Saturday, February 20, 2010

Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang?


ARKIB : 01/02/2010
Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang?

1. DULU, kira-kira 40 tahun lalu, waktu Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional (BN) memerintah Pulau Pinang yang diterajui Gerakan, UMNO, MCA, MIC bukannya tidak ada gerai Melayu yang diroboh. Memang ada gerai yang diroboh atas sebab-sebab tertentu. Paling popular sudah tentu tidak ada lesen atau untuk memberi laluan kepada projek lain. Dulu, bukannya tidak ada peniaga yang berniaga ikut suka sehingga mengganggu lalu lintas.

2. Memang ada sehingga sekarang tetapi tidak ada tindakan yang drastik diambil dan mereka terus berniaga seperti biasa. Semuanya itu berlaku di Pulau Pinang ketika kerajaan BN diketuai oleh Ketua Menteri, Dr. Lim Chong Eu dan kemudiannya Dr. Koh Tsu Koon. Kini, kerajaan negeri pakatan pembangkang DAP, PKR, Pas yang baru berusia setahun jagung dan diketuai oleh Lim Guan Eng lebih berani bertindak.

3. Tetapi kenapa riuh rendah jadinya? Mungkin kerana ramai yang terkejut disebabkan tindakan drastik kerajaan pakatan pembangkang ini. Mulanya mereka mungkin mengharapkan pakatan dapat memberi nafas baru kepada peniaga atau penjaja kecil.

4. Mereka tentu lega dengan slogan keadilan, kebebasan, ketelusan, kebajikan dan entah apa lagi slogan yang 'manis-manis' dan enak didengar yang dibawa oleh pakatan pembangkang semasa kempen pilihan raya. Malangnya, ibarat mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan atau panas tidak sampai ke petang. Kebahagiaan yang diharap tidak muncul.

5. Gerai milik orang Melayu yang dulunya 'hidup bebas' di bawah naungan BN kini tinggal sejarah atau bakal menjadi catatan sejarah. Dua puluh tahun beroperasi tanpa masalah tetapi kini muncul masalah. Kalau tidak ada lesen, kenapa tidak diberi lesen?

6. Sementara menurut dakwaan Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim), gerai milik bukan bumiputera yang banyak beroperasi tanpa mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terlepas daripada sebarang tindakan. Berjalanlah di sepanjang Jalan Weld Quay, Lebuh Chulia, Lebuh Kimberley, Jalan Macalister, Jalan Burma dan Sungai Dua. Lihatlah panorama indah ini yang boleh dijadikan juga produk pelancongan. Kalaulah semua ini - gerai-gerai Melayu dirobohkan - benar, maka sungguh malang nasib Melayu Pulau Pinang.

7. Apakah ini sudah suratan takdir mengenai nasib kaum minoriti di Pulau Mutiara itu? Mungkinkah Melayu Pulau Pinang lebih terbela di bawah gandingan mantap dan mesra DAP, PKR, Pas?

8.Media arus perdana sudah tentu akan dipersalahkan kerana membangkitkan isu orang Melayu ini dan akhirnya akan dilabel sebagai rasis. Sudah lumrah, apa yang mereka lakukan salah di sisi orang lain tetapi akan dianggap betul jika mereka sendiri yang melakukannya.

9. Tindak tanduk memijak atau melangkah kepala orang yang mereka lakukan secara spontan tidak dianggap satu tindakan provokasi yang boleh mencetuskan kemarahan. Tetapi apabila orang lain mengambil tindakan yang sama dalam keadaan marah, mereka pula tidak sabar dan membuat laporan polis. Itulah lumrah politik pihak sebelah sana yang sering melaungkan slogan yang enak didengar.

10. Khabarnya selain kedai makan atas pokok Do Re Mi di Tanjung Bunga, Three N Ikan Bakar di Bukit Dumbar dan gerai buah di Permatang Pauh milik orang Melayu, ramai lagi yang akan menerima nasib sama selepas ini.

11. Sejauh mana kebenarannya tidak pasti. Gerai-gerai ini bukannya wujud semalam atau kelmarin tetapi telah lama. Malahan sejak kerajaan BN memerintah. Apakah kerajaan BN yang silap? Atau adakah kerajaan BN lebih peka dan prihatin terhadap golongan peniaga seperti ini? Justeru, apakah tujuan sebenar di sebalik tindakan kerajaan DAP yang mengarahkan gerai-gerai ini dirobohkan?

12. Gerai atas pokok memang unik. Dalam filem Do Re Mi ada kisah orang duduk atas pokok. Dalam cerita 'Dewan Undangan Negeri Perak' ada kisah bersidang bawah pokok sehingga pokok tersebut dijadikan satu tempat bersejarah. Dalam filem Laksamana Do Re Mi pula, raja bersemayam di bawah pokok. Begitulah cerita pokok. Maka kenapa restoran unik atas pokok ini mahu dihapuskan?

13. Memang mudah untuk menumbangkan pokok. Seperti filem Do Re Mi, ugut nak gergaji pokok, maka Do Re Mi yang menjadi penghuni rumah pokok itu cabut lari.

14. Agaknya siapa yang lebih bertimbang rasa jika dibandingkan dengan kerajaan BN Perak yang tidak memusnahkan tempat yang menjadi pujaan pakatan pembangkang dengan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mahu 'mengusir' pengusaha restoran atas pokok.

15. Siapakah yang lebih prihatin masalah rakyat terutama yang berpendapatan rendah apabila sejak 20 tahun lalu berniaga tetapi tidak diganggu gugat oleh kerajaan sebaliknya yang baru pegang kuasa sudah tunjuk belang.

16. Jika ini berterusan - peniaga Melayu menjadi mangsa - maka ke ceruk mana lagi Melayu Pulau Pinang hendak pergi. Berapa kerat orang Melayu yang mampu berniaga di tengah-tengah Georgetown sama ada di Chowrasta, Komtar, Perangin Mall dan sekitarnya?

17. Malang sungguh nasib Melayu Pulau Pinang. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, macam orang Tanjong selalu buat seloka... Balik Pulau, Bayan Lepas, Sana Terpelau, Sini Terlepas.

Terbelakah Melayu Pulau Pinang?

18. Terserahlah kepada rakan kongsi DAP iaitu PKR dan juga Pas. Jika PKR dan Pas mahu melihat semua kaum diberi layanan sama rata, maka Melayu Pulau Pinang tidak akan ke mana. Mereka akan terus ketinggalan dalam segala segi. Melayu umpama melukut di tepi gantang.

19. Justeru Melayu Pulau Pinang perlu insaf dan sedar bahawa tidak ada sesiapa yang dapat membela nasib mereka kecuali diri mereka sendiri. Melayu perlu menghentikan sandiwara politik. Jika ada di antara Melayu yang ada kuasa lupa akan bangsanya, maka lambat laun, mereka juga akan terus hanyut. Janganlah kerana ketamakan kuasa, mereka akhirnya akan 'dijual' kemudian dilelong seperti yang berlaku ke atas Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam filem Tiga Abdul.

20. Selain masalah gerai Melayu ini, menarik juga untuk disentuh ialah isu melibatkan bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, Zahrain Mohd Hashim. Apakah isu Zahrain 'menyerang' Guan Eng dengan kata-kata diktator, cauvinis dan berfikiran komunis' sebagai satu lagi sandiwara sekadar ribut dalam cawan menjelang hari bicara penasihat PKR? Sama ada sandiwara atau disebabkan masalah peribadi, sekurang-kurangnya rakan pembangkang DAP sendiri tidak puas hati dengan Guan Eng. Biar apa pun alasannya, Zahrain sudah berani mendedahkan sikap Guan Eng. Dan seperti yang dijangka, kepimpinan PKR akan menolak segala dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru itu.

21. Atas semangat kerjasama politik, yang hitam tidak boleh dihitamkan lagi tetapi perlu diputihkan. Dalam politik, biarlah kritik orang di luar parti bukannya mengkritik parti sendiri. Jika tidak buruk padahnya seperti dialami Khalid Samad, Hasan Ali dan begitu juga Zulkifli Noordin, Zaid Ibrahim dan Zahrain. Semuanya ini menarik untuk dinantikan kesudahannya. Adakah ia sekadar sandiwara politik atau masalah dalaman yang sukar dibendung.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm&arc=hive)

No comments: