapi ini sudah menjadi asam garam tugas kami di cawangan pemantauan dan penguatkuasaan," demikian tegas Mohd Amri Abdullah, Penolong Pengarah, Cawangan Pemantauan dan penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal JAKIM.

Beliau menambah, pihaknya menjalankan tugas berdasarkan peraturan dan hukum syarie yang telah distandardkan.

Sehubungan dengan itu, katanya, mana-mana pemegang sijil halal atau orang yang melakukan kesalahan yang ada kaitan dengan isu halal akan dikenakan tindakan berdasarkan prosedur berkenaan.

Mohd Amri terbabit dalam operasi pemantauan dan penguatkuasaan Sijil Halal sejak menyertai JAKIM pada 2003.

Operasi berisiko

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan Sijil Halal dibuat secara berkala dan ia melibatkan produk yang ditakrif sebagai berisiko tinggi dan rendah.

"Berisiko Tinggi" melibatkan produk yang berasaskan daging, lemak atau minyak, alkohol serta syarikat-syarikat yang antaranya tidak mengamalkan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Amalan Kebersihan Baik (GHP).

Operasi untuk pihak berkenaan dibuat lebih dari sekali setahun sementara kategori berisiko rendah pula melibatkan produk yang bukan berasaskan daging, mengamalkan GMP, GHP, adanya Eksekutif Halal dan jawatankuasa halal dalaman serta syarikat yang mengeluarkan produk berkenaan diyakini amalan pengilangannya.

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan untuk kategori ini mungkin dibuat sekali dalam setahun.

Operasi juga dibuat berasaskan aduan orang ramai dan operasi berkenaan dijalankan di seluruh negara.

Mohd Amri berkata sepanjang 2009, pihaknya menjalankan sebanyak 146 pemantauan iaitu 120 pemantauan berkala dan 26 pemantauan berdasarkan aduan orang ramai.

Menurut Mohd Amri, bidang kuasa cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal juga meliputi Sabah dan Sarawak bagi pihak yang mendapat sijil halal.

Agensi lain terbabit

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan JAKIM turut melibatkan pegawai-pegawai daripada pelbagai jabatan, kementerian serta agensi. Antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kastam, JAIN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bergantung kepada keperluan, operasi berkenaan turut melibatkan anggota polis sebagai langkah keselamatan.

"Banyak operasi yang kita lakukan melibatkan rumah sembelih dan hotel yang mungkin berlaku kebarangkalian ketidakakuran.

"Katakan sebuah hotel yang mengambil bekalan ayam daripada satu-satu pembekal dan apabila harga ayam naik, hotel itu mungkin akan mengambil ayam daripada pembekal lain yang harganya lebih murah. Ini akan membuatkan pemantauan lebih kerap dibuat," jelas Mohd Amri.

Untuk rekod, menurut statistik JAKIM, sehingga Mei 2009, hanya 27 atau hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh Negara telah mendapat sijil halal JAKIM bagi dapur utama mereka.

Berhubung aduan orang ramai, Mohd Amri memberitahu aduan yang dibuat adalah mengenai pemegang Sijil Halal dan yang melibatkan soal perbahasaan halal.

"Walau apa pun kita akan buat pemeriksaan bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain. Misalannya jika ada yang berhubungkait dengan logo halal tetapi tidak ada Sijil Halal atau Sijil Halal telah tamat tempoh, ini melibatkan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972, di bawah kuasa KPDNKK.

Logo palsu

"Pihak JAKIM tidak ada kuasa undang-undang selain dari menarik balik Sijil Halal yang dikeluarkan atau menggantung sijil tersebut. Kita hanya sebagai pengesah sijil termasuk juga yang menggunakan logo halal palsu," tambahnya.

Untuk aduan yang ada kaitan dengan Akta Makanan 1983, contoh berhubung soal kebersihan premis, operasi akan dibuat bersama dengan pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan dan yang berhubung dengan Akta Haiwan pula akan melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Mana-mana aduan yang ada kena mengenai dengan PBT, tertakluk di mana lokasi premis yang diperiksa, kita akan ajak pegawai penguatkuasa PBT berkenaan.

"Ini menunjukkan banyak agensi penguatkuasa terlibat dalam Sijil Halal. Ini juga membuatkan Sijil Halal kita diiktiraf di seluruh dunia sebab sistem yang kita laksanakan di mana kita keluarkan sijil dan kita buat pemantauan balik untuk sijil yang diberi," jelasnya.

Menurut Mohd Amri, kes-kes yang melibatkan penggunaan sijil dan logo halal palsu atau menggunakan kalimah perbahasaan yang membawa maksud halal sememangnya banyak.

Beliau memberitahu contoh aduan yang meminta JAKIM memeriksa sebuah kedai makan mamak yang menggunakan ayat Al-Quran untuk menarik pelanggan Muslim atau menggunakan perkataan halal sendiri.

"Ini sebenarnya tidak termasuk dalam bidang kuasa JAKIM kerana kuasa JAKIM hanya membabitkan logo dan Sijil Halal yang kita keluarkan.

"Dalam kes kedai mamak itu, yang boleh mengambil tindakan ialah KPDNKK sekiranya terbukti makanan yang dihidangkan tidak halal. Beban pembuktian terletak kepada JAKIM. Kita kena buat kajian halal atau haram sebelum KPDNKK boleh mengambil kes,"katanya.

Ayat al-Quran

Beliau memberi satu lagi contoh mengenai sebuah premis makanan yang menggunakan ayat Al-Quran dan apabila diperiksa, kedai tersebut yang terletak di Lembah Klang mempunyai pekerja yang semuanya beragama Hindu tetapi lesen perniagaannya atas nama seorang Melayu.

"Di bawah APD 1972 tindakan akan diambil ke atas pemilik dan dalam hal ini pemiliknya Melayu, dan mungkin lesen perniagaan telah dialibabakan. Pindaan yang diusahakan JAKIM untuk APD 1972 antaranya adalah untuk menangani kelemahan seperti ini.

"Kalau pemilik lesen orang India, pekerja bukan Islam dan meletakkan ayat Quran di dalam premis makanan, KPDNKK boleh mengambil tindakan. Di dalam hal ini, Kementerian Dalam Negeri juga boleh mengambil tindakan di bawah penggunaan teks ayat Quran,"katanya.

Mohd Amri juga memberi contoh sekiranya Sijil Halal diberi untuk 10 produk dan apabila pihaknya membuat operasi pemantauan dan penguatkuasaan dan mendapati ada 11 produk dan produk ke-11 menggunakan logo halal, KPDNKK boleh merampas produk yang ke-11.

JAKIM, katanya akan menarik balik atau menggantung Sijil Halal untuk setiap satu daripada 10 produk tadi kerana pengusaha tidak berlaku jujur dalam membuat perisytiharan.

Pengusaha berkenaan diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan dan keputusan akan dibuat oleh panel yang berkenaan.

Tindakan menyusahkan

"Sesetengah pihak dalam industri menganggap tindakan kami ini menyusahkan mereka tetapi sebenarnya daripada pengalaman kami, ada juga yang bersikap positif dan mendapatkan nasihat untuk memperbetulkan kesilapan mereka.

"Bagi pihak pengguna, sudah tentunya mereka akan melihat secara positif tindakan penguatkuasaan yang dibuat oleh JAKIM, persijilan kita mempunyai kredibiliti melalui penguatkuasaan yang kita laksanakan,"jelasnya.

Bagi operasi ke atas rumah penyembelihan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi, ia dibuat berdasarkan aduan dan sebagai operasi berkala. Ia lazim dilakukan sekitar pukul 3 pagi memandangkan bekalan ayam akan mula dihantar ke pasar-pasar selepas subuh, kata Mohd Amri.

Antara operasi yang pernah dilakukan ialah yang melibatkan aduan urat leher ayam yang disembelih tidak putus atau ayam direndam dalam air panas.

Beliau memberitahu sekiranya aduan didapati benar, pihaknya akan meminta rumah penyembelihan menghentikan operasi dan mengisytiharkan jumlah ayam yang sudah disembelih dan sama ada melupuskan ayam-ayam tersebut atau mengisytiharkan ayam itu sebagai tidak halal dan hanya menjualnya kepada bukan Islam.

Roh halal dan jihad halal

Cepat atau lambat satu-satu operasi bergantung kepada kes dan menurut Mohd Amri ada kes yang operasinya bermula jam 12 tengahari dan berakhir pada jam 3 petang keesokannya.

"Kami di JAKIM telah diterapkan dengan Roh Halal dan Jihad Halal yang cukup kuat. Jadi tak ada masalah untuk buat operasi pada awal pagi atau yang mengambil masa berjam-jam lamanya,"tegasnya.

Mohd Amri turut menegur sikap sesetengah orang Islam di negara ini yang membuat andaian semua produk yang dijual di Malaysia adalah halal tanpa meneliti ramuan yang digunakan untuk membuat produk tersebut.

"Bila kita buat operasi pemantauan dan penguatkuasaan, barulah mereka sedar.

Pihak kami pernah menyerbu sebuah restoran atas aduan orang ramai yang meragui kehalalannya. Ramai pengunjung Islam sedang makan di premis yang tidak halal itu dan apabila ditanya, komen mereka makanan sedap.

Lagi pun kata mereka juruwangnya memakai tudung.

"Yang haram bukan dari segi daging khinzir tetapi alkohol. Kebanyakan makanan Barat, Cina dan Jepun menggunakan alkohol untuk menyedapkan makanan. Pengalaman saya makanan Barat banyak menggunakan cuka wain atau alkohol. Sikit atau banyak, mabuk atau tak memabukkan, yang haram tetap haram," tegas Mohd Amri.

Beliau menasihatkan masyarakat Islam untuk menjaga kehalalan makanan kerana sumber makanan yang haram akan turut mencacat-celakan keturunan.

Menurut beliau, ada pihak yang menyatakan generasi orang Islam hari ini sebagai generasi strawberi, lemah dan rosak akhlak.

"Buah strawberi itu kan lembik, tidak boleh diusik, Ini semua berpunca daripada makanan. Kita mesti beratkan makanan yang halalan thoyiban. Jika ini tidak ditangani, generasi Islam akan terus lemah.

"Otak yang cergas datang dari sumber makanan. Saya ibaratkan makanan sebagai minyak. Kalau minyak tidak berkualiti, nak nyalakan lampu pun tak boleh, nak gerakkan kereta pun tak boleh. Kita perlu tukar generasi strawberi ini dengan faktor makanan.

"Orang Islam mesti menjadi pengguna yang bermaklumat, mesti ada sifat ingin tahu, tahu membezakan sama ada satu-satu makanan itu halal atau tidak. Jadikan ini pembelajaran sepanjang hayat.

“Tengok orang Yahudi, bagaimana mereka boleh melahirkan generasi yang hebat dan menguasai ekonomi dunia. Puncanya hanya mengambil makanan yang berkhasiat (kosher), orang Yahudi menjaga betul apa yang mereka makan," kata Mohd Amri.

- Bernama

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/124224)

No comments: