Friday, February 19, 2010

Nasib malang Kafe Do Re Mi

Nasib malang Kafe Do Re Mi

Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my


ATAS: Kafe Do Re Mi hanya bertahan selama lapan tahun.

DALAM filem karya seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, trio sahabat Do Re Mi dibantu dua seniman iaitu A.R Tompel dan Ibrahim Din memang mencuit hati penonton.

Do Re Mi yang digambarkan dalam filem jenakanya itu bagaimanapun sering menemui nasib malang termasuk dalam dua lagi sekuelnya iaitu Nasib Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi sebelum kisah ceria mengakhiri ceritanya.

Karya P.Ramlee itu memberi ilham kepada Johar Ismail, 34, untuk mengusahakan sebuah pusat pelancongan yang diberi nama Kafe Do Re Mi di pesisir pantai Tanjung Bungah, kira-kira lima kilometer dari pusat bandar George Town.

Ketika mula dibuka pada 2002, impian Johar yang merupakan anak jati sebuah keluarga nelayan di situ ialah untuk mewujudkan lokasi pelancongan popular yang mampu dikunjungi orang ramai dengan mengekalkan suasana santai.

Buktinya, Kafe Do Re Mi yang merupakan kedai makan dan minuman kecil beratapkan daun nipah berlantaikan pasir putih pantai Tanjung Bungah itu pantas menarik kunjungan orang ramai termasuk pelancong asing sehingga menjadi antara lokasi popular di situ.

Sebagai daya tarikan pengunjung, Johar turut membina sebuah rumah tiga tingkat di atas sebatang pokok di situ yang memuatkan beberapa koleksi barangan antik untuk tatapan pengunjung. Malah, di pantai itu juga pengunjung boleh menikmati keindahan senja yang cukup mendamaikan jiwa.

Malangnya, hayat kafe itu tidak seperti pengakhiran filem Do Re Mi. Setelah lapan tahun dibuka, Kafe Do Re Mi dirobohkan oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pertengahan Januari lalu kerana didakwa beroperasi tanpa lesen.

Walaupun cuba dipertahankan Johar bersama beberapa rakannya termasuk meminta masa daripada pihak MPPP termasuk berbincang, namun rayuannya tidak diendahkan.

"Saya sanggup ikut apa juga arahan atau permintaan kerajaan negeri asalkan dibenar terus berniaga di sini. Janganlah roboh premis saya, ini punca rezeki saya.

"Saya mohon diberikan sedikit masa, sepuluh minit pun tidak mengapa. Tetapi mereka terus merobohkan beberapa rumah pokok di sini.

"Mereka kata ini arahan kerajaan negeri dan tidak boleh ditangguh," luah Johar yang memberitahu mahu terus berniaga di situ walaupun menyedari tanah di kawasan pantai itu adalah milik kerajaan negeri.



MAJLIS Perbandaran Pulau Pinang mendakwa Kafe Do Re Mi didirikan di atas tanah kerajaan negeri.

Katanya, sebanyak RM300,000 telah dibelanjakannya sepanjang berniaga di situ semata-mata untuk menyediakan kemudahan tandas, surau serta kemudahan lain bagi menarik minat pelancong asing.

"Kawasan ini dahulunya terbiar dan tidak diusaha sehinggakan tiada pelancong berminat datang. Setelah saya habiskan semua simpanan dan wang yang ada untuk membangunkan kawasan ini, ini balasan yang saya terima," katanya ketika ditemui di rumah pokoknya.

Gerai alternatif

Menurut Johar, beliau hanya menerima tiga surat dari Pejabat Daerah dan Tanah kawasan Timur Laut meminta dia merobohkan premisnya dalam masa sebulan sejak negeri itu ditadbir parti pembangkang.

Apa yang dikesalkan, usaha beliau memohon lesen daripada MPPP beberapa kali untuk berniaga secara sah tidak dilayan termasuklah permohonan bertulis kepada Yang Dipertua MPPP ketika itu, Datuk Zainal Rahim Seman.

Bagaimanapun, dalam satu sidang media yang diadakan di Komtar baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow menafikan dakwaan kononnya MPPP tidak menggunakan budi bicara ketika merobohkan premis tersebut.

Malah beliau menyangkal tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri yang hanya menyasarkan gerai milik peniaga Melayu untuk diroboh berikutan nasib sama menimpa pemilik gerai ikan bakar Three N Ikan Bakar di Gelugor.

"Mengikut statistik tahun ini, hanya dua peniaga telah diambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Rizab Negara 1965 iaitu pengusaha Kafe Do Re Mi dan Three N Ikan Bakar.

"Peniaga Do Re Mi enggan menerima gerai alternatif yang ditawarkan pejabat daerah di Bayu Senja, Batu Ferringhi manakala gerai Three N Ikan Bakar pula telah ditempatkan di Medan Selera, Gelugor sebelum tindakan perobohan dimulakan," katanya.

Mengulas lanjut, kata Kon Yeow, pihaknya tidak pernah menafikan hak mana-mana kaum dalam tindakan penguatkuasaan malah tiada kaum yang menikmati imuniti daripada tindakan penguatkuasaan tersebut.

"Statistik yang dikeluarkan ini juga menunjukkan tindakan penguatkuasaan diambil atas pertimbangan tidak mematuhi undang-undang dan Undang-Undang Kecil dan bukan atas pertimbangan kaum," jelasnya.

Bagaimanapun, Kon Yeow tidak menafikan masih banyak lagi kes peniaga kecil yang melanggar undang-undang di Pulau Mutiara yang masih belum ditangani tetapi masih diberi perhatian sejajar dengan misi mewujudkan zon niaga yang bersih, strategik dan tersusun.

(sumber;http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm)

2 comments:

dino.yp@gmail.com said...

gimik murahan UMNO!

Anonymous said...

Piirrahhh!! orang dah bagi peluang lama,

Beniaga tak tentu hala,

Tak ikut atoran yg.ada

Buat mcm tempat tur Mak Bapak hang punya.

Bila orang roboh nak salahkan Undi depa.

Cukup cukup lah hang punya kelentong.,

Buat malu compny saja.