Tuesday, February 2, 2010
Datuk Nasir Safar Akan Letak Jawatan Sebagai Pegawai Khas PM
Datuk Nasir Safar Akan Letak Jawatan Sebagai Pegawai Khas PM
KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar akan meletakkan jawatannya itu berikutan kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuatnya pada seminar 1Malaysia di Melaka Selasa.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini Selasa malam berkata kenyataan yang didakwa dibuat oleh Nasir "dalam keadaan apa cara sekalipun tidak mencerminkan pandangan Perdana Menteri."
"Datuk Nasir tidak ada niat untuk mengeluarkan sebarang kenyataan menghina. Beliau bercakap secara panjang lebar mengenai sumbangan oleh semua kaum dalam membangunkan negara.
"Oleh yang demikian, Nasir memohon maaf jika kenyataannya itu telah menyinggung mana-mana pihak.
"Sehubungan ini, Datuk Nasir akan meletakkan jawatannya," menurut kenyataan tiga perenggan itu.
Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu, yang menyelar Nasir bagi kenyataannya itu berkata ia tidak mencerminkan pendirian kerajaan dan ia telah menyinggung perasaan kaum India Malaysia.
"Pandangan beliau jauh bertentangan dengan semangat muhibah yang ditunjukkan oleh kerajaan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) di bawah gagasan 1Malaysia," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau berkata Nasir patut dihukum mengikut Akta Hasutan bagi kenyataan menghina itu.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda MIC Shivarraaj malam ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Nasir itu di Balai Polis Sentul di sini.
-- BERNAMA
(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=472903)
-------------------------------------------------------------------------------------
Kenyataan rasis: Pegawai khas PM letak jawatan
Feb 2, 10 8:20pm
Datuk Nasir Safar, pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan meletakkan jawatan berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur perkauman di Melaka pagi ini, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Menurutnya lagi, kenyataan Nasir itu juga tidak mencerminkan pandangan perdana menteri.
Nasir, tambahnya, memohon maaf terhadap sebarang kenyataannya yang menyinggung mana-mana pihak.
Berikutan itu, Nasir akan meletak jawatan.
Nasir dikatakan telah membuat kenyataan berbaur perkauman ketika berucap pada seminar '1Malaysia' di Melaka hari ini, menyebabkan puluhan ahli MIC, MCA dan perwakilan pertubuhan bukan kerajaan meninggalkan majlis berkenaan.
Menurut sumber, Nasir telah menimbulkan kemarahan hadirin apabila dia melabelkan kaum India dan Cina sebagai pendatang.
Selain itu, Nasir juga didakwa mengancam akan menarik balik kerakyatan mereka yang menentang keputusan kerajaan untuk menghadkan 12 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM.
Pemuda MIC dijadual membuat laporan polis lewat hari ini dan satu memorandum bantahan akan juga dikemukakan kepada Najib apabila beliau dijadualkan melawat Melaka pada 4 Februari.
Sementara itu, presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu melahirkan rasa marahnya berhubung insiden berkenaan.
Beliau yang menyifatkan insiden itu sebagai isu perkauman yang melampau menggesa perdana menteri mengambil tindakan sewajarnya ke atas pembantunya.
(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/123539)
zmsegamat kata: sekarang ni nak cerita tentang sejarah negara pun kena berhati-hati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Bravo Nasir!
Orang cina dari China,Orang Tamil dari India,orang Melayu dari Indonesia, Iban pon dari Indonesia.Tak usahlah persoalkan siapa yang berhak ke atas Malaysia.Lepas kita mampos, Malaysia bukan lagi milik kita. Duduklah dengan damai..
Post a Comment